Home » Analitis » Usul Pindaan AKTA 355

Usul Pindaan AKTA 355

KENYATAAN MEDIA

KUALA LUMPUR 30 Mei 2016

1. Apabila Usul Ahli Parlimen Marang diterima oleh Dewan Rakyat untuk dibahaskan mengenai pindaan Akta 355 Khamis lalu kita sudah menjangka bahawa pimpinan DAP dan PAN akan kuat menentangnya. DAP memang konsisten dalam penentangannya terhadap apa-apa inisiatif atas nama Islam manakala PAN pula cenderung membangkang apa-apa inisiatif yang datang dari PAS. Tetapi kita agak terkejut melihat beberapa reaksi sangat negatif yang diberikan oleh beberapa pemimpin parti komponen BN sendiri yang tidak bersetuju apabila UMNO dilihat memberi laluan dan sokongan terhadap usul tersebut. Adalah tidak menghairankan jika mereka mengambil sikap berhati-hati dan meminta penjelasan tetapi malangnya mereka kelihatan terburu-buru dan terus menghukum inisiatif ini dengan tanggapan yang paling buruk seperti bercanggah dengan Perlembagaan, falsafah negara, semangat BN dan prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia.

2. Sikap terlalu cepat menghukum dan melabelkan secara negatif inisiatif ini adalah sangat tidak sihat kerana ia boleh mengeruhkan hubungan antara rakyat yang beragama Islam dan yang bukan beragama Islam. Kita sedia maklum bahawa isu agama adalah begitu sensitif dan boleh menimbulkan perbalahan dalam negara kita. Oleh itu para pemimpin politik sebagai pimpinan kaum dan masyarakat sepatutnya perlu menunjukkan contoh yang baik tentang peri pentingnya bersikap tenang dan tidak melatah dalam isu-isu seumpama ini. Isu-isu seumpama ini perlu dibawa ke meja perbincangan. Ahli Parlimen Marang sendiri telah memohon untuk menangguhkan perbahasan usul beliau ke sidang Dewan Rakyat yang akan datang. Ini akan memberi ruang masa yang luas agar semua pihak dapat menghadami semua aspek dan implikasi usul ini sebelum ia dibahaskan dalam sidang dewan kelak.

3. Yadim berharap agar semua pihak yang begitu tidak senang dan bimbang dengan usul ini agar bertenang dan berhenti daripada menimbulkan kebencian melampau terhadap usul ini yang sepatutnya dibincangkan dahulu dalam medan-medan yang lebih sesuai. Menghukum, melabel dan menuduh secara terbuka hanya akan memecah-belahkan sentimen masyarakat yang tidak mudah hendak dipulihkan. Isu ini tidak semestinya terus dilabel dan ditampilkan sebagai isu Islam lawan bukan Islam ataupun isu Hudud sebaliknya boleh sahaja dilihat sebagai insiatif menambahbaik Mahkamah Syariah sebagai salah satu sistem kehakiman yang diiktiraf oleh Perlembagaan dan berjalan sekian lama dalam negara kita.

Dr Yusri Mohamad

Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *