Home » Analitis » Teks ucapan Perhimpunan Agamawan Kebangsaan

Teks ucapan Perhimpunan Agamawan Kebangsaan

TEKS UCAPAN

YBHG DR YUSRI MOHAMAD

YANG DI PERTUA YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIM)

 

PERHIMPUNAN AGAMAWAN KEBANGSAAN, HOTEL EQUATORIAL BANGI

RABU 20 JULAI 2016/ 15 SYAWAL 1437

 

Bismillahirrahmanirrahim

Segala pujian serta kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan berkat yang dianugerahkan kepada kita. Selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad SAW yang diutuskan sebagai rahmat buat seluruh alam.

 

(Salutasi)

 

Prof. Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Ab. Majid, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN)

Datuk Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM

Datuk Zainal Abidin bin Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP

Dato’ Sheikh Abdul Halim bin Abd Kadir, Presiden Persatuan Ulama Malaysia

Sheikh Hj. Anwar bin Zainal Abidin, Presiden Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan

 

Tan Sri- Tan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin,

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Sidang hadirin yang saya muliakan,

  1. Perhimpunan pada hari ini sesungguhnya merupakan kesinambungan daripada Multaqa sebelumnya yang telah berjaya menghimpun golongan intelektual dan pemikir Islam bagi merumus dan mencari jalan pencerahan menyatupadukan ummah di negara ini.
  2. Dalam perhimpunan itu, para peserta Multaqa telah bersetuju dan bermuafakat bahawa agenda perpaduan dan persatuan ummah merupakan agenda yang sangat mendesak untuk segera direalisasikan.
  3. Hasil daripada persidangan itu, kita berjaya mengeluarkan resolusi antara lain bagi memohon Baginda Raja-raja Melayu mencemar duli menerusi campur tangan bagi melindungi kepentingan Islam agar tetap terjaga dan terpelihara.
  4. Resolusi tersebut juga menggesa supaya umat Islam di negara ini sama ada dalam parti politik, NGO Islam, media massa, tokoh politik dan masyarakat serta golongan cerdik pandai untuk berganding tangan dan bekerjasama secara erat atas nama Islam sekali gus menyisihkan perbalahan dan pertentangan yang selama ini menjadi batu penghalang kepada usaha perpaduan.

 

 

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah SWT,

  1. Sesungguhnya persefahaman dan permufakatan dalam resolusi itu merupakan suatu langkah yang amat bermakna kepada perjuangan kita seterusnya. Perhimpunan Agamawan pada hari ini dilihat bertepatan dengan momentumnya.
  2. Perhimpunan seumpama ini perlulah sentiasa digelorakan dan dijaga agar tidak hilang dan tenggelam dalam kesibukan isu-isu lain yang mungkin menggagalkan dan mengkaramkan agenda perpaduan dan persatuan ummah.
  3. Kita tidak mahu jerih payah kita memerah otak dan mencurahkan segala idea dan pemikiran dalam forum-forum dan pertemuan-pertemuan sebelumnya lenyap begitu sahaja tanpa ada bekasnya.
  4. Walaupun, tidak dapat dinafikan, wujud pandangan yang pesimistik malahan juga cemuhan dari segelintir pihak, jangan sekali-kali kita boleh berputus asa dan menyerah diri. Usaha dan perjuangan yang telah kita jalani ini lebih penting daripada hanya berdiam diri dan berpangku tangan tanpa berbuat apa-apa.
  5. Persoalan sama ada usaha kita ini berjaya atau gagal, itu bukanlah perkara pokoknya. Hakikatnya, Allah SWT lebih menyukai hamba-hamba-Nya untuk berikhtiar hingga semaksimum mungkin seterusnya bertawakal menerima qudrat dan iradah-Nya dalam menerima segala usaha kita ini.

 

Hadirin dan hadirat yang dikasihi,

  1. Dalam konteks negara kita, sesungguhnya perbezaan pandangan politik adalah perkara yang lumrah. Kita juga tidak boleh takut untuk berbeza kerana perbezaan itu sunatullah. Namun demikian, sebagai negara majmuk, kita tidak boleh menggunakan perbezaan itu untuk mencetuskan perbalahan dan konflik antara kaum dan agama.
  2. Kita juga tidak boleh sewenang-wenang atas nama hak asasi manusia dan kebebasan pendapat menyerang dan menghina pihak lain. Sebaliknya, perbezaan dan kepelbagaian pandangan diraikan dengan rasa saling hormat-menghormati dan menjaga sensitiviti agama masing-masing sepertimana yang diperuntukkan secara sah dalam perlembagaan negara.
  3. Berbincang mengenai peranan kaum agamawan sebagai pemangkin kepada persatuan dan perpaduan ummah, tidak dapat tidak, kita perlu merujuk nasihat dan saranan Imam al-Ghazali.
  4. Menurut beliau, kaum agamawan tidak boleh berpangku tangan dan tenggelam dalam zon selesa apabila tanda-tanda perpecahan ummah semakin ketara dan bagaikan bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa.
  5. Dalam kosmologi pada zamannya, perpecahan ummah akan menjadi bencana yang akan memporak-perandakan keutuhan negara Abbasiyah yang dikenali dibina dengan kekuatan akidah dan keimanan yang kental dan mantap.
  6. Sebaliknya, al-Ghazali menekankan prinsip nasihat dan rundingan sebagai kaedah untuk meluruskan pemimpin ke landasan yang benar dan diredai.
  1. Keutamaan untuk memilih mengekalkan suasana kondusif dan mengelakkan kekacauan sebagaimana yang dianjurkan al-Ghazali bukannya tanpa asas. Perkara ini turut disentuh oleh pendapat popular Ibn Taimiyah dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar’iyyah yang menyatakan bahawa 60 tahun di bawah pemerintahan zalim lebih baik daripada satu malam tanpa pemerintahan. Negara tanpa kerajaan dan pemimpin akan menyebabkan kekacauan.
  2. Ini bermakna, menciptakan keadaan sosio-politik yang stabil, damai, harmoni dan meletakkan nilai kepentingan am sebagai segala-galanya, lebih diutamakan berbanding merombak dan menukar kepimpinan yang zalim sekalipun, akan tetapi natijahnya menciptakan keadaan ketidakstabilan negara, huru-hara, kekacauan dan krisis yang berpanjangan.

 

Hadirin yang dimuliakan,

  1. Kesatuan dan perpaduan masyarakat pada zaman itu merupakan prasyarat utama dalam kejayaan mereka membina tamadun dan peradaban dunia yang sangat dikagumi dalam sejarah manusia di dunia.
  2. Hal itu tidak lari daripada peranan dan sumbangan kaum agamawan terutama menerusi peranan sebagai penasihat kerajaan. Golongan agamawan tidak hanya perlu dilihat sebagai golongan elit masyarakat yang menguasai ilmu-ilmu agama sahaja, akan tetapi ia perlu diletakkan sebagai rakan kongsi yang strategik bagi pihak pemerintah dalam menjalankan agenda pembangunan negara dan cita-cita memakmurkan rakyatnya.
  3. Menurut al-Syahid Imam Hasan al-Banna ada menyatakan persatuan dan perpaduan ummah (wihdatul ummah) menjadi prasyarat utama bagi membentuk negara dan pemerintahan yang kuat dan berwibawa.
  4. Selain dilandasi oleh faktor untuk memperkukuh segala kekuatan komponen masyarakat dalam menghadapi ancaman dari luar, persatuan dan perpaduan ummah juga penting bagi menggalas cabaran masyarakat Islam daripada ancaman akidah dan kebobrokan moral yang sentiasa mengekori masyarakat Islam akibat rempuhan zaman.
  1. Persaudaraan dalam Islam berlandaskan iman kepada Allah dan cinta kerana Allah. Seorang mukmin merupakan saudara bagi mukmin yang lain. Bahkan hubungan sesama mukmin mempunyai pertalian persaudaraan yang lebih kuat daripada pertalian darah di kalangan adik-beradik kandung.
  2. Pertalian keimanan inilah yang memperkukuh hubungan sesama individu dalam masyarakat, dan yang menjadikan masyarakat satu unit sosial yang tersusun rapi dan utuh.

 

 

Hadirin yang dimuliakan,

  1. Perpaduan dan persatuan sesama Muslim merupakan kewajipan syariah. Wujudnya persatuan merupakan nikmat Ilahi yang sangat besar. Allah SWT telah memerintahkan dengan tegas agar kaum Muslimin bersatu padu dalam tali atau wadah yang satu iaitu Islam.
  2. Kita mengakui al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.
  3. Jalan yang besar dan lebih utama ialah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka dalam barisan ukhuwah Islamiah dalam menghadapi penyelewengan akidah seperti aliran-aliran fikiran bebas serta gejala-gejala kemungkaran yang bermaharajalela dalam kehidupan harian kita. Inilah yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh-temeh dan masalah khilafiah.
  4. Dalam usaha memantapkan ukhuwah Islamiah ini, ia bukan sekadar penjelasan dari segi persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan melainkan yang lebih penting lagi adalah langkah-langkah bersama umat Islam sehingga dapat merasakan nikmatnya persaudaraan satu iman itu.
  5. Sesungguhnya, misi terpenting agama ialah untuk membangun kemakmuran dan kedamaian di muka bumi. Balasan kehidupan di akhirat kelak merupakan bentuk KPI kita dalam membangun projek kemanusiaan selama kita hidup di dunia.
  6. Oleh sebab itu, praktik ibadah kita merupakan pilihan dan perjuangan moral yang meniscayakan dua syarat iaitu pertama, seorang yang menjalankan agamanya bukannya dilandasi oleh faktor ancaman atau menakuti-nakuti. Kedua, moral dinilai sepenuhnya atas dasar hubungan sesama manusia. Seseorang dianggap mempunyai moral yang baik sekiranya mampu membina hubungan yang baik sesama manusia.
  7. Justeru itu, menyebarkan agama dengan cara mengancam akan merosakkan prinsip asas ajaran Islam. Kesolehan dan keikhlasan tak akan muncul daripada keadaan terpaksa dan disertai dengan ancaman.

 

Hadirin dan hadirat yang dikasihi,

  1. Ada kalanya manusia tidak menyedari dan menghayati sepenuhnya tujuan manusia dalam beribadah mahupun bermuamalah. Ramai manusia yang tidak menyedari apakah sebenarnya tujuan mulia penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Sebaliknya, ramai manusia yang terperangkap dengan penjara kehidupannya sendiri dan tenggelam dengan kebodohan yang dia ciptakan. Salah seorang sufi besar Jalaludin Rumi menggambarkan keadaan manusia ini dalam syairnya:

“Sekian lama engkau terpenjara di dalam kolam kecil

Padahal di sinilah Aku, samudera yang melimpah

Kemarilah, menyatu dengan-Ku

Tinggalkan segala kebodohan dunia, ikutilah bersama-Ku.”

  1. Kita sebenarnya menyedari hakikat bahawa umat Islam sedang menghadapi fasa perpecahan dan perbalahan yang kritikal. Perpecahan ini jika dibiarkan berterusan hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri. Perhimpunan ini akan membincang dan menumpukan isu-isu perpaduan dan persatuan ummah dengan pendekatan dakwah.
  2. Perpaduan yang merupakan satu-satunya benteng kekuatan yang masih ada untuk mempertahankan maruah dan nasib umat Islam di negara ini kerana kekuatan-kekuatan yang lain seperti kekuatan ilmu pengetahuan, kekuatan ketenteraan, ekonomi, politik dan lain-lain sudah roboh dan runtuh.
  3. Kekuatan ukhuwah Islamiah dan perpaduan inilah yang masih tinggal yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Sekiranya ikatan ukhwah Islamiah dan kekuatan perpaduan ini turut roboh maka tunggulah kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa umat Islam di negara ini.
  1. Permusuhan selalunya dimulai dengan keinginan manusia atau sekumpulan manusia untuk memenuhi tuntutan nafsu serakah dan tamak haloba. Dalam hal ini, jika ada halangan untuk memuaskan tuntutan nafsu, sesetengah manusia mengambil jalan mudah dan mengetepikan sifat kemanusiaannya.
  2. Bermula dengan sikap benci, berkembang menjadi perseteruan sementara dan seterusnya tanpa kawalan diri akan memuncak menjadi lebih buruk termasuk melibatkan pembunuhan dan pelbagai bentuk kezaliman.
  3. Rasa benci yang mula berakar menyebabkan manusia sanggup memutuskan perhubungan sebagai rakan atau saudara. Memutuskan ikatan persaudaraan seagama menjadi petanda bahawa berlakunya kekeruhan iman.
  4. Apabila berlakunya sesuatu perselisihan, orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada dasar keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika. Tuduh-menuduh antara pihak yang berselisih pendapat perlu dielakkan.
  5. Perhimpunan agamawan ini bakal menjadi kekuatan perhubungan dalam umat Islam dan secara umumnya antara sesama rakyat di negara ini. Ini kerana ia diasaskan kepada kehendak untuk melihat setiap orang dapat hidup dalam situasi aman, harmoni dan sejahtera tanpa ada prasangka berasaskan kepentingan tertentu.
  6. Lebih penting dan diharapkan himpunan ini bukan sekadar laungan atau slogan ‘menyelamatkan akidah ummah’ tetapi lebih praktikal lagi bagaimana memikirkan cara-cara pengukuhannya nanti.
  1. Dalam usaha memantapkan ukhuwah Islamiah ini, ia bukan sekadar penjelasan dari segi persamaan pandangan agama atau sekadar toleransi mengenai perbezaan pandangan melainkan yang lebih penting lagi adalah langkah-langkah bersama umat Islam sehingga dapat merasakan nikmatnya persaudaraan satu iman itu.
  1. Lantaran itu, pusat sekretariat sebagai nadi utama gerakan mulia ini amat penting diwujudkan. Bagi membantu dan memantapkan lagi agenda perpaduan ummah yang disusun di sektretariat, amat penting juga dibentuk pusat penyelidikan yang turut membabitkan golongan akademik yang berwibawa dan golongan intelektual yang lain.
  2. Dengan adanya pusat penyelidikan ini, ia tidak saja dapat membantu untuk mengenalpasti punca-punca perpecahan ummah, akan tetapi dengan adanya pusat penyelidikan diharapkan dapat memberikan solusi yang mantap dan diterima oleh semua pihak berdasarkan kepada bukti-bukti secara ilmiah tanpa wujud lagi sikap prejudis dan syak wasangka.

 

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah SWT,

  1. Sebagai khatimah, saya ucapkan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan (MAPIK) yang sudi menjadi rakan kerjasama penganjuran majlis ini. Terima kasih juga turut saya rakamkan kepada para penaja dan penyumbang, ahli jawatankuasa penganjuran serta seluruh yang hadir pada pagi ini.
  2. Saya berdoa semoga Allah SWT memberkati dan meredai setiap titik peluh pengorbanan kita di atas jalan perpaduan dan dakwah serta membangkitkan kita bersama-sama dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak untuk beroleh nikmat teragung yang kekal abadi daripada Allah SWT. Ameen Allahumma ameen.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *