Tajuk Buku: Negara Maslahah: Pemikiran Al-Ghazali dan Konteks Politik Malaysia

Pengarang: Dr Alies Anor Abdul

Pengulas: Mohd Shauki Abd Majid

Terbitan: April 2016

Harga: RM 30.00

Imam al-Ghazali (450H-505H/1058-1111M) adalah cendekiawan Islam abad pertengahan yang mempunyai pengaruh besar dalam kebangkitan peradaban manusia sama ada dalam dunia Islam ataupun dunia keintelektualan Barat. Pemikirannya terkandung dalam lebih 300 buah kitab meliputi pelbagai bidang, dari falsafah, etika, tasawuf, psikologi hinggalah ke pemahaman mendalam mengenai politik dan pengurusan negara.

Walaupun al-Ghazali lebih terkenal dalam bidang falsafah etika dan tasawuf, karya-karyanya turut memperlihatkan keinginan besar untuk menghidupkan semula jiwa agama dalam seluruh kehidupan manusia. Hakikat ini disampaikan oleh al-Ghazali dalam setiap karyanya dengan menjelaskan bahawa tujuan sebenar hidup ialah untuk “mencari keredaan Allah” dan “mencapai kesempurnaan iman.” Bertolak daripada pandangan itu, al-Ghazali mengambil pendekatan yang ditawarkan oleh Islam, iaitu secara berhemah dan melaksanakan tindakan dalam bentuk nasihat.

Semasa hayatnya, al-Ghazali menyaksikan perpecahan politik akibat perebutan kuasa dan keghairahan pemimpin untuk membolot kekayaan, yang tentunya boleh menyebabkan rakyat berada dalam kesusahan hidup. Namun bagi al-Ghazali, menjatuhkan pemimpin dengan cara yang kejam akan mengakibatkan kehidupan masyarakat bertambah kacau, huru-hara dan sukar dipulihkan manakala ketidakpuasan hati akan terus menguasai iklim politik negara.

Apa yang berlaku di Malaysia ketika ini misalnya, dengan wujudnya gerakan menjatuhkan pemimpin dengan cara yang tidak sah adalah bertentangan dengan sudut pemikiran politik al-Ghazali. Gerakan yang dianggap bermula atas “keinginan besar memenangi pilihan raya umum dan seterusnya menukarkan kerajaan” secara tidak sah jelas bertentangan dengan apa yang al-Ghazali sifatkan sebagai “kekalutan falsafah” dan “kemunduran etika.”

Al-Ghazali menjelaskan, hubungan antara pemimpin dan rakyat seperti “dua tonggak” di mana apabila satu tonggak patah, maka tonggak yang satu lagi tidak lagi mampu memikul beban atau tanggjungjawab yang ditetapkan. Dalam sistem politik yang ditentukan menerusi “proses pemilihan”, konsep politik berpewakilan itu mestilah dihormati dengan jelas dan mendalam.

Sesebuah parti politik yang memenangi “proses pemilihan” wajib diberikan peluang untuk menentukan urusan pentadbiran negara dan jika muncul tindakan untuk “mengganggu,” ia dilihat sebagai suatu tindakan yang bertentangan dengan etika. Sesuatu yang bertentangan dengan etika wajib dicegah dan seterusnya dihalang kerana boleh merosakkan negara dan masyarakat. Merosakkan negara dan masyarakat atas alasan yang silap dan tidak beretika merupakan perbuatan yang zalim. Ertinya, jika dibiarkan boleh merosak dan menghancurkan kewujudan sebuah pemerintahan yang sah, sebuah pemerintahan yang dipilih oleh rakyat.

Al-Ghazali melontarkan kritikan tajam dalam beberapa amalan politik tidak bermoral dalam beberapa karyanya yang dianggap sebagai magnum opus (mahakarya), antaranya,  Al-Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk, Ihya’ Ulumuddin, Al-Iqtishad fi al-I’tiqad dan Fadhaih al-Batiniyah.

Kitab Al-Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk merupakan sebuah karya penting tentang politik yang  mengandungi pelbagai nasihat bagi setiap pemimpin yang berkuasa. Karya ini merupakan kumpulan tulisan dan perenungan tajam al-Ghazali sebagai hadiah terbaik kepada Sultan Muhammad Ibnu Malik dari dinasti Saljuk. Tujuan nasihat itu adalah untuk melihat perjalanan hukum Islam dilakukan sebaik-baiknya oleh pemerintah bahawa ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik kecuali “dengan seorang Iman (pemimpin negara) yang ditaati.”

Seseorang pemimpin negara wajib melaksanakan tanggungjawabnya secara beretika, kerana itulah al-Ghazali menyatakan politik itu adalah tugas yang mulia. Kegelisahan al-Ghazali terpancar daripada perpecahan yang diakibatkan oleh penguasa Buwyhids, yang kemudiannya disimpulkan sebagai krisis ulama.

Menurut al-Ghazali: “Sebenarnya, kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpinnya, dan kerosakan pemimpin disebabkan oleh kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan oleh cinta harta dan kedudukan, dan sesiapa yang dikuasai oleh keinginan duniawi tidak akan mampu mengurus rakyat kebanyakan, termasuklah pemimpinnya. Allahlah tempat meminta pertolongan.

Ertinya, kalaupun ada sesuatu yang dilihat tidak betul dan mengkhianati amanah rakyat dinasihatkan meminta pertolongan Allah SWT, bukannya turun ke jalan raya berdemonstrasi, mengutip tanda tangan protes ataupun mendapat bantuan pihak luar untuk meruntuhkan sistem yang sudah disepakati. Ada kaedah yang ditawarkan, dan di Malaysia, kaedahnya ialah ditentukan menerusi pilihan raya umum, yang secara umumnya dipersetujui apabila sampai edahnya.

Melihat kepada ketidaktentuan politik yang sedang “merosakkan negara” telah mengilhamkan Tan Sri Alies Anor Abdul untuk kembali ke akar umbi politik Islam dan wawasan besar politik beradab al-Ghazali sehingga berjaya meraih doktor falsafah dalam bidang undang-undang politik pada tahun 2015. Hasil penelitian dan kajian mendalam itu kemudiannya diterbitkan dengan judul Negara Maslahah: Pemikiran al-Ghazali dan Konteks Politik Malaysia.

Dengan menggunakan perbelanjaan sendiri, Tan Sri Alies menerbitkan kajian tersebut untuk membolehkan lebih ramai berusaha menggali semula akar umbi peraturan dan kesopanan berpolitik daripada tradisi Islam dengan mengambil contoh kerangka pemikiran seorang ulama tersohor, yang hingga kini masih belum ada tandingannya walaupun idea dan prinsip yang dikemukakan itu lebih 900 tahun silam.

Negara maslahah membawa maksud negara sejahtera. Untuk menuju negara sejahtera, mestilah meletakkan agama di atas segala-galanya “Agama merupakan pokok sebuah bangunan dan negara adalah penjaganya. Setiap bangunan tanpa asas akan roboh. Demikian juga asas tanpa bangunan akan sia-sia.”

Dalam pandangan al-Ghazali, pengutipan cukai (mishahah) bukanlah menunjukkan tata kelola negara secara zalim sebagaimana didakwa oleh segelintir rakyat Malaysia apabila negara mula memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Kutipan cukai itu penting bagi membiayai pengurusan negara dan penyediaan kepada beberapa infrasruktur yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Dengan cukai, negara mampu menampung  perbelanjaan pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

Tentunya, pemerataan keadilan bukan hanya menjamin warganegara terhadap keamanan negara, tetapi juga menjamin kepastian wilayah (dawlat) yang dikuasai oleh negara serta menjamin kestabilan politik dalam wilayah yang diperintah oleh sesuatu pemerintahan. Kekuatan pemerintahan pusat bergantung kepada pemerintahan tempatan yang akan tunduk dan patuh kepada pemerintahan pusat. Dalam keadaan tersebut, luas wilayah dan kekuasaan memiliki autoriti dan maruah yang tinggi.

Buku setebal 200 halaman dan dibahaskan dalam lima bab terasa begitu pendek perbahasannya. Namun,  kedalaman perbahasan menjadikan ia sebuah buku yang menarik, sekurang-kurangnya menjadi asas kepada sebuah penerokaan ilmiah daripada sumber pemikiran klasik yang terus relevan dengan perspektif politik moden.

Semakin kita mendalami pemikiran politik al-Ghazali semakin membuatkan kita ingin kembali ke akar perdebatan politik bermoral kerana keadaan yang sedang berlaku di Malaysia semakin melupakan betapa kerangka moral lah bakal membangunkan negara sejahtera. Kerangka moral inilah yang telah dilihat oleh Tan Sri Alies untuk dipraktikkan dalam budaya politik Malaysia, bukannya “matlamat menghalalkan cara” sebagaimana digariskan oleh teori politik moden yang hanya bersandarkan hukum akal dan kebebasan tanpa batasan atas nama demokrasi.

Jelas berbeza dengan pandangan tokoh politik moden yang terpengaruh aliran pemikiran politik tanpa bingkai agama, al-Ghazali menyelar setiap “tindakan jahat” hanya kerana ingin berkuasa dan mengekalkan kuasa. Bagi al-Ghazali, tindakan itu bukan boleh melahirkan “negara sejahtera” tetapi sebaliknya menjadikan negara “huru-hara” sebagaimana dibuktikan oleh banyak peristiwa sejarah.

Tentunya, usaha Tan Sri Alies untuk melihat ke akar umbi asas pemikiran politik Islam ini mempunyai hasrat dan tujuan yang jelas iaitu bagi mempertahankan nilai dan budaya politik beradab. Politik tidak beradab akan menyebabkan negara dan rakyat tidak tenteram, dibelenggu lebih banyak permusuhan. Bila permusuhan menjadi kerangka budaya politik, maka negara maslahat sampai bila-bila pun tidak akan hadir dan muncul. Suatu kerugian kepada Islam, sedangkan apa yang dilaksanakan oleh Malaysia selepas mencapai kemerdekaan untuk membuktikan bahawa sebuah peradaban yang lebih besar dan beradab muncul daripada kemampuan umat Melayu-Islam menterjemahkannya secara berhemah dan beransur-ansur.

Malaysia telah memulakan banyak kerangka pembangunan berteraskan Islam, dan hasilnya menjadi contoh besar dalam banyak perkara. Misalnya menjadikan negara sebagai hub sistem perbankan Islam. Malaysia juga terkenal dalam pengekalan tahap perpaduan pelbagai kaum yang tinggi kerana kepimpinan politik tidak melaksanakan pendekatan ekstremis sebagaimana pernah dilakukan oleh segelintir pemimpin politik, termasuklah pembersihan etnik.

Kekuatan-kekuatan sedemikianlah yang cuba dikupas dan diterjemahkan oleh Tan Sri Alies dalam penulisan tersebut, yang tentunya masih banyak “masukan yang diperlukan”. Buku ini bolehlah diberikan kredit awal, suatu usaha baik untuk meneroka “lautan ilmu-ilmu klasik” yang semakin ditinggalkan oleh kebanyakan ilmuan tempatan yang amat teruja dan terpesona dengan kaedah ilmiah anjuran Barat yang hanya mengehadkan penelitian mereka kepada data dan pemerhatian terhad.

Al-Ghazali mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi, kerana beliau mengutamakan perjalanan batinnya untuk mencari kebenaran, bukannya bersandarkan “pungutan pendapat” dan kaedah persampelan yang semakin mudah dimanipulasi. Kegigihan Tan Sri Alies membedah dan menganalisis “perjalanan batin al-Ghazali” bagi melihat kerangka politik Islam dan menyimpulkan tetap relevan di Malaysia adalah suatu percubaan menarik yang tentunya bakal meneroka ke sisi yang lebih dalam dan bermakna terhadap budaya politik yang beradab.

Untuk kalangan ahli politik,buku ini akan menjadi pegangan dan falsafah yang memberi garis panduan dalam berpolitik,merumuskan dasar dan polisi dalam pentadbiran negara berasaskan kerangka moral politik yang ditawarkan oleh al-Ghazali.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

clear formSubmit