Home » Wacana » Orang kafir tolak bukti

Orang kafir tolak bukti

Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata – Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci, terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.

Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata. Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekal lah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekal lah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.” (al-Bayyinah:1-8).

Surah al-Bayyinah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah yang mengandungi lapan ayat dan ia diturunkan selepas surah al-Talaq. Yahya bin Salam dan Abu Soleh yang meriwayatkan daripada Ibn Abbas pula berpendapat surah ini daripada surah Makiyyah.

Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya adalah: Sesungguhnya ayat: “ lam yakunillazina…” dan seterusnya seolah-olah menjadi sebab al-Quran ini diturunkan. Ia seolah-oleh diungkapkan begini: “Kami turunkan al-Quran ini kerana orang kafir itu tetap berada dalam kekafiran, sekalipun telah datang seorang Rasul yang membacakan lembaran-lembaran yang suci kepada mereka.”

Dalam ayat pertama surah ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.” (al-Bayyinah:1).

Ibn al-Jauzi berkata: Mereka adalah golongan Yahudi, Kristian dan penyembah berhala yang mengingkari kerasulan serta kenabian Muhammad SAW, sekali-kali tidak akan melepaskan kekafiran mereka. Mereka sanggup menggadaikan kebenaran hingga Rasulullah SAW diutuskan.

Manakala dalam ayat kedua dan ketiga, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci, terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.” (al-Bayyinah:2-3).

Al-Maraghi berkata: Al-Bayyinah itu adalah Nabi Muhammad SAW yang membacakan lembaran-lembaran al-Quran kepada mereka, yang bersih dari campur tangan manusia, bersih daripada kesesatan, bersih daripada pemalsuan dan memancarkan cahaya kebenaran. Selain itu, al-Quran juga mengandungi kebenaran sebagaimana yang terdapat dalam kitab para Nabi yang sebelumnya seperti kitab Nabi Musa AS (Taurad), Nabi Isa AS (Injil) dan Nabi Ibrahim AS (Zabur).

Setelah Nabi SAW diutus, tingkah laku mereka semua berubah. Segolongan dari mereka mengaku beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan mempercayai bahawa agama yang mereka ikuti dahulu sesat dan batil. Sebahagian yang lain beriman kepada Baginda, tetapi tetap meragukan kebenaran ajaran-ajaran yang dibawanya, atau percaya bahawa Rasulullah SAW sendiri juga tidak benar. Sehingga mereka terus menentang, bersikap sombong dan tetap memegang tradisi nenek moyang daripada mengikut Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.” (al-Bayyinah: 4).

Berkenaan al-Bayyinah atau bukti yang nyata ada tiga pendapat:

  1. Rasulullah SAW. Inilah pendapat kebanyakan ulama.
  2. Al-Quran. Inilah pendapat Abu al-‘Aliyah.
  3. Apa yang terdapat dalam kitab mereka berkenaan kenabian. Inilah pendapat al-Mawardi.

Hakikatnya, asal agama Allah itu satu sahaja, dan semua dasar-dasarnya mudah dan tidak membawa kepada berpecah-belah dan perselisihan mengenai dasar-dasar itu dan tabiatnya yang mudah.

Orang kafir setelah datang kepada mereka bukti yang jelas adalah sejahat-jahat makhluk. Golongan yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh adalah sebaik-baik makhluk. Sebab itulah balasan yang diterima oleh kedua-dua golongan tersebut berbeza sama sekali.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *