Home » Langit Terbuka » Etnik Rohingya bersyukur Malaysia perjuangkan pembelaan

Etnik Rohingya bersyukur Malaysia perjuangkan pembelaan

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Etnik Rohingya di Malaysia bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tegas memperjuangkan pembelaan terhadap etnik itu yang sedang ditindas di Myanmar.

Setiausaha Persatuan Rohingya di Malaysia Nursobi Muhamad Sultan berkata, pemimpin-pemimpin negara lain kini perlu mencontohi ketegasan Najib dalam memperjuangkan hak asasi kemanusiaan itu.

“Kami (etnik Rohingya) bersyukur dan berterima kasih kerana PM Najib sanggup hadir pada hari ini dan bersama-sama ingin memperjuangkan nasib yang kami hadapi selama ini.

“Ini menunjukkan PM Najib amat mementingkan nilai kemanusiaan walaupun etnik kami bukan sebahagian daripada negara ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Perdana menteri bersama lebih 20,000 hadirin termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, kepimpinan UMNO dan PAS menyertai Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Sementara itu, Timbalan pengerusi Persatuan Anak Muda Rohingya di Malaysia Sulaimeen Muhammad Karim turut meminta kerajaan Malaysia memainkan peranan penting dalam menangani isu itu.

“Malaysia sebagai negara yang dihormati di Asia Tenggara harus memainkan peranan dengan menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan konflik yang dihadapi ini.

“Ini kerana kami telah lihat ramai bangsa kami yang mati dibunuh oleh pihak tentera Myanmar, perbuatan ini tidak boleh dimaafkan kerana kami ditindas,” katanya.

Sulaimeen berkata, masyarakat Rohingya di Malaysia amat berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi menerima sebahagian daripada pelarian Rohingya dan memberi perlindungan sewajarnya.

Perhimpunan itu berjalan secara aman dengan seramai 250 anggota polis turut mengawal keadaan perhimpunan itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt. Mohamad Roy Suhaimi berkata, dua jalan utama di sekitar Taman Tasik Titiwangsa iaitu Jalan Kuantan dan Jalan Tembeling ditutup kepada semua kenderaan sejak awal pagi tadi dan dibuka semula selepas perhimpunan itu selesai.

Di KOTA KINABALU, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia untuk membela etnik Rohingya yang dizalimi di Myanmar.

“Kami sokong penuh tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganjurkan ‘Perhimpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya’ di Stadium Titiwangsa hari ini. Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama membantah kezaliman terhadap etnik Rohingya,” kata Presiden Pekida Sabah Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad.-BERNAMA

https://m.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *