Home » Persuasif » Riak wajah penting untuk dakwah

Riak wajah penting untuk dakwah

Oleh MOHD NIZAM SAHAD

Pelaksanaan dakwah memerlukan pendekatan dan strategi yang sesuai dan betul supaya sasaran orang yang diseru menyahut dan menerima ajaran Ilahi. Sasaran dakwah akan menjauhi para pendakwah jika dakwah yang dilakukan tidak menarik dan peribadi pendakwah amat menjengkelkan. Salah satu daripada perkara penting yang seharusnya diberikan perhatian dalam melaksanakan dakwah adalah riak wajah pendakwah yang perlu positif dan berwajah manis sepanjang masa apabila turun ke lapangan dakwah bertemu sasaran.

Dari Abu Dzar RA, dia berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Senyummu di hadapan saudaramu adalah sedekah.” (HR Tirmizi). Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan sekecil apapun, sekalipun kebaikan itu hanya sekadar bermuka manis apabila berjumpa saudaramu.” (HR Muslim). Abdullah bin Harits RA berkata: “Tidaklah aku melihat seorang pun yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (HR Ahmad, Bukhari dan Tirmizi). Jarir bin Abdullah berkata: “Sejak aku masuk Islam, Nabi SAW tidak pernah menghalangiku untuk menemuinya. Dan setiap kali berjumpa dengannya, Baginda selalu tersenyum kepadaku.”(HR al-Bukhari).

Hadis-hadis di atas mengambarkan kepada kita berkenaan keutamaan memaparkan riak wajah yang manis, ceria dan menyenangkan. Islam menganjurkan persahabatan, perdamaian dan persaudaraan. Ketiga-tiga anjuran ini boleh terjalin dengan bermanis muka. Islam melarang permusuhan, perbalahan dan pertelagahan yang merugikan perhubungan sesama manusia. Ketiga-tiga unsur ini pula boleh berlaku dengan bermasam muka.

Dalam konteks dakwah, ianya merupakan satu keperluan dan anjuran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud : “Maka dengan rahmat Allahlah, kamu bersikap lemah lembut terhadap mereka dan jika kamu kasar hati, nescaya mereka akan lari dari sisimu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Sifat bermuka manis dan berlemah lembut ini wajib ada pada para pendakwah kerana fitrah manusia suka akan kebaikan hatta melalui penampilan riak wajah. Riak wajah yang manis dan ceria tidaklah sesuatu yang boleh dibuat-buat, malah ia datangnya dari ketulusan hati. Sukar untuk menyembunyikan riak wajah yang duka, jika hati seseorang dalam kesedihan walaupun lidahnya berkata aku tidak bersedih. Mudahnya juga meneka betapa ceria riak wajah seseorang kerana hatinya yang gembira kerana terserlah pada raut wajahnya kegembiraan tersebut.

Oleh sebab itu, bagi menampilkan riak wajah yang ceria, para pendakwah perlu memulakannya dari kalbu sanubarinya. Jiwanya hendaklah tenang, reda dan sabar dengan ujian-ujian Allah. Beliau harus sedar dari mula bahawa menempuh jalan dakwah sememangnya penuh mihnah dan tribulasi yang akan dihadapinya. Dalam hal ini, Sirah Nabi SAW menjadi pengajaran betapa sukarnya menyeru orang yang masih belum Islam kepada agama Islam. Ejekan, hinaan dan seksaan dihadapi oleh Baginda Rasulullah SAW sebelum berjaya menyebarkan ajaran Islam. Namun, peribadi Rasulullah SAW yang dipimpin Allah dan menjadi ikutan kita, terus tetap sabar, tidak berdendam dan memaafkan sasaran dakwahnya.

Pernah dikisahkan tatkala Nabi SAW berdakwah ke Taif, dakwah Baginda SAW tidak diterima. Malah Baginda dihalau dan dicederakan sehingga berdarah tubuhnya. Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Baginda didatangi oleh malaikat Jibril yang menawarkan pembalasan kepada mereka yang menolak dakwahnya dengan menyatakan: “Mahukah engkau (Rasulullah) untuk aku mengangkat bukit untuk dihempapkan kepada mereka.” Lalu Rasululluh SAW berkata yang bermaksud: “Jangan, mereka tidak menerima seruanku, barangkali anak dan cucu mereka akan menyahut dan membantuku.” Hal ini terbukti bahawa selepas beberapa tahun dakwah Nabi SAW, ramai anak dan cucu dari kalangan yang menolak seruannya memeluk Islam dan menjadi pejuang dan pembela agama Islam.

Sifat ikhlas juga wajib ada dan menghiasi peribadi pendakwah yang bertakwa. Keikhlasan juga adalah tempatnya di kalbu. Allah SWT menjadikan ia sebagai asas penerimaan amal ibadah seseorang. Jika seruan dakwahnya kerana Allah, pastikan akan terpancar nur dan riak wajah yang bersemangat menjalankan kerja-kerja dakwah. Namun sebaliknya akan berlaku jika sesuatu gerak kerja dakwah itu dilakukan kerana sebab dunia yang lain seperti ingin nama, inginkan pangkat dan ingin dipuji. Allah SWT berfirman dalam surah al-Zumar ayat 2 yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya.”

Di antara contoh dakwah Rasulullah SAW yang bermuka manis dan sentiasa riak wajahnya ialah tentang kisah seorang Arab Badwi yang bertindak kasar kepadanya. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa: “Suatu hari aku dan para sahabat berjalan bersama-sama Rasulullah SAW. Ketika itu Baginda memakai selimut dari daerah Najran yang hujungnya agak kasar. Tiba-tiba Baginda bertemu dengan seorang Badwi. Tanpa disangka, lelaki Badwi itu langsung menarik selimut Rasulullah SAW dengan kuat sehingga aku melihat kesan merah di bahu Baginda. Lelaki Badwi itu dengan kasar berkata: “Suruh orangmu memberi harta Allah kepadaku yang engkau simpan sekarang juga!” Kelakuan kasar dan sombong Badwi tersebut membuatkan para sahabat sangat marah dan ingin bertindak balas. Namun Rasulullah SAW menangani sikap kasar lelaki Badwi itu dengan senyuman dan berkata kepada kami dengan senyum manis pula: “Berilah lelaki ini makanan apa sahaja yang dia mahu.” Kami lantas memberi si Badwi makanan yang dia minta. Dan kami tidak jadi mengajar dan membalas perbuatan Badwi tersebut kerana terlihat senyuman Rasulullah SAW.” (HR al-Tabarani).

Dalam hal ini, terlihat betapa pentingnya riak wajah dalam dakwah kerana ia mampu memberi ketenangan terhadap gejolak perasaan marah orang di sekeliling kita. Oleh sebab itulah, para daie dalam menghadapi kerenah sasaran dakwah perlu sentiasa tersenyum supaya daie yang lain mendapat ketenangan dan terus istiqamah dalam jalan dakwah. Kesabaran dan sikap tenang lantaran riak wajah sahaja sudah mampu menjayakan agenda dakwah. Lihat sahaja peribadi Rasulullah SAW yang mempunyai kesabaran yang tinggi dan sentiasa bermuka manis telah berjaya membuatkan orang-orang bukan Islam terbuka hati untuk memeluk Islam.

Dalam satu kisah yang lain yang masyhur bagaimana seorang pengemis Yahudi buta di pasar Madinah yang amat membenci Islam dan Rasulullah SAW sehingga kerja hariannya adalah melaung-laungkan di pasar tersebut dengan dakwaan kononnya Rasulullah SAW adalah seorang penipu, tukang sihir dan jangan sesekali menerima dan percaya kepada agama Islam. Namun Rasulullah SAW selalu mendatanginya dengan menyuapkan makanan dengan melembutkan buah tamar kepadanya. Baginda melakukan sedemikian sehingga menjelang wafatnya. Baginda tidak berkata apa-apa walaupun mendengar cacian pengemis Yahudi buta tersebut. Setelah Baginda wafat, bapa mertua dan sahabatnya, Saidina Abu Bakar datang ke rumah Aisyah RA dan bertanya: “Apakah ada lagi sunah Rasulullah SAW yang aku tidak kerjakan lagi?” Aisyah RA menjawab pertanyaan ayahnya: “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunah, hampir tidak ada satu sunah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunah sahaja lagi.”  “Apakah sunah itu?” tanya Abu Bakar RA. Aisyah menjawab: “Setiap pagi Rasulullah SAW pergi ke hujung pasar Madinah dengan membawa makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana.”

Keesokan harinya, Saidina Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar RA mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapnya, si pengemis Yahudi buta tersebut marah sambil menempelak: “Siapakah kamu?” Abu Bakar RA menjawab: “Aku orang yang biasa.” “Bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” jawab si pengemis buta itu. “Apabila dia (Rasulullah SAW) datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah makanan yang disuapi itu. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu dia berikan padaku dengan mulutnya sendiri,” pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Saidina Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya, lalu menangis sambil berkata kepada pengemis itu: “Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang selalu mendatangi kamu itu telah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah SAW.” Setelah pengemis itu mendengar kata-kata Saidina Abu Bakar RA, dia pun menangis dan kemudian berkata: “Benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia dan sabar.” Lalu, Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah dan memeluk Islam di hadapan Abu Bakar RA. Jelaslah melalui kisah ini betapa pentingnya menunjukkan keperibadian mulia dengan tetap sabar, bersikap lemah lembut dan bermuka manis dalam berdakwah.

Selain mendapatkan kebaikan kepada pendekatan dakwah melalui perwatakan berhemah dan bermuka manis, senyuman ikhlas seseorang itu akan turut mendatangkan manfaat kepada kesihatan tubuh badan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa senyuman ikhlas mampu memanjangkan hayat seseorang dan mampu memberi kesihatan yang baik kepada jantung dan juga menghilangkan tekanan.

Dalam kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik di Universiti Wayne State, Michigan terhadap sejumlah 230 orang pemain besbol melalui gambar senyuman mereka dalam majalah yang mana senyuman itu dikategorikan kepada tidak senyum, senyum separuh dan tersenyum lebar mendapati bahawa hayat pemain besbol yang tidak senyum purata hidupnya 72.9 tahun, manakala yang senyum separuh purata hidupnya 75 tahun dan yang tersenyum lebar purata hidupnya 79.9 tahun. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psycological Science ini merumuskan bahawa senyuman palsu tidak menyumbang kepada kesan yang sama sebagaimana senyuman yang tulus ikhlas dari hati.

Begitu juga satu kajian lain yang dilakukan oleh saintis psikologi Tara Kraft dan Sarah Pressman dari Universiti Kansas yang menyatakan bagaimana kesan senyuman yang berbeza kepada terapi tekanan hidup. Dalam satu artikel jurnal dalam Psycological Science mereka berhubung kajian mengenai senyuman biasa dan senyuman tulen atau senyuman Duchenne, mendapati terdapat kesan berbeza kepada kesihatan jantung apabila tersenyum ikhlas walaupun dalam melakukan aktiviti yang memberi tekanan. Mereka menyarankan, apabila berada dalam tekanan seperti terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, cara yang terbaik adalah dengan senyuman.

Sebagai rumusannya hendaklah para pendakwah sentiasa menunjukkan riak muka yang manis kerana ia sunah Nabi SAW di samping kelebihan lain yang bersifat saintifik dari sudut kesihatan tubuh badan. Senyumlah kerana ia sedekah, senyumlah kerana ia menyihatkan dan semoga apabila kita mati juga terlihat riah wajah senyum di muka kita lantaran niat kita mengikut sunah Nabi SAW. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *