Home » Persuasif » Lima kategori pengurusan kewangan mengikut umur

Lima kategori pengurusan kewangan mengikut umur

Mengurus wang membolehkan matlamat kewangan tercapai. Matlamat akan pasti tercapai sekiranya anda membuat sedikit perancangan dan mengurus hal kewangan dengan betul daripada awal lagi.

Berikut adalah lima kategori pengurusan kewangan mengikut umur yang dikemukakan oleh Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Perunding Hijrah Wealth Management Sdn Bhd ketika ditemui baru-baru ini:

Kategori pertama (20-30 tahun)

  1. Kategori ini biasanya terdiri daripada golongan muda yang belum berkahwin. Dalam lingkungan umur ini, banyak perkara baharu yang akan ditempuhi terutamanya alam pekerjaan. Oleh itu, cabaran pertama kali memegang duit gaji merupakan cabaran besar yang akan dihadapi terutama dalam cabaran menguruskan kewangan. Apa yang penting adalah tidak mudah tergoda dengan membelanjakan wang ke atas barangan yang tidak perlu dan bukan mendesak.
  1. Jangan terperangkap dengan gaya hidup berhutang terutama menerusi kemudahan kad kredit. Ramai orang yang terpengaruh dengan gaya hidup ini disifatkan sebagai ‘membelanjakan pendapatan masa depan’ (spending future income) demi untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mampu dimiliki dimasa sekarang (immediate gratification).
  1. Mereka daripada kategori ini juga biasanya akan menempuh alam perkahwinan. Bagi memenuhi keperluan itu, dinasihatkan agar jangan berhutang untuk berkahwin. Perkara itu tidak berbaloi malah akan mendatangkan pelbagai masalah di kemudian hari.

Kategori kedua (30-40 tahun)

  1. Pada usia lingkungan ini, keadaannya stabil sama ada dari segi pekerjaan justeru pendapatan juga semakin meningkat. Maka, di sinilah letaknya cabaran pengurusan kewangan kerana dengan semakin meningkatnya kerjaya dan pendapatan, maka cabaran pengurusan kewangan turut meningkat. Ibarat pepatah Melayu ‘besar periuk, besar pula keraknya’. Oleh itu, anda perlu bijak mengurus kewangan dengan membezakan antara keperluan dan kemahuan.
  1. Kerap kali anda akan tergoda membeli barangan melebihi keperluan. Kemahuan atau nafsu lebih berkuasa sehingga keperluan diketepikan. Semakin bertambah kemampuan kewangan, semakin bertambah kemahuan. Hakikatnya, duit dan harta yang ada hanyalah titipan dari Allah SWT. Justeru, jangan asyik membeli dan membelanjakan wang ke arah sesuatu yang tidak berfaedah.

Kategori ketiga (40-50 tahun)

  1. Pada peringkat umur ini, pengurusan kewangan semakin mencabar berikutan kedudukan anda yang semakin selesa. Ungkapan ‘life begin at forty’ mungkin ada benarnya. Berlaku perubahan yang cukup ketara terhadap pola dan gaya hidup yang menuntut perbelanjaan bulanan yang semakin tinggi. Had kad kredit semakin meningkat, suami, isteri mula berjinak-jinak dengan pakaian berjenama (ini tidak termasuk keperluan dan kehendak anak-anak lagi), sukan ‘high cost’ dan berprestij seperti golf dan melancong ke luar negara.
  1. Pada usia ini juga akan tumbuh satu kesedaran untuk menghulur sedekah dan sumbangan kepada mana-mana pihak yang memerlukan. Meskipun pada asasnya, amalan bersedekah ini perlu ditumbuhkan dalam keadaan apa jua dan bukan menunggu keadaan kukuh terlebih dahulu, namun pada kebiasaannya perkara itu berlaku dalam kalangan masyarakat kita dalam kategori ini.

Kategori keempat (50-60 tahun)

  1. Pada peringkat umur ini, pengurusan wang ditumpukan kepada persediaan kos kesihatan dan persaraan. Dalam hal ini, perlu dirancang dengan baik kos perubatan dengan cara menabung atau menjadi ahli mana-mana insuran kesihatan. Soal kesihatan ini sering terlepas pandang dan diambil ringan. Padahal ada di antara individu yang terpaksa bekerja kuat walaupun setelah pencen bagi menampung kos sara hidup dan kesihatan disebabkan tidak ada perancangan yang baik sebelum ini.
  1. Dianggarkan lebih 60 peratus daripada pencarum KWSP hanya mempunyai tabungan sebesar RM100,000 menjelang usia 55 tahun. Jika seseorang itu hidup selama 20 tahun selepas usia persaraan dan wang RM100,00 ini, dibahagikan dengan 240 bulan saraan, individu ini hanya akan menikmati RM417 setiap bulan. Maknanya, individu ini termasuk dalam kategori miskin tegar.

Kategori kelima (60-an dan ke atas)

  1. Pada peringkat umur ini, bolehlah dianggap sebagai era ‘menikmati hidup’. Kategori dalam lingkungan umur ini juga sebagai ‘era melangsaikan semua hutang’ sama ada hutang yang tertunggak mahupun hutang pinjaman termasuk pinjaman rumah atau kereta. Ada sesetengah orang berpendapat, pada usia 60 tahun ke atas, anda tidak seharusnya hidup bersantai-santai dan mestilah terus bekerja bagi memastikan otak sentiasa aktif dan cergas. Namun, tidak dinafikan, ada juga yang berpendapat sebaliknya.
  1. Namun, apapun pilihan anda, anda perlu mengatur wang persaraan anda dengan bijak. Antara langkah yang boleh diambil adalah melaburkan wang pencen ke dalam amanah saham agar dapat terus memenuhi keperluan hidup yang saban tahun terus meningkat. Walau bagaimanapun, jangan sesekali mempercayai skim cepat kaya dan terpedaya dengan pulangan amat tinggi sehingga tidak masuk akal.
  1. Agihan atau penggunaan dana persaraan seperti gratuiti dan ‘golden handshake’ wajib dipakai secara hati-hati agar tidak cepat habis. Gunakan dana yang ada untuk membuat pelaburan pasca persaraan supaya dapat menikmati dividen yang bakal diraih daripada pelaburan itu.
  1. Perkara penting lainnya ialah bagaimana menguruskan kewangan menjelang ‘umur senja’ ini dengan menulis wasiat. Ramai umat Islam salah faham dan menganggap hukum faraid sudah ada sehingga tidak perlukan wasiat. Orang bukan Melayu ramai yang menulis wasiat sebab kesedaran yang tinggi dan bagi memastikan harta yang ditinggalkan akan diwarisi dengan cara yang tersusun.
  1. Ubahlah cara pengurusan kewangan apabila menginjak zaman persaraan. Hal ini kerana nilai wang pada masa depan tidak mampu mengatasi kenaikan kos sara hidup tahun demi tahun. Apa yang penting adalah memastikan peruntukan kos sara hidup sentiasa dimasukkan dalam akaun simpanan setiap bulan.- MAJALAH DAKWAH.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *