Home » Persuasif » Hakikat pakaian

Hakikat pakaian

Oleh IBANAH SUHROWARDIYAH

Sampai hari ini, ramai di kalangan umat Islam di Nusantara masih belum dapat membezakan antara nilai atau prinsip Islam yang universal (sejagat) dengan nilai-nilai yang bersifat partikular (tempatan). Tidak sedikit yang beranggapan semua tradisi dan budaya yang datang dari kawasan Arab (sebagai negara yang telah melahirkan Islam) pasti Islamik dan mesti diikuti sepenuhnya tanpa soal. Pihak yang menyoal, kritikal dan mempertikai budaya itu akan dianggap sebagai pihak yang menyoal ajaran agama.

Hal ini misalnya, dapat dilihat dalam pakaian jubah, serban atau produk budaya Arab lainnya. Dengan menggunakan jubah atau serban yang dililitkan di atas kepala, maka akan dianggap sempurna keimanannya dan menepati kehendak Islam. Yang menggunakan ungkapan-ungkapan “ana”, “anta”, “akhi” dan “ukhti” dianggap mencorakkan keislaman yang kental.

Bagi yang menggunakan baju Melayu, kain pelikat ketika beribadah bagi lelaki akan dilabel sebagai tidak mengikut Sunnah Nabi. Bagi kaum Hawa, yang mengekal dan menggunakan pakaian baju kurung dianggap sebagai kurang Islamik. Lebih malang lagi, pemakaian baju tradisional akan dituduh sebagai pihak yang mengamalkan taksub buta kepada adat jahiliah. Pakaian atau baju menjadi kayu pengukur kadar keimanan seseorang.

Di Indonesia, terdapat sebilangan kelompok Islam yang menampilkan jubah sebagai identiti kumpulannya. Dengan jubah itu, kumpulan ini amat dikenali sebagai golongan yang lantang menentang sebarang kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku di masyarakat. Malangnya, dalam menjalankan misi dakwahnya, kumpulan ini kerap kali melanggar undang-undang dengan bertindak sendiri dan mengabaikan pihak berkuasa.

Tidak jarang, dengan jubah yang dipakainya dan disertai dengan pekikan takbir, mereka merosakkan bangunan yang dianggap sebagai simbol pelanggaran agama. Kumpulan ini lupa atau mungkin tidak faham bahawa dalam berdakwah, Nabi tidak pernah melakukan kekerasan dan keganasan terhadap masyarakat yang jauh dari Islam. Nabi Muhammad SAW dengan jubah yang dipakainya, menyerukan dakwah dengan kasih sayang dan sentiasa berdoa untuk ummatnya. Rupanya, kumpulan ini hanya mengikuti Nabi dengan menggunakan jubah sebagai atribut luaran sahaja, tidak mencontohi sikap dan budi pekerti Nabi yang luhur.

 

Kumpulan Politik dan Organisasi Sivil

Di Malaysia, terdapat dua kumpulan dengan penampilan yang sama pernah wujud terutama pada tahun 1980-an. Satu kumpulan bergerak dalam kerangka politik dan satu kumpulan yang lain bergiat cergas dalam organisasi sivil. Dengan jubah putih yang dikenakannya sama ada oleh golongan elit mahupun penyokongnya, kumpulan politik ini kerap ‘menyerang’ dan mengecam kumpulan Islam lain yang tidak sealiran  dan sefaham dengannya. Lebih dari itu, tanpa segan silu, mereka menuduh kafir dan terkeluar daripada Islam sehinggalah muncul fenomena kafir-mengkafir yang cukup dahsyat itu.

Perilaku dan sikap mereka ini kerap terpapar dan menghiasi dalam media massa pada era tahun 1980-an seperti dalam Asiaweek majalah mingguan terbitan Hong kong dalam laporannya pada 24 Ogos 1984 yang bertajuk A Storm in the North, majalah ini melaporkan kumpulan elit parti politik agama yang melakukan road show ke seluruh negara bagi ‘menghukum’ dan melabel kumpulan Islam lain yang memerintah negara ini sebagai taghut, mengamalkan sistem jahiliah dan berkiblatkan kepada warisan penjajah. Akibatnya, ramai penyokong di akar umbi sanggup bertindak ganas, menghukum kafir dan memulau saudara seiman kerana berbeza pandangan politik.

Begitupun, dengan kumpulan jubah yang bergiat dalam organisasi sivil. Mereka lebih suka hidup secara eksklusif dan menyendiri dengan membina perkampungan dan komuniti tersendiri. Mereka seolah-olah lupa bahawa mereka hidup di negara majmuk yang terdiri dari pelbagai kaum, agama, bangsa hatta kerencaman fahaman keagamaan. Dengan jubah yang sentiasa dipakainya itu, mereka meyakini telah mengamalkan ajaran Nabi meskipun dengan cara mengabaikan komuniti lain. Walhal, itu juga termasuk perkara muamalah yang ditekankan dalam ajaran Islam sehingga Nabi pernah bersabda tidak beriman seseorang jikalau dia mengabaikan dan tidak menghormati jiran tetangganya.

Dalam konteks ini, tidak bermakna kita menentang dan menolak jubah dipakai oleh umat Islam. Kita tidak mengatakan bahawa pemakaian jubah itu adalah buruk dan patut dielakkan. Namun, pemakaian jubah seharusnya mencerminkan sikap dan akhlak pemakainya. Memakai jubah tidak hanya semata-mata kerana Rasulullah dan para sahabat Nabi menggunakan jubah yang bererti telah mengamalkan sunnah, akan tetapi ia mesti diselaraskan dengan tingkah laku, akhlak, kefahaman dan penghayatan agama yang mendalam. Jika tidak, maka ia akan hanya menyerlahkan wajah Islam yang negatif dan yang lebih buruk lagi, akan disalahfahami oleh orang bukan Islam.

Kita seharusnya dapat membezakan secara jelas dan tegas antara nilai-nilai tradisi dan nilai-nilai agama. Penggunaan jubah itu merupakan contoh yang baik dalam memahami isu ini. Nabi menggunakan jubah tidak lari daripada menghargai tradisi pakaian orang Arab kerana Nabi memang lahir di situ. Seandainya Nabi lahir di Nusantara misalnya, sudah tentu lah pakaian yang dipakai oleh Nabi pakaian yang biasa dipakai di Nusantara ini.

Dalam Islam sendiri, konsep berpakaian tidak ditentukan oleh bentuk dan ukuran sesebuah baju itu merujuk kepada kaum dan komuniti tertentu. Ia diserahkan sepenuhnya kepada umat Islam untuk diterjemahkan dalam bentuk yang sesuai dengan kehendaknya dengan syarat pakaian itu tidak mendedahkan aurat dan batasan-batasan lain yang telah disepakati oleh jumhur ulama. Dalam al-Quran sendiri disebutkan sebaik-baik pakaian ialah ialah ‘pakaian’ takwa (al-A’raf: 26).

Maknanya, pakaian yang sesungguhnya ialah cerminan dan manifestasi pada sikap, akhlak, ketakwaan, keimanan dan perilaku diri kita. Kayu pengukur utama berpakaian dalam Islam terletak di dalam batin kita dan ianya bersikap intrinsik (dalaman hati). Bukan dalam bentuk secara fizikal dan terlihat secara mata kasar seperti jubah yang menjela-jela hingga ke tanah, serban yang dililit di atas kepala dan pakaian yang menutup seluruh tubuh badan sehingga hanya ternampak kelopak kedua matanya saja.

Penggunaan pakaian yang dipersepsikan sebagai Islamik perlu diselaraskan dengan kebersihan hati dan jiwa yang sepenuhnya dipersembahkan semata-mata kerana dan hanya kepada Allah SWT. Amalan dan kesolehan seseorang menjadi titik perbezaan di antara orang yang bertakwa dan sebaliknya. Orang yang dikasihi dan dekat dengan Tuhannya itu terletak pada manusia yang mampu membezakan benda-benda yang bersifat zahir kepada perkara yang hakiki.

 

Hikmah Nazariyyah Dan Hikmah Amaliyyah

Dalam hal ini, menarik kiranya pandangan salah seorang tokoh sufi Shihabuddin al-Suhrowardi yang mencetuskan teori mengenai hikmah nazariyyah dan hikmah amaliyyah. Menurut tokoh tasawuf kelahiran Persia yang juga dikenali sebagai pencetus teori theosofi ini menyatakan manusia perlu menggabungkan kedua hikmah itu dalam menjalani kehidupan beragamanya dan bagi mengenali Sang Pencipta.

Menerusi hikmah nazariyyah, manusia diajarkan untuk berfikir secara falsafi yang membolehkan manusia dapat membezakan antara kebenaran hakiki dan kebenaran lahiriah. Dengan hikmah ini, manusia tidak mudah menjatuhkan hukuman terhadap pandangan yang secara lahiriah bertentangan dengan hukum agama. Sebaliknya, ia melihat itu semua dengan pandangan hakiki dan merentasi tabir di sebalik peristiwa tersebut.

Manusia dapat melewati proses ini setelah mempelajari dan mengamalkan hikmah amaliyyah iaitu hikmat yang didapat melalui pengamalan secara tasawuf. Melalui hikmah ini seseorang akan mendapatkan proses penyucian jiwa dan hati sehingga ia mampu mengenali Tuhannya yang selama ini tertutup oleh kelakuan dan sifat manusia yang buruk.

Oleh itu, penting kiranya setiap diri kita untuk mensucikan fikiran dan jiwa kita tidak hanya kepada simbolisme material, tapi yang lebih utama ialah kebenaran hakiki yang sejatinya merupakan ajaran yang penting dalam Islam. Tapi kerap kali dilupakan oleh manusia kerana lebih mementingkan sifat lahiriah.- MAJALAH DAKWAH

Ibanah Suhrowardiyah ialah alumni pelajar Sarjana, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *