Home » Persuasif » Sinergi ulama dan seniman dalam dakwah

Sinergi ulama dan seniman dalam dakwah

Oleh  WARTAWAN DAKWAH

Tidak dapat dinafikan, sifat semula jadi manusia ialah menyukai seni dan hiburan. Seni dan hiburan tidak hanya menjadi alat kepada keperluan manusia untuk menghibur diri daripada kepenatan setelah balik kerja atau menghilangkan tekanan, akan tetapi seni juga menjadi media dakwah yang amat berkesan dalam menyampaikan mesej agama dan penghayatan ajaran Islam.

“Keperluan manusia terhadap seni dilandasi oleh kenyataan bahawa seni menyerlahkan sesuatu yang indah. Semua yang indah itu disukai manusia. Sesuatu yang merosakkan dan tak elok itu bukan seni,” kata Prof Dr Siti Rugayah Tibek, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

“Pendekatan seni dalam berdakwah amat penting dan bersesuaian digunapakai dalam zaman ini. Malah hukum pendekatan seni dalam dakwah menjadi wajib sekiranya kita tidak buat, akan menyebabkan kita ketinggalan dan tewas kepada agama lain dalam menyampaikan misi agama. Oleh itu, tidak timbul persoalan status hukum seni sama ada haram, ditegah atau dielakkan selagi ia tidak lari daripada kepatutan syariah (shariah complience),” ujar beliau.

Prof Siti Rugayah yang juga dikenali sebagai pendakwah dan pakar seni dan kebudayaan Islam berpendapat terlalu banyak contoh dalam ajaran Islam yang memperihalkan kaedah seni dalam berdakwah. Beliau memetik satu hadis  yang menceritakan: “Nabi Muhammad sendiri pernah ‘berlakon’ di depan sahabat-sahabat dalam proses menjadi seorang Rasul. Baginda melakonkan semula lakonan Malaikat Jibril yang menyamar menjadi manusia dan menjumpai Nabi.

“Nabi melakonkan perjumpaan antara dirinya dengan Malaikat dan terjadinya dialog seperti soalan “ma huwal Islam, ma huwal iman” (apakah Islam, apakah iman) agar para sahabat lebih mudah memahami mesej yang hendak disampaikan. Pendekatan lakonan juga bertujuan mempelbagaikan kaedah dakwah yang lebih menarik dan inovatif. Inilah dakwah”. katanya lagi.

Ini bermakna bahawa ‘lakonan’ Rasulullah itu menjadi contoh dan justifikasi kepada penerimaan seni dalam berdakwah. Menurut Prof Siti Rugayah lagi, “Memang lah pada zaman Nabi tidak ada produksi filem atau pementasan drama pada zaman ini. Kalaulah pada zaman Nabi saja sudah ada contoh mengenai kaedah seni dalam berdakwah sepertimana ‘lakonan’ Nabi itu, apatah lagi pada zaman ini. Dah tentulah ia perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih hebat lagi dan merancakkan kaedah seni dan dakwah di negara ini.”

 

Tidak Asing Dalam Islam

Dunia seni menurut Prof Siti Rugayah bukan sesuatu yang asing dalam Islam. Malah, kalau ditarik jauh ke belakang, akar-akar seni juga wujud dalam ‘lakonan’ Nabi Ibrahim. Sepertimana yang diceritakan dalam al-Quran, Ibrahim di hadapan kaumnya berkata “hadza rabbi” (apakah ini Tuhanku?) sambil menunjuk ke arah bintang, bulan dan matahari (lihat surah al An’am ayat 76-78).

Soalan yang diajukan oleh Nabi Ibrahim itu bukan bermakna Baginda tidak tahu terhadap Tuhannya. Akan tetapi, Nabi Ibrahim ‘berlakon’ dengan mengajukan soalan kepada kaumnya terhadap kewujudan Tuhan yang Esa.

“Nabi Ibrahim berharap dengan ‘melakonkan’ soalan itu, kaumnya dapat berfikir dan mencermati soalan yang dilontarkannya,” jelasnya lagi.

Apabila dakwah Ibrahim dengan lakonan itu dilakukan, ia cukup berkesan dalam memberi kefahaman kepada kaumnya. Dengan pendekatan lakonan, akan terjadi proses berfikir dan dialog di antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya. Dalam dialog itu misalnya disebutkan: “betul ke ini Tuhanku? Oh tidak, Tuhanku tidak tenggelam oleh waktu malam seperti bintang itu. Atau Tuhanku yang ini (bulan), kerana yang ini (matahari) lebih besar?”

Ini jugalah yang dinamakan dakwah. Dakwah tidak hanya tertumpu kepada pendekatan secara hitam putih atau dengan cara yang konvensional (berceramah dan mengajar). Hal ini kerana dakwah bentuk begini belum tentu berjaya memberi kefahaman yang mendalam dan pantas kepada pendengar.

“Dalam berdakwah, kita perlu menggunakan seni sebagai sarana untuk mencapai sasaran dakwah kita dengan tepat dan cepat. Contohnya dalam drama. Seni drama merupakan cerminan kehidupan manusia yang dilakonkan semula dan itu lebih berkesan berbanding kaedah berceramah, membaca buku dan menghadiri kelas pengajian,” tegas Siti Rugayah.

Beliau turut mencontohkan fenomena watak kartun Upin Ipin yang dari beberapa segi telah memainkan peranan yang besar dalam dakwah dan pengajaran agama kepada kanak-kanak.

“Mujur ada Upin Ipin. Zaman saya dulu, kita baru belajar mengenali nama Nabi, menghafal doa-doa, niat puasa, solat terawih dan pesan-pesan moral pada sesi belajar di sekolah. Sekarang ini budak tadika pun dah mengenali dan hafal semua benda yang diajarkan di sekolah itu selepas tengok Upin Ipin,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, bukan bermakna semua perkara itu dapat dijalankan melalui karektor Upin-Ipin.

“Ada juga beberapa perkataan dan perkara yang kurang baik dari watak itu. Justeru perlu diingat bahawa budak-budak sekarang ini lebih ‘mendengar dan mematuhi’ apa yang dilihat dalam watak Upin-Ipin daripada mendengar arahan dan tunjuk ajar ibubapanya. Ini satu realiti. Sebagai pendakwah, kita perlu menyesuaikan pendekatan dan kaedah dakwah sesuai dengan mad’u dan perkembangan semasa.

“Kita tidak boleh menyalahkan remaja kita yang asyik bermain game, tengok TV sedangkan kita sendiri tidak memanfaatkan teknologi untuk keperluan dakwah kita. Oleh sebab itu, ulama atau pendakwah perlu saling bekerjasama rapat dengan penggiat seni sama ada penerbit, penulis skrip, pengarah atau penyanyi untuk menghasilkan karya seni Islamik bagi mengisi kekosongan dakwah dalam bidang seni.

 “Kedua bidang kepakaran ini iaitu ulama dan penggiat seni tidak boleh mengasingkan diri kerana wujudnya perangkap persepsi bahawa masing-masing bidang tidak boleh disatukan. Ulama harus mendekati kalangan karyawan seni untuk kepentingan dakwahnya. Ulama juga berperanan memberi masukan dan cadangan terhadap kandungan skrip, penerbit meminta hukum hakam karya seni yang akan diproduksinya. Dengan begitu akan wujud sinergi dan saling melengkapi di antara dua entiti itu bagi misi dakwah dan mensyiarkan Islam di muka bumi ini,” ujar Prof Siti Rugayah menamatkan sesi wawancara- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *