Home » Citra Yadim » MDN anjur Persidangan Pendakwah Siswa Kebangsaan

MDN anjur Persidangan Pendakwah Siswa Kebangsaan

PUTRAJAYA 16 Mac – Majlis Dakwah Negara – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MDN-YADIM) akan menganjurkan Persidangan Pendakwah Siswa Kebangsaan pada 18 Mac ini bertempat di Dewan Jumaah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.
Pengarah Sekretariat MDN, Kapten (B) Shamsuddin Moner berkata, persidangan berkenaan yang membawa tema ‘Sinergi Pendakwah Siswa, Pencetus Harapan Ummah’ dijangka dihadiri oleh para siswazah dari universiti-universiti di negara ini.
Katanya, program berkenaan diadakan oleh salah satu dewan di bawah MDN-YADIM iaitu Dewan Siswa, Majlis Dakwah Negara (MDN) dan melibatkan kerjasama daripada beberapa agensi yang lain termasuk pihak institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau menjelaskan, antara pihak yang turut sama menjayakan program ini termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Sahabat YADIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
“Program ini dianjurkan dengan tujuan untuk menjadi medan kerjasama mahasiswa dari pelbagai IPT awam dan seluruh Negara untuk mereka mengumpulkan idea, resolusi dan cadangan mahasiswa untuk perancangan MDN ke arah perpaduan dan pembangunan ummah,’’ katanya.
Beliau berkata, persidangan ini juga akan menjadi medan untuk memilih dan merekrut mahasiswa yang berketrampilan untuk diserapkan ke dalam Dewan Siswa MDN, selain memupuk perbincangan secara akademik dan matang di antara mahasiswa dalam menyelesaikan sesuatu isu dan permasalahan.
Jelasnya, program ini akan dirasmikan oleh Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Mohamad dan disusuli dengan syarahan perdana oleh tokoh korporat, Pengerusi Nadi Corp Sd. Bhd, Tan Sri Mohd Nadzmi Salleh bertajuk `The Challenges for Future Entrepeneur’.
“Para peserta juga diberi peluang untuk bertanya soalan dengan Tan Sri Mohd Nadzmi dan ini merupakan kesempatan terbaik kepada mereka untuk mendapatkan banyak pendedahan mengenai kepimpinan dan dunia korporat,’’ katanya.
Selain itu, beliau berkata, pada program berkenaan juga memberi peluang seluas-luasnya kepada peserta untuk melontarkan idea melalui slot persidangan yang akan dipengerusikan oleh Ahmad Fahmi Mohd Shamsuddin.
Menurutnya, program berkenaan akan diakhiri dengan sesi penggulungan yang akan disampaikan oleh Pengerusi MDN, Prof Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *