Home » Citra Yadim » Kembara dakwah bersama Sheikh Muhammad al-Ninowy

Kembara dakwah bersama Sheikh Muhammad al-Ninowy

JOHOR BAHRU 16 Mac – Peluang berguru dengan alim ulama terkenal sememangnya tidak selalu diperolehi apatah lagi dengan ulama antarabangsa seperti Syeikh Muhammad al-Ninowy, seorang ulama terkenal dunia terutama di benua Amerika Utara.

Justeru, kehadiran beliau di negeri Johor dalam program Kembara Dakwah pada 10 hingga 12 Mac lalu telah diberikan sambutan yang begitu baik daripada penduduk sekitar bandaraya Johor Bahru yang tidak mahu melepaskan peluang bertemu dan mendengar pengajaran yang disampaikannya.

Pengurus Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Muhamad Ammar Abdullah berkata, program ini dirancang bagi memberi peluang kepada penduduk negeri Johor bertemu seorang ulama antarabangsa dan membuka minda mereka dalam banyak perkara berkaitan agama.

“Program Kembara Dakwah ini adalah bagi memberi peluang orang ramai di Johor bertemu Sheikh Muhammad untuk menimba ilmu selepas mereka tidak hadir pada program `Reviving The Islamic Spirit’, 4 dan 5 Mac lalu di Kuala Lumpur .

“Program berkenaan telah menampilkan ramai ulama terkenal dunia, termasuk Sheikh Muhammad,’’ katanya.

Beliau berkata, dalam program Kembara Dakwah itu, Sheikh Muhammad telah dibawa berceramah di lima lokasi iaitu Masjid Sultan Ismail universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Masjid Taman Sri Pulai Perdana, Surau MTP Abdul Kadir, Masjid Bandar Baru Uda dan Darul Ukhuwah, Johor Bahru.

Menurutnya, program ini adalah hasil kolaborasi banyak pihak termasuk YADIM, Pertubuhan Kebajikan Mutiara Kasih Johor, Majlis Azzikrul Hakim Johor, Ahli Sunnah Wal Jamaah Research Group (ARG),  Yayasan Darur Rahmah Negeri Johor, Al-Ghazali Centre Johor, Pusat Islam UTM, Masjid Bandar Baru Uda dan Darul Ukhuwwah

“Ini adalah kali pertama program ini diadakan dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran melebihi 500 orang.

“Dengan sambutan yang begitu baik ini, pihak penganjur merancang untuk mengadakan program ini lagi pada masa akan datang,’’ katanya.

Sheikh Muhammad atau nama penuhnya Dr. Muhammad bin Yahya Al-Husayni An-Ninowy dilahir dan dibesarkan di Syria dan memulakan pengajian agama dengan ayahnya, Sayyed Yahya dan ramai ulama di Aleppo, Syria.

Hasil daripada pengajian itu, beliau menghafaz al-Quran dan menguasai ilmu-ilmu Islam seperti tauhid, feqah mazhab Hanafi dan Syafie, usul dan ihsan.

Selain itu, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang usuluddin di Univeristi Al-Azhar dan mendalami bidang hadis dan tauhid di bawah tunjuk ajar ulama-ulama di Syria, Hijaz, Morocco, Mesir dan lain-lain.

Beliau adalah pengasas Madina Institute and Seminary di United Kingdom, Afrika Selatan, Kanada dan Amerika Syarikat.

Selain daripada ilmu agama, Sheikh Muhammad juga mempunyai ijazah dalam bidang mikrobiologi dari Universiti Illinois dan ijazah dalam bidang perubatan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *