Home » Persuasif » Bahasa, suatu nikmat dan tanda kekuasaan Allah

Bahasa, suatu nikmat dan tanda kekuasaan Allah

Oleh SUHAIMI JAMAUDIN

Satu keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada manusia ialah keupayaan bertutur dengan menggunakan bahasa. Keupayaan bertutur dengan sempurna seperti ini tidak ada pada haiwan. Keistimewaan ini disebut di dalam al-Quran dalam surah al-Rahman ayat tiga dan empat yang bermaksud: “Dialah yang menciptakan manusia. Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.”

Keupayaan berbahasa dan bertutur yang terdapat pada diri setiap manusia juga merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Ia merupakan nikmat yang wajib disyukuri kerana dengan keupayaan berbahasa dan bertutur manusia dapat membina tamaduan dan kemajuan.

Terdapat banyak bahasa di dunia ini yang berbeza dari segi fonetik, morfologi, sintaksis dan semantik. Setiap bahasa mempunyai keunikan dan keindahan tersendiri. Bahasa dikaitkan dengan bangsa. Wujudnya bahasa kerana wujudnya sesuatu bangsa. Bangsa pula ditandai dengan warna kulit yang berbeza. Firman Allah dalam surah al-Rum ayat 22 yang bermaksud: ”Dan di antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya) ialah kejadian langit dan bumi serta perbezaan berbahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan.”

Bahasa lisan yang dituturkan oleh manusia menghasilkan bunyi-bunyi bahasa yang mempunyai makna. Ia menjadi alat komunikasi yang penting. Bahasa adalah suatu kaedah bukan naluri untuk manusia menyampaikan idea, emosi dan keinginan melalui ciptaan simbol-simbol yang digunakan secara sedar.

 

Perkembangan setiap bahasa memperlihatkan wujudnya situasi saling mempengaruhi. Antara kesannya, wujud peminjaman perkataan di antara satu bahasa dengan bahasa yang lain. Kemajuan yang semakin berkembang pula turut memungkinkan wujud perkataan-perkataan dalam sesuatu bahasa gugur atau pupus kerana penggunaannya tidak popular lagi dalam bangsa berkenaan. Pada masa yang sama wujud pula perkataan-perkataan baharu menggantikan perkataan yang tidak digunakan. Bahasa yang melalui sejarah perkembangan yang lama telah mewujudkan dua bentuk bahasa yang disebut sebagai bahasa klasik dan bahasa moden.

Pembentukan  bahasa dan perubahan-perubahan yang berlaku sebagaimana yang dinyatakan di atas membuktikan bahasa itu bukanlah bersifat kaku dan tetap. Namun, perubahan berkenaan tidaklah melibatkan struktur utama dalam bahasa berkenaan. Perubahan hanya melibatkan perkara-perkara kecil atau perkara cabang. Sekiranya perubahan melibatkan struktur utama sesuatu bahasa, maka bahasa berkenaan boleh dikatakan sudah berubah menjadi bahasa lain.

Perubahan atau pembentukan sebarang perkataan yang wujud dalam sesuatu bahasa tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak secara sesuka hati. Persetujuan dan penerimaan ahli-ahli komuniti merupakan asas kepada berkembangnya atau gugurnya mana-mana perkataan dalam satu-satu bahasa. Beginilah caranya bahasa-bahasa di dunia ini tumbuh dan berkembang. Persetujuan ini bukanlah bermaksud berlaku dalam keadaan formal atau mesti secara bertulis, tetapi ia berlaku secara semua pihak menyetujuinya dengan bersedia menggunakannya sebagai tanda penerimaan.

Perubahan dalam perkembangan bahasa yang memungkinkan wujudnya berbagai-bagai bentuk bunyi-bunyi bahasa yang melahirkan pula makna-makna yang juga berbeza menunjukkan adanya ciri-ciri arbitrari atau sewenang-wenang dalam bahasa itu sendiri. Sebagaimana yang dinyatakan, definisi bahasa ialah suatu sistem simbol arbitrari untuk suatu kumpulan sosial bekerjasama. Keadaan ini menggambarkan seolah-olah seseorang itu bebas mencipta bahasa yang diingininya asalkan ia dipersetujui oleh sekumpulan ahli masyarakat dan mereka bersedia menggunakannya.

Ciri arbitrari inilah yang menyebabkan sesuatu bahasa itu boleh berkembang dan menyesuaikan dirinya mengikut perkembangan zaman. Ciri ini juga menyebabkan wujudnya beberapa dialek yang menjadi subbahasa utama dalam sesuatu bangsa. Begitu juga wujudnya bahasa serumpun yang mempunyai banyak ciri-ciri persamaan sebagaimana bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain di Nusantara.

Ciri arbitrari ini juga menyebabkan wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan cendikiawan bahasa terhadap beberapa aspek dalam satu-satu bahasa walaupun bahasa berkenaan sudah dinobatkan sebagai bahasa utama dalam bangsa berkaitan. Perbezaan pendapat ini bukanlah menandakan bahasa berkenaan lemah, tetapi sebagai bukti bahasa berkenaan terus hidup dan berkembang.

Jika ditinjau dari sudut sejarah, bahasa Melayu juga melalui proses yang panjang sehingga kini ia berkembang sebagai bahasa moden. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang bersedia menerima perubahan dan pembaharuan yang menyebabkan ia berupaya menjadi bahasa ilmu sehingga mampu mengungkapkan perkara-perkara berkaitan dengan ilmu sains dan teknologi. Rupa bentuk fonetik, morfologi, sintaksis dan semantik bahasa Melayu lama, jauh berbeza jika dibandingkan dengan bahasa Melayu moden. Perubahan dan perkembangan yang berlaku menunjukkan bahasa Melayu tetap hidup meniti zaman dengan membuat penyesuaian terhadap perubahan yang berlaku disekitarnya. Bentuk arbitrari yang menjadi ciri bahasa sememangnya wujud dalam proses perkembangan dan perubahan bahasa Melayu.

Para pengkaji berpendapat sekurang-kurangnya empat tahap sejarah dilalui oleh bahasa Melayu iaitu  purba, kuno, klasik, dan moden. Terdapat juga pendapat bahasa Melayu dibahagikan kepada lima zaman, iaitu zaman purba, zaman kuno, zaman klasik, zaman pramoden dan zaman moden. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran kerajaan dan bahasa perdagangan antarabangsa semenjak zaman kerajaan Sriwijaya lagi.

Kedatangan Islam di Melaka telah mengubah corak dan peranan bahasa Melayu. Peranannya tidak hanya setakat menjadi bahasa perdagangan dan pentadbiran semata-mata, tetap turut menjadi bahasa yang digunakan untuk menyebarkan agama Islam. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu pada ketika itu. Kedatangan Islam juga mengubah sejarah perkembangan bahasa Melayu apabila tulisan Jawi yang diambil daripada huruf-huruf  Arab menjadi tulisan yang digunakan dalam bahasa Melayu. Perbendaharaan kata juga turut bertambah terutama perkataan-perkataan yang digunakan untuk mengungkapkan istilah-istilah yang berkaitan dengan ajaran Islam.

Sejarah dan perkembangan bahasa juga wujud pada bahasa-bahasa yang lain. Bahasa Inggeris mempunyai keunikan tersendiri dalam sejarah perkembangannya sehingga kini menjadi bahasa antarabangsa. Bahasa Arab pula lebih unik dan hebat kerana ia menjadi bahasa al-Quran. Walaupun bahasa dikaitkan dengan bangsa yang menjadi penutur jatinya, namun ia dapat dipelajari dan kuasai bangsa-bangsa yang berlainan.

Walau apapun yang wujud pada bahasa-bahasa manusia di dunia ini, satu perkara yang seharus disedari dan insafi ialah bahasa yang dituturkan dan ditulis oleh manusia merupakan tanda kekuasaan Allah. Ia juga merupakan nikmat besar yang wajib kita syukuri. Menggunakan nikmat bahasa untuk perkara-perkara yang diredai Allah merupakan tanda syukur atas nikmat berkenaan. Perlakuan-perlakuan dosa-dosa lisan pula merupakan keengkaran terhadap nikmat yang dikurniakan.- MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *