Home » Citra Yadim » `Kecemerlangan’ juga dakwah

`Kecemerlangan’ juga dakwah

KUALA LUMPUR 20 Mac  – Golongan muda Islam perlu memperlihatkan sikap-sikap yang cemerlang dan seterusnya mencapai kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi kerana hal demikian juga merupakan satu bentuk `dakwah’.

Tokoh korporat, Tan Sri Mohd.  Nadzmi Salleh berkata, generasi muda Islam perlu berusaha dan mempunyai sikap ingin maju agar ia secara tidak langsung memperlihatkan ajaran Islam itu sendiri yang sentiasa menganjurkan manusia untuk maju di dunia dan akhirat.

“Apabila generasi muda Islam memperlihatkan kejayaan, maka ia juga adalah satu bentuk dakwah.

“Islam bukan setakat memakai serban atau bertudung semata-mata, tetapi lebih daripada itu,’’ katanya ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk `The Challenges for Future Entrepeneur’ pada Persidangan Pendakwah Siswa Kebangsaan pada 18 Mac lau bertempat di Dewan Jumaah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.

Persidangan berkenaan adalah anjuran Majlis Dakwah Negara – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MDN-YADIM) dan telah dihadiri oleh lebih 200 pelajar dari institusi pengajian tinggi tempatan.

Beliau berkata,  generasi muda Islam perlu mengubah sikap masyarakat Melayu yang pada asasnya berbentuk linear, simplistik dan dogmatik sehingga mereka gagal memajukan diri sendiri sebagaimana generasi muda dari kaum lain.

Menurutnya, golongan muda Islam juga perlu cepat menyesuai diri dengan keadaan semasa kerana ia akan memberikan banyak faedah bukan sahaja kepada diri mereka sendiri tetapi juga masyarakat Melayu keseluruhannya.

Jelasnya, kegagalan untuk menyesuaikan diri itu adalah antara kelemahan utama generasi muda Islam dan menyebabkan mereka ketinggalan berbanding kaum lain dalam pelbagai bidang.

“Untuk berjaya, generasi muda perlulah mempunyai mind-set yang betul, sentiasa sabar dan berusaha untuk menghadapi cabaran.

“Kesemua nilai-nilai berkenaan juga sebenarnya adalah selaras dengan nilai-nilai Islam,’’ katanya.

Beliau berkata, generasi muda yang ingin menjadi usahawan perlulah sentiasa berusaha menyelesaikan masalah dan membuang sikap terlalu suka mengkritik serta mempunyai misi dan visi yang jelas dalam kehidupan mereka.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat MDN, Kapten (B) Shamsuddin Moner berkata, penubuhan Dewan Siswazah bertujuan untuk mendapat pandangan daripada siswa dan siswi di pusat pengajian tinggi mengenai pelbagai perkara terutama dari segi perpaduan.

“MDN tidak berhasrat untuk menubuhkan kelab atau persatuan dan sebagainya di universiti tetapi hanya memfokuskan usaha-usaha penyatuan fikrah yang pelbagai dan menjadi pengikat kepada semua pihak agar bersatu,’’ katanya.

Beliau berkata, MDN tidak berhasrat mencampuri urusan siswazah di universiti seperti melantik individu dalam persatuan sebaliknya hanya mahu mencari kekuatan yang sedia ada untuk digemblengkan dalam usaha dakwah dan perpaduan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *