Home » Citra Yadim » MDN-YADIM anjur Multaqa Ilmuwan dan Profesional Terengganu

MDN-YADIM anjur Multaqa Ilmuwan dan Profesional Terengganu

PUTRAJAYA 21 Mac – Buat pertama kalinya, Majlis Dakwah Negara  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MDN) akan menganjurkan Multaqa Ilmuwan dan Profesional Terengganu (MIPT) dengan membawa tema `Peranan Ilmuwan dan Profesional Terengganu Dalam Memangkin Kelestarian Dakwah dan Pembangunan Ummah’.

Pengarah Sekretariat MDN, Kapten (B) Shamsuddin Moner berkata, program itu bakal berlangsung pada 25 Mac 2017 bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang bertempat di Hotel Permai, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

“Program ini akan menghimpun ilmuwan dan profesional Terengganu dari seluruh negara yang komited terhadap pembangunan dan kesejahteraan masyarakat  Terengganu.

“Dengan adanya program ini, MDN akan dapat mengumpulkan idea-idea bernas ke arah memangkin kelestarian dakwah dan pembangunan ummah di negeri Terengganu,’’ katanya.

Beliau berkata, melalui program berkenaan berharap para peserta yang hadir dalam mencadangkan perancangan jangka pendek dan panjang dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya masyarakat di Terengganu.

Katanya, program berkenaan adalah antara usaha berterusan MDN dalam mempromosikan perpaduan dengan mengadakan program menghimpunkan golongan-golongan tertentu seperti ilmuwan, agamawan, siswazah, wanita, Cina Muslim dan lain-lain lagi.

Menurutnya,  program berkenaan akan dimulakan dengan ucapan Pengerusi MDN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi  Abdul Majid sebelum disusuli dengan ucapan perasmian oleh Exco Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu, Ghazali  Taib.

“Seperti mana biasa, program ini akan dijalankan dalam format persidangan iaitu dimulakan dengan pembentangan usul sebelum persidangan dibuka bagi perbahasan.

“Dalam program ini, MDN akan menggunakan format persidangan bagi membolehkan ia digunakan semaksimum mungkin oleh para peserta untuk mengutarakan pandangan, idea atau cadangan terhadap usul yang telah dibentangkan,’’ katanya.

Beliau berkata, pembentangan usul multaqa merangkumi tiga perkara iaitu ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya dan akan disampaikan oleh pengerusi persidangan, , Prof. Dr. Fadzli Adam iaitu salah seorang ahli Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU) MDN.

Menurutnya, persidangan akan ditangguhkan pada tengahari sebelum disambung pada sebelah petang dengan sambungan perbahasan dengan sidang diambil-alih oleh Dekan, Pusat Pendidikan Asas dan Liberal UMT, Profesor Dr. Asyraf Abdul Rahman selaku pengerusi persidangan.

“Selesai perbahasan, rumusan akan dibuat oleh Panel Pakar multaqa dan seterusnya pembentangan resolus oleh Prof Dato’ Dr. Mohamed Anwar Omar Din,’’ katanya.

Selain MDN dan YADIM Zon Timur, program ini turut dianjurkan bersama oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *