Home » Citra Yadim » Strategi kukuh pimpinan dakwah

Strategi kukuh pimpinan dakwah

KUALA LUMPUR 20 Mac – Majlis Dakwah Negara (MDN) dan pihak berkuasa dalam negara diharap dapat menyediakan forum khas bagi menyusun strategi kepimpinan dakwah jangka pendek dan jangka panjang dengan selesa dan teratur.

Pengerusi Dewan Siswa MDN, Amirullah A Wahab berkata, ia penting supaya mahasiswa Islam boleh bergerak maju dalam melaksanakan misi dakwah dan pemantapan sahsiah generasi pemimpin masa hadapan negara ini.

“Para mahasiswa yang bersidang pada hari ini juga memahami bahawa mahasiswa merupakan pelapis pendakwah dan pemimpin masa hadapan yang mempunyai potensi besar di dalam masyarakat. Oleh itu MDN digesa mengatur strategi untuk menyediakan program-program latihan kepada pendakwah siswa untuk mempersiapkan mereka dalam menempuh cabaran pasca-siswa,” katanya pada Persidangan Pendakwah Siswa Kebangsaan, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kampus Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Menurutnya, Dewan Siswa MDN juga menyarankan mahasiswa Islam bergerak menggembleng usaha ke arah kesatuan umat Islam di negara ini.

“Persidangan juga menyeru semua pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah agar menjauhkan diri daripada terlibat dalam perbalahan mazhab di negara ini, sebaliknya menyelesaikan apa-apa perbezaan pendapat dengan baik dan teratur,” katanya.

Dalam persidangan itu, turut diusulkan cadangan mengenai komitmen yang akan diberikan Dewan Siswa MDN sebagai wadah penyatuan dan koordinasi dakwah kepada pergerakan siswa seluruh negara yang dibentangkan ahli jawatankuasa Dewan Siswa, Ahmad Fahmi Adzha.

Syarahan perdana turut diadakan bersempena persidangan itu yang disampaikan tokoh korporat terkenal, Tan Sri Nadzmi Salleh yang berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan cabaran dunia keusahawanan masa depan.

Persidangan pada kali ini disertai seramai kira-kira 200 pimpinan siswa daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS) dalam negara.

Perasmian penutup disempurnakan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad dan dihadiri tokoh-tokoh akademik dan wakil-wakil agensi.-www-sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *