Home » Langit Terbuka » Hindraf kumpulan pelampau, pencetus ketegangan Islam-Hindu: Dr Asri

Hindraf kumpulan pelampau, pencetus ketegangan Islam-Hindu: Dr Asri

BANGI, 25 April – Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) adalah pertubuhan pelampau yang mencetuskan ketegangan antara penganut Hindu dan Muslim dalam negara ini melalui tindakan-tindakan mereka sejak dahulu, tegas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook semalam, Asri berkata, masyarakat sewajarnya menghindarkan diri daripada tindakan provokasi persatuan Hindu itu.

Ini kerana, katanya, tindakan Hindraf telah membuatkan masyarakat bukan Islam yang tidak terbabit dengan isu ini khususnya penganut agama Hindu tersalah faham maksud puisi kontroversinya itu.

“Saya ingin beritahu mereka bahawa seperti yang saya jelaskan puisi itu memang sasarannya ialah tindakan Kerajaan India di bawah pimpinan Modi. Ini kerana Hindraf asyik berhujah dengan nama Kerajaan BJP tersebut.

“Perkataan dalam puisi ialah ‘Mempertuhankan’ bukan menyembah seperti yang diubah oleh sesetengah pihak. Dalam Bahasa Melayu antara makna ‘mempertuhankan’ ialah mengagungkan secara berlebihan.

“Ini seperti seseorang menyebut ‘dia mempertuhankan nafsu’ maksudnya dia melebihkan nafsu atas segala. Demikian hal yang berlaku di India sehingga sanggup menyiksa ataupun membunuh manusia kerana lembu.

“Saya secara ikhlas mohon maaf kepada mereka. Saya tidak pernah maksudkan penganut Hindu secara umum yang tidak terlibat dengan isu ini,” kata Asri.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kepada masyarakat bukan Islam yang membantah Dr Zakir Naik supaya tidak terikut dengan Hindraf.

“Sebaliknya carilah bukti dari ucapan beliau yang menunjukkan beliau mengajak kepada keganasan. Bukan sekadar dakwaan semata. Jika ada bukti yang jelas, saya bersedia membantah hal itu.

“Ada beberapa pihak termasuk muslim yang memberi pandangan kepada saya bahawa mereka tidak setuju dengan beberapa pendekatan Dr Zakir Naik. Untuk makluman, saya sendiri sejak awal juga ada memberikan pandangan berbeza tentang pendekatan beliau.

“Saya beritahu beliau sendiri suasana Malaysia. Beliau ada pandangan yang berbeza setakat ini. Itu hak beliau. Namun, itu bukan alasan dia dituduh terroris dan kena dihantar ke BJP di India,” katanya.

Malah, mufti itu berkata, beliau akan mengadakan satu dialog di antaranya dengan masyarakat bukan Islam dalam masa yang terdekat dan sesuai.

“Komitmen saya kepada keadilan antara manusia yang merentasi sempadan agama dan bangsa kekal kerana itu prinsip tertinggi Islam,” katanya.-www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *