Home » Citra Yadim » Jelajah keretapi mendekati masyarakat pedalaman.

Jelajah keretapi mendekati masyarakat pedalaman.

KOTA KINABALU 12 Mac – Program dakwah perlu dilaksanakan dengan meluas dan menggunakan kaedah yang kreatif agar lebih ramai golongan dapat didekati dan seterusnya mesej-mesej dakwah itu dapat disampaikan kepada mereka dengan lebih berkesan.

Hal inilah yang cuba diterapkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah yang mengadakan program `Sayangi Saudara Kita (Ambang Ramadan) Daerah Tenom 2017’ yang menggunakan keretapi bagi menjelajah kawasan-kawasan pedalaman bagi menyampaikan dakwah.

Pengarah YADIM Zon Sabah, Samin Ongki berkata, program yang diadakan secara kolaborasi dengan Tabung Haji Sabah itu, bertujuan menyantuni golongan `saudara kita’ yang berada di sepanjang laluan keretapi di antara Tanjung Aru dan Tenom.

“Pelbagai aktiviti diadakan di dalam keretapi sepanjang laluan berkenaan dan ketika di perhentian terakhir iaitu Tenom,’’ katanya.

Program berkenaan turut disertai oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Kamarlin Ombi,Pengurus Besar Kanan, Bahagian Sumber Manusia Tabung Haji, Hisham Harun, Pengurus Besar Sumber Manusia dan Kualtiti Tabung Haji, Norber Kasim dan Pengarah Tabung Haji Sabah, Datin Nurlaila Said.

Beliau berkata, ketika dalam perjalanan, antara aktiviti yang diadakan termasuk ramah mesra bersama para penumpang, kuiz bersama Geng Bubut Sabah FM, persembahan nasyid dari Kumpulan Infaq, tazkirah ambang Ramadan dan ramah mesra bersama anak-anak yatim As-Sakinah, Papar.

Menurutnya, rombongan telah tiba di Tenom pada kira-kira pukul 6 petang dan pada sebelah malam telah diadakan kuliah Maghrib dan penyampaian sumbangan kepada beberapa orang penduduk.

“Pada keesokan harinya, program gotong-royong telah diadakan di Kampung Kuala Tomani bagi membersihkan persekitaran masjid dan tanah perkuburan di kampung berkenaan,’’ katanya.

Menurutnya, program diteruskan dengan kenduri kampung yang melibatkan aktiviti gotong-royong memasak dan menyediakan juadah oleh penduduk kampung serta ahli-ahli rombongan.

“Program ini ternyata memberikan kesan yang baik kepada penduduk tempatan terutama dalam mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan dakwah di kawasan pedalaman,’’ katanya.

Beliau berkata, para penduduk tempatan juga memberikan sambutan yang sungguh hebat terutama dari segi acara sambutan yang diadakan serta penyertaan mereka dalam aktiviti yang telah disusun.

Menurutnya, program-program turun padang berkenaan sememangnya amat penting dalam konteks dakwah kerana ia akan membolehkan para petugas melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat di kawasan-kawasan berkenaan dan memahami serba sedikit permasalahan yang berlaku.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *