Home » Persuasif » Kembali semula kepada Islam

Kembali semula kepada Islam

Oleh MAHANOR SALEHA

Anak luar nikah atau tidak sah taraf membabitkan wanita Islam yang didaftarkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini berjumlah 159, 275 kelahiran (2013- 53,492 orang, 2014-54,614 orang dan 2015- 51,169 orang). Berita Harian, 13 September 2016.

Pastinya kenyataan ini sangat mendukacitakan sementelah pelbagai cadangan bagi membendungnya telah banyak dikemukakan oleh pelbagai pihak. Hakikatnya, isu kelahiran bayi tidak sah taraf bukanlah perkara baharu. Ianya telah berlegar dalam masyarakat sejak sekian lama tanpa adanya penyelesaian yang benar-benar berkesan.

Paling lantang ialah apabila ramai pengamal perubatan dan aktivis masyarakat mencadangkan wajar diperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah pada peringkat awal kanak-kanak lagi.

Misalnya, akhbar Berita Harian terbitan 10 September 2016 memakai tajuk “Modul pendidikan seks diperkenal bulan depan” dengan memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dr Rose Lena Lazemi: “Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Seksual Remaja Lelaki akan diperkenalkan di sekolah bermula bulan depan (Oktober) bagi menangani masalah salah laku seks dalam kalangan remaja.”

Modul berkenaan akan dilaksanakan secara rintis bagi “memupuk kesedaran untuk menjaga diri dan persekitaran bagi remaja lelaki serta ianya akan dimulakan di lima negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah.” Antara kurikulumnya ialah “seks sebelum berkahwin, variasi seks, kehamilan remaja, penderaan seksual dan penyakit kelamin termasuk virus HIV dan AIDS”.

Menurut Dr Rose Lena lagi, pada 2015 sebanyak 3,980 daripada 13,831 kes hamil luar nikah membabitkan remaja berusia 10 hingga 19 tahun. Lima negeri yang mencatatkan kehamilan remaja tertinggi ialah Sabah dengan 3,084 kes, Sarawak dengan 2,910 kes, Selangor dengan 1,461 kes, Johor dengan 1,391 kes dan Pahang dengan 940 kes.

Namun, apa yang menjadi persoalan ialah modul pendidikan seks tersebut hanya dikhususkan kepada remaja lelaki sedangkan gejala sosial dalam kalangan remaja turut membabitkan remaja perempuan. Sudahnya ramai yang beranggapan, modul yang bakal diperkenalkan itu sebagai satu bentuk hukuman kepada remaja lelaki sedangkan remaja perempuan juga wajar diberikan pengetahuan pendidikan seks.

 

Budaya Jahiliah Zaman Moden?

Kes kehamilan luar nikah dalam kalangan masyarakat Islam sebenarnya berkait rapat dengan budaya jahiliah kerana manusia semakin kehilangan etika kehidupan seharian. Manusia sedang mengalami krisis pandangan dunia, semakin melupakan roh Islam dan mengarahkan budaya hedonisme walaupun perspektif luarannya menggambarkan ciri-ciri Islam. Ini dapat dilihat hasil perkembangan budaya dan gaya hidup remaja Islam semasa dalam amalan seharian, walaupun bertudung tetapi roh Islamnya hampir tercabut.

Bertudung bukan lagi disifatkan sebagai amalan menutup aurat, kini ia dilihat sebagai gaya dalam mempamerkan kecantikan luaran. Sebab itulah setiap kali gaya bertudung fesyen baharu diperkenalkan, ada yang sanggup menunggu di pintu kedai untuk mendapatkannya walaupun kedai tersebut belum memulakan perniagaannya.

Begitu juga apabila diadakan jualan murah tudung berjenama dan menggunakan ikon selebriti diadakan. Fenomena ini telah berkembang seiring dengan budaya kapitalisme yang semakin mengeksploitasikan nilai-nilai Islam. Gaya Muslimah yang anggun pada pandangan gaya hidup semasa menjadi tarikan, dan dalam masa yang sama meninggalkan nilai-nilai Islam yang sepatutnya dilaksanakan sebagai benteng moral dan etika.

Semuanya mahu kelihatan cantik pada pandangan mata, tetapi jarang kedengaran remaja wanita bertekad untuk menjadi cantik dalam perspektif “cantik di dalam.” Kalaupun ada, kecantikan dari dalam itu ditafsirkan sebagai menjaga penampilan diri dan kesihatan agar kulit tidak cepat mengendur dan sentiasa berbadan langsing. Sebab itulah ramai yang sanggup berbelanja mahal untuk menjadi cantik dan kelihatan cantik, walhal secara semulajadinya manusia dijadikan oleh Allah SWT sebaik-baik kejadian.

Manusia memang amat tertarik dengan keinginan sendiri. Keinginan dalam Islam diistilahkan dengan nafsu. Dalam surah Ali Imran ayat ke-14, Allah SWT menegaskan: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada syahwat (perkara yang diingini nafsu), iaitu wanita-wanita, anak-anak dan harta benda yang banyak yang melimpah-limpah berupa emas, perak, kuda-kuda yang dipelihara yang bertanda serta baik, binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Demikian itu merupakan kesenangan hidup di dunia. (Ingatlah) disisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).”

Nafsu pula mengarahkan manusia untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma kehidupan yang ditetapkan. Allah SWT berfirman: “…sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada perkara kejahatan…” (Yusuf: 53). Manakala Rasulullah SAW bersabda:  “Dihiasi jalan menuju ke syurga dengan perkara yang di benci oleh manusia dan dihiasi jalan menuju ke neraka dengan segala keinginan manusia.” (HR Bukhari dan Muslim).

 

Peningkatan kes

Pendedahan Perangkaan Anak Tidak Sah Taraf yang terbaharu itu tidaklah mengejutkan ramai pihak berbanding ketika Jabatan Pendaftaran Negara menyiarkan laporan iaitu dari tahun 2000 hingga 2008 terdapat sejumlah 257, 000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa nama bapa. Ketika itu masyarakat dikejutkan di mana purata kelahiran luar nikah setahun ialah 32,125 orang, atau  2,500 kelahiran setiap bulan atau 83.3 kes setiap hari. Satu kelahiran luar nikah berlaku dalam tempoh 17 minit 17 saat.

Rekod kali ini menunjukkan berlaku peningkatan yang boleh dianggap hampir sekali ganda. Dalam tempoh tiga tahun (2013-2015), purata kelahiran anak luar nikah ialah 53,241 atau 4,436.8 kelahiran setiap bulan atau 145.9 kelahiran setiap hari atau enam kelahiran setiap jam. Ertinya, satu kelahiran bagi setiap 10 minit.

Pendedahan kali ini tidak mendapat liputan meluas media, hanya akhbar Berita Harian memberikan laporan dan kaedah penyelesaiannya berdasarkan perspektif KPWKM, memperkenalkan modul  Pendidikan Reproduktif dan Seksual Remaja Lelaki.

Modul Pendidikan Seks terlalu banyak diperkatakan dan dicadangkan agar dijadikan mata pelajaran di sekolah-sekolah bagi mengekang kes kehamilan luar nikah dan aktiviti seks selamat. Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak diterima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebaliknya memasukkan unsur-unsur berkenaan secara rentas kurikulum dalam mata pelajaran pendidikan kesihatan, pendidikan sivik, pendidikan moral, pendidikan Islam dan biologi. Pendekatan tersebut dianggap kurang berkesan kerana kes kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan remaja Islam.

Paling menggerunkan ialah ada dapatan kajian daripada sebuah syarikat pengeluar kondom mengkategorikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mengamalkan seks luar nikah dalam kalangan remajanya. Kajian Durex & Durex mendapati remaja Malaysia yang dijadikan responden mengakui melakukan hubungan seks luar nikah iaitu sebanyak 37 kali setahun (2001) kepada 62 kali setahun (2003) dan 86 kali setahun (2004).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun turut mendedahkan bahawa berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati 4.8 peratus rakyat Malaysia antara umur 13-24 pernah melakukan hubungan kelamin sementara lebih daripada satu pertiga (35.3 peratus) terdedah kepada pornografi kebanyakannya menerusi internet (60.8 peratus). Malaysiakini, 20 Mei 2016.

 

Himpitan Dari Budaya Barat

Tidak dinafikan antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan itu ialah “tidak mengamalkan Islam, keruntuhan rumahtangga ibu bapa, persekitaran sosial yang bebas, termasuk mangsa rogol, dadah dan gaya hidup,” sebagaimana dirumuskan dalam beberapa kajian perilaku seks dalam kalangan remaja di Malaysia.

Kajian-kajian sedemikian sudah banyak kali dilakukan oleh pelbagai pakar, agama, psikologi dan pendidikan, namun statistik terus menunjukkan peningkatan yang ketara. Ertinya, kajian-kajian yang dilaksanakan hanyalah lebih bersifat kajian “initial” dan bukannya mencari penyelesaian terbaik untuk mengawal kerosakan remaja Islam.

Islam sebagai agama yang serba lengkap telah mengalami pergeseran perspektif dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia hasil asakan dan himpitan dari budaya Barat. Asakan dan desakan ini telah menyebabkan umat Islam mengalami “krisis peradaban”,  hingga semakin meninggalkan keindahan hidup berasaskan Islam dan sentiasa berkiblatkan kepada falsafah kebendaan.

Kehidupan dan keindahan Islam telah digantikan dengan kesibukan mencari kesenangan bersifat sementara sehingga pesan-pesan yang diperintahkan oleh Allah SWT menerusi ayat-ayat al-Quran hanya menjadi hiasan dinding dan disimpan tanpa berusaha untuk diamalkan dalam kehidupan.

Nouman Ali Khan pernah menyuarakan penyesalan terhadap perilaku umat Islam yang berusaha mengelakkan diri daripada mencari keindahan makna dari setiap ayat al-Quran yang diturunkan sebagai panduan untuk umat Islam, walaupun Allah SWT menjanjikan bahawa mereka yang membaca, menghafal dan mendalaminya dijamin selamat di dunia dan di akhirat. Allah SWT menjaminkan kehidupan ini adalah sesuatu yang indah jika difahami dengan roh Islam.

Bekas Profesor Bahasa Arab di Kolej Komuniti Nassau dan pengasas Institut Bayyinah di Dallas, Amerika Syarikat itu menjelaskan: “Every ayat deserves attention. Everything has a value, everything has an particular direction (to Allah), everything if you pay attention to it, you will find something amazing in and it is calling for your attention. Once humanity stops appreciating the ayats, once humanity stops paying attention. This is the entire idea of ‘aql. The idea of using your mind is to pay attention, to look the world around you and pay actual attention. The only kind of people who don’t reflect is the people who don’t pay attention.” — Nouman Ali Khan, “What’s an ayat?” (https://www.bayyinah.tv ).

 

Kembali Kepada Islam

Hakikatnya, semua masyarakat Islam mengetahui mengenai bahaya zina, tetapi dalam kehidupan seharian mereka tidak cuba untuk menjauhi perilaku itu secara tegas dan berterusan walhal Allah SWT telah memberikan peringatan yang jelas: “Dan janganlah kamu hampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan).” (al-Israk: 32).

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman” (an-Nur: 2).

Kealpaan inilah sebenarnya membawa malapetaka besar kepada umat Islam sehingga memerlukan penyelesaian segera untuk mengatasi kelemahan umat Islam sendiri. Islam diturunkan sebagai cara hidup, bukan sekadar agama sebagaimana difahami sekarang, untuk memperbaiki akhlak manusia agar kehidupan menjadi indah, harmoni dan tenteram.

Dengan memperkenalkan pendidikan seks, ia tidak sepenuhnya menjamin bahawa tidak akan berlaku kehamilan di luar nikah dan kelahiran anak tidak sah taraf. Berdasarkan laporan pendidikan seks di negara-negara Barat, kehamilan luar nikah terus berlaku manakala potensi untuk bersekedudukan tanpa ikatan perkahwinan semakin meningkat.

Sebab itulah pendidikan seks bukan jalan penyelesaiannya kerana masih banyak lagi stigma yang perlu diberikan perhatian termasuklah mengawal kemasukan bahan-bahan pornografi (menerusi teknologi maklumat dan internet), keghairahan berfesyen,  kebebasan pergaulan,  peragaan berbusana di khalayak awam, ekonomi kapitalisme dan aneka hiburan yang melekakan. Lebih menakjubkan ialah apabila semua umat Islam bersedia untuk kembali mendekatkan diri dan mengamalkan roh Islam, menghidupkan seluruh kehidupannya berpandukan al-Quran.

Kempen #Quranhour boleh dijadikan titik permulaan yang baik; sekurang-kurangnya boleh memberikan masa selama sejam sehari untuk memahami dan mengkaji makna serta keindahan ayat-ayat suci al-Quran. Pemahaman itu boleh membangunkan semula kekuatan umat Islam dan bukannya menambahkan lagi kekusutan hidup yang sedang dialami, termasuk kekusutan pemikiran, spiritual dan tingkahlaku.

– MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *