Bersama, berkasih sayang!

0
8

Oleh MOHD GUNAWAN CHE AB AZIZ

Mohd Gunawan Che Ab Aziz adalah Pegawai Khas Key Performance Indicator (KPI) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Al-Quran adalah perlembagaan hidup seorang Mukmin, malah menjadi panduan mereka dalam berkeluarga, bermasyarakat, bernegara hatta hubungan antarabangsa. Mereka mengimani bahawa al-Quran itu adalah titah perintah Allah Taala, yang mana di dalam titah suci murni Allah ini, terkandung jaminan kejayaan buat mereka.

Kita perlu mengimani dengan iman yang jazam, bahawa kejayaan kita ialah dalam mentaati perintah Allah sebagaimana panduan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “…Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (al-Ahzaab: 71)

Oleh itu, apabila Allah Azza wa Jalla menyatakan berkenaan jati diri umat ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)…” (al-Fath: 29). Maka ini bukanlah sekadar satu perkhabaran yang ingin menceritakan ehwal Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda, malah ia merupakan satu perintah agar mereka yang terkemudian daripada umat ini turut memastikan bahawa ciri-ciri dan jati diri yang disebutkan ini tetap utuh di dalam diri mereka.

Sekiranya ciri-ciri ini atau sifat yang dinyatakan ini hilang daripada diri umat, maka sikap mereka sesama umat juga akan berubah. Apabila hilang sifat rahmah sesama sendiri, maka akan sirna sama sikap merendahkan diri, saling memuliakan, saling mengasihi dan saling mencari kebaikan sesama saudara. Sedangkan merendahkan diri atas dasar cinta dan memandang kemuliaan saudara satu iman itu, adalah punca kemuliaan umat ini di sisi Allah. Jika mereka meraih kemuliaan melalui sifat ini, maka kebalikan daripada hilangnya sifat ini dari hati mereka, ialah mereka akan dihina oleh Allah Taala.

Imanilah peringatan Allah ini yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Maidah: 54)

Cuba diberikan perhatian, bagaimana Allah menyatakan bahawa antara sifat besar dan dasar seseorang yang beriman itu ialah mempunyai sifat ( أَذِلَّةٍ ) terhadap seorang Mukmin yang lainnya.

Imam Ibnu Kathir memberikan komentar, bahawa sifat yang disabitkan di dalam ayat ini adalah satu kesempurnaan sifat buat umat ini di mana mereka saling merendahkan diri terhadap saudara mereka. Di dalam Tafsir Jalalain pula dinyatakan, bahawa makna ‘azillatin’ di sini ialah umat Islam itu amat prihatin dan saling berbuat kebaikan sesama mereka.

Sebenarnya, sifat ‘azillatin’ ini wujud di dalam diri umat ini apabila mereka meyakini bahawa saudara mereka itu lebih mulia dan lebih layak dimuliakan melebihi diri mereka sendiri. Ini pula akan terhasil, hanya apabila zihin seorang Mukmin itu memahami bahawa betapa besarnya nilai iman yang ada di dalam hati setiap mereka yang bersaksi dengan kalimah Laa Iaaha ilLallah, Muhammadur Rasulullah!

Kefahaman ini perlu benar-benar dibina oleh umat ini tanpa mengira bangsa, bahasa, kerakyatan, kaum, puak, kelompok mahupun kepartian!

MAJALAH DAKWAH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here