Pemikirannya mendahului ilmuwan Barat

0
9

NAMA Ibnu Khaldun sudah tidak asing lagi dalam kalangan umat Islam, namun masih ramai tidak mengetahui secara terperinci latar belakang tokoh pemikir keturunan Arab yang mendahului ilmuwan seluruh dunia itu.

Nama sebenar Ibnu Khaldun ialah Abd. al-Rahman ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun. Gelaran Ibnu Khaldun diambil daripada nama moyangnya iaitu Khaldun.

Dilahirkan pada 27 Mei 1332 di Tunisia, Ibnu Khaldun dibesarkan dalam keluarga ternama, termasuk seorang abangnya, Yahia yang berkhidmat sebagai ahli politik dan ahli sejarah, manakala ayahnya merupakan individu terkenal dalam bidang persuratan (sastera).

Mendapat pendidikan awal dalam pendidikan al-Quran, matematik, geografi dan sejarah di Tunisia, Ibnu Khaldun memulakan kerjaya dengan berkhidmat kepada Sultan Tunisia pada tahun 1350 sebelum menduduki ahli majlis cendekiawan dan penyimpan mohor Sultan Maghribi di Fez.

Semasa berkhidmat dengan Sultan Maghribi, Ibnu Khaldun mula dikenali ramai kerana pendapatnya yang dianggap radikal. Antaranya, mengatakan bahawa pemerintah negara itu bukanlah wakil Tuhan atau manusia suci seperti didakwa masyarakat pada masa itu.

Atas sebab itu beliau dipenjarakan selama dua tahun. Setelah dibebaskan, Ibnu Khaldun meneruskan kembara ke Sepanyol (Andalusia) dan diterima baik oleh sultan negara itu.

Sebaik sahaja diterima, Ibnu Khaldun dilantik sebagai duta bagi menjaga kepentingan orang Kristian di Castilla dan setelah misi itu berakhir, beliau berhijrah ke Bougie, Algeria dan memegang jawatan sebagai Pegawai Penyelenggara Istana.

Setelah Sultan Bougie terbunuh, Ibnu Khaldun kembali ke Maghribi dan kembali menyampaikan kuliah di beberapa masjid di samping menghabiskan masa menelaah kitab. Beliau kemudiannya sekali lagi pulang ke Afrika Utara dan menetap di kota Ibnu Sakma yang letaknya berhampiran Constantinople.

Semasa di Constantinople, Ibnu Khaldun mula menulis karya besarnya berjudul Mukaddimah yang membawa maksud Pengenalan kepada sejarah. Berasaskan pemerhatian sepanjang kerjaya dan penglibatan peribadi dengan masyarakat pelbagai agama, beliau mengambil masa selama empat tahun untuk menyiapkan buku tersebut.

Setelah selesai merakam pengalaman, pandangan dan kupasan mengenai kebangkitan serta keruntuhan banyak negara, Ibnu Khaldun kembali ke Tunisia. Atas perkenan Sultan, Ibnu Khaldun diberikan kebenaran meninggalkan Tunisia untuk mengerjakan haji di Mekah dan tinggal beberapa bulan di Baitulmaqdis, Palestin.

Ibnu Khaldun seterusnya berhijrah ke Mesir untuk meneruskan khidmat sebagai cendekiawan, pendidik dan hakim. Kehebatannya membuatkan pihak Universiti al-Azhar, Mesir kagum dan setiap kali beliau memberikan kuliah mendapat sambutan amat menggalakkan.

Seorang cendekiawan ulung Mesir, al-Maqrizi turut mengambil peluang untuk bergaul dengan Ibnu Khaldun, terutama dalam bidang sosiologi dan teori kemasyarakatan.

KECINTAAN TERHADAP ILMU

Sepanjang berkhidmat dengan pentadbiran Timurlane (suku kaum Tartar), Ibnu Khaldun sekali lagi menumpukan perhatian menulis mengenai peristiwa sejarah dalam buku berjudul Kitab al-Ibar (buku mengenai pengalaman atau pengajaran).

Namun demikian, bukunya yang paling terkenal ialah Mukaddimah atau Prolegomena. Dalam buku itu, Ibnu Khaldun meletakkan sejarah sebagai acuan analisis dalam konteks sains pembangunan atau sains sosiologi sebagaimana dipelajari di universiti-universiti seluruh dunia.

Secara umumnya, buku Mukaddimah mengandungi dua jenis kerangka ilmiah, iaitu asas kajian sains sosial dan perkara-perkara yang boleh menyebabkan menghakis pandangan ilmiah. Penyusunan buku ini menggunakan kaedah lazim digunakan oleh ahli sejarah Islam terdahulu, iaitu kaedah naratif tradisional (memberi maklumat) dan kaedah akal bagi mengesahkan kesahihan peristiwa melalui alasan yang kuat.

Kaedah pertama dikenali sebagai pendekatan deduktif, manakala kaedah kedua ialah induktif. Ibnu Khaldun dinilai sebagai seorang yang berjaya menerapkan prinsip sosiologi dan merupakan pemikir pertama melakukan perkara sedemikian.

Gaya pemerhatian Ibnu Khaldun terbukti mendahului teori ahli falsafah lain antaranya diperkenal oleh ahli sosiologi Jerman, Max Weber (1864-1920), teori penemuan kaedah penelitian masyarakat yang dikemukakan oleh Emile Durkheim (1855-1917), Augustus Comte (1798-1857) dengan teori arus kemajuan, Herbert Spencer (1820-1903) dengan teori evolusi, Pareto (1843-1923) mengenai teori kitaran elit, Nicollio Micheavelli (1469-1527) mengenai pendekatan politik dan pemilikan kuasa, John Locke (1632-1704), Karl Marx (1818-1883), ataupun Montesquieu.

Ibnu Khaldun meninggal dunia pada tahun 1406 pada usia 74 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sufi, Kaherah.

Bagaimanapun, pemikiran ilmiah Ibnu Khaldun hanya mendapat perhatian masyarakat apabila usaha beberapa orientalis menterjemah dan memberikan pandangan mengenainya, iaitu setelah Eropah mula bangkit dari zaman kegelapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here