Home » Langit Terbuka » DBKL warta tiga lagi kawasan larangan merokok

DBKL warta tiga lagi kawasan larangan merokok

KUALA LUMPUR 18 Mei –  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewartakan semua laluan pejalan kaki dan jejantas berbumbung serta terowong pejalan kaki bawah tanah di sekitar ibu kota sebagai kawasan larangan merokok, berkuat kuasa 15 April lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pewartaan mengikut  Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 itu bertujuan melindungi orang awam daripada ancaman asap rokok yang boleh membahayakan kesihatan.

“Terdapat 141 laluan pejalan kaki berbumbung di Kuala Lumpur dan bilangan ini akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Kegagalan mematuhi peraturan tersebut boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun,” katanya ketika melancarkan program ‘KL Bebas Asap Rokok di Jejantas dan Laluan Pejalan Kaki Bandaraya Kuala Lumpur 2017’ di sini hari ini.

Pada majlis itu, DBKL turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama  sembilan rakan perkongsian pintar terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti dalam usaha melaksanakan inisiatif ‘KL Bebas Asap Rokok’ menjelang 2045.

Mhd Amin berkata, penambahan kawasan larangan merokok itu mampu membudayakan amalan tidak merokok, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar berhenti merokok dalam kalangan perokok.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai dalam memperkukuhkan pemantauan pelaksanaan tersebut dengan menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa tempatan (PBT) .

“Tindakan penguatkuasaan oleh PBT sahaja tidak memadai, orang ramai juga saya minta tegur mereka  yang merokok di kawasan larangan dan jika mereka enggan boleh lapor di talian bebas tol 1800-88-3255 atau 03-2268 7333,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *