Home » Langit Terbuka » Sentiasa waspada penyebaran pengaruh Daesh

Sentiasa waspada penyebaran pengaruh Daesh

MARAN 18 Mei – Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan penyebaran fahaman kumpulan militan Daesh khususnya menerusi laman so­sial yang bertujuan mempe­ngaruhi dan menarik rekrut baharu menyertai perjuangannya.

Ketua Penolong Pengarah Ba­hagian Counter Terrorism, Ca­wangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengikut kumpulan ber­kenaan berterusan cuba menyebarkan fahaman mereka termasuk kepada pelajar dan pensyarah universiti.

“Walaupun kumpulan militan Daesh banyak kehilangan kawasan di Syria dan Iraq serta ramai pengikutnya terbunuh tetapi mereka masih aktif me­lakukan penyebaran fahamannya menerusi media sosial.

“Mereka menyasarkan semua lapisan masyarakat dari pelajar sekolah sehingga anggota keselamatan,” katanya selepas menyampaikan ceramah Bahaya Fahaman Daesh Terhadap Keselamatan Umat Islam dan Negara dalam program Bicara Mufti di Seberang Chenor, di sini baru-baru ini.

Menurut Ayob Khan, pengikut kumpulan militan Daesh menggunakan sepenuhnya media sosial untuk menyebarkan ideologi mereka kepada orang ramai.

Beliau berkata, setakat ini, po­lis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyekat hampir 30 laman web dan Facebook berkaitan kumpulan itu di negara ini.

“Polis tidak akan berkompromi dengan individu yang terlibat de­ngan kumpulan militan Daesh dan menguatkuasakan un­dang-undang sedia ada berhu­bung kesa­lahan berkenaan,” te­gasnya.

Dalam pada itu, beliau me­nye­ru golongan cendikiawan dalam bidang agama Islam supaya memainkan peranan de­ngan lebih agresif dalam membendung fahaman Salafi Jihadi yang menyalahtafsirkan maksid jihad yang disebarkan oleh kumpulan berkenaan.

Katanya, golongan ulama, tokoh agama, ahli akademik dan jabatan agama Islam perlu memainkan peranan dengan memberi pe­nerangan kepada orang awam berhubung perkara tersebut.

“Jika ideologi yang disebarkan kumpulan itu tidak disanggah secara serius dikhuatiri mudah mempengaruhi pemikiran orang awam yang kurang pen­getahuan agama Islam,” katanya.- www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *