Home » Langit Terbuka » Unit 180 Korea Utara dalang serangan ‘Ransomware’

Unit 180 Korea Utara dalang serangan ‘Ransomware’

SEOUL, 22 Mei – Agensi perisikan utama Korea Utara, Unit 180 didakwa menjadi dalang serangan siber Ransomware yang menjejaskan lebih 300,000 komputer di 150 negara minggu lalu.

Pakar keselamatan internet memaklumkan, pihaknya menemui bukti teknikal yang mengaitkan negara itu dengan serangan siber Ransomware WannaCry.

Bekas Profesor Sains Komputer negara itu, Kim Heung-kwang berkata, kumpulan ‘penjenayah siber’ terancang di Pyongyang se­perti Unit 180 menyasarkan untuk memperoleh wang tunai daripada mangsa mereka.

Katanya, Unit 180 merupakan sebahagian daripada rangkaian Biro Umum Reconnaissance (RGB) iaitu agensi perisikan utamanya di luar negara.

“Unit 180 ini terlibat dengan aktiviti penggodaman institusi kewangan dengan melanggar syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mengeluarkan wang daripada akaun bank,” katanya lagi.

Sebelum ini, Korea Utara pernah didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan penggodam, Lazarus yang dikaitkan dengan kejadian rompakan siber di bank pusat Bangladesh tahun lepas.

Selain rompakan yang menyebabkan kerugian sehingga AS$81 juta (RM349.92 juta) itu, Lazarus turut dikaitkan dengan kejadian serangan di studio Hollywood, Sony pada 2014.

Susulan itu, Amerika Syarikat (AS) dikatakan menuduh Korea Utara bertanggungjawab terhadap ke­dua-dua insiden berkenaan.

Bagaimanapun, Korea Utara menafikannya dan menganggap dakwaan tersebut sebagai ‘tidak masuk akal’. –Agensi

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *