Home » Langit Terbuka » Dunia Islam kutuk keganasan – Najib

Dunia Islam kutuk keganasan – Najib

RIYADH 22 Mei – Malaysia mengingatkan dunia bahawa negara Islam sentiasa bersama dalam membasmi ancaman keganasan sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap pada Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat, di sini, sebentar tadi, menegaskan dunia tidak seharusnya meragui pendirian negara Islam.

“Sidang kemuncak ini memang kena pada waktunya. Dunia perlu diingatkan bahawa negara Islam yang hadir hari ini mengutuk sepenuhnya keganasan dan ekstremisme,” kata Perdana Menteri.

Najib adalah antara pemimpin yang diberi penghormatan berucap selepas Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan ucapan pada pada sidang kemuncak bersejarah yang dihadiri pemimpin lebih 50 negara Islam lain.

Sidang kemuncak anjuran Arab Saudi sempena lawatan Trump itu bertujuan mewujudkan kerjasama keselamatan yang lebih mantap dan berkesan bagi menangani dan membendung ancaman pengganas serta ektremis di seluruh dunia dengan menggalakkan sikap toleransi dan kesederhanaan.

Najib yang memulakan ucapan dengan mengucapkan penghargaan kepada Raja Salman kerana menganjurkan sidang kemuncak bersejarah itu, berkata disebabkan persamaan agama dan budaya, Malaysia berasa rapat dengan rakyat dan negara rantau ini.

Perdana Menteri berkata, ketidakstabilan semasa di Asia Barat menimbulkan kebimbangan Malaysia.

“Rantau yang tidak stabil adalah tanah subur untuk keganasan bercambah,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar wujud kepercayaan meluas bahawa Iran menyumbang kepada ketidakstabilan di rantau ini.

Beliau berkata, sebagai negara yang menikmati hubungan baik dengan negara di rantau ini, Malaysia berasa Iran perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh dianggap mencampuri hal ehwal dalaman negara jiran.

“Ini bukan saja demi kestabilan serantau tetapi juga untuk perpaduan ummah,” katanya.-https://www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *