Home » Langit Terbuka » Qariah Malaysia johan tilawah

Qariah Malaysia johan tilawah

Hamed Alizadeh dari Iran muncul johan qari Tilawah Al-Quran Antarabangsa

KUALA LUMPUR 20 Mei – Edisi ke-59 Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun ini telah menyaksikan wakil negara, Normalina Alias membuktikan keunggulan apabila dipilih sebagai johan qariah ka­tegori tilawah dan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM110,000 yang berupa kepingan emas serta wang tunai selain piala iringan.

Normalina yang juga Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017 berjaya meraih mata keseluruhan 91.52 peratus jauh meninggalkan pemenang tempat kedua, Dayang Siti Noor Dzuhairah, qariah dari Brunei dengan mata 86.63 peratus.

Normalina berjaya menewaskan 25 qariah lain setelah berjaya menarik perhatian barisan juri yang menghakimi pertandingan itu daripada aspek tajwid, fasohah, tarannum dan alunan suara melalui bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Sementara itu, johan qari pula diungguli oleh Hamed Alizadeh Marghzari Gholam Hassan dan membawa pulang hadiah lumayan berupa kepingan emas bernilai RM70,000 di samping wang tunai RM40,000.

Peserta dari Iran itu memperdengarkan bacaan surah Al-Anfal (ayat 45) berjaya mengungguli kategori tilawah kali ini selepas berjaya menewaskan 29 qari lain yang turut memberi saingan sengit sepanjang enam hari temasya tahunan itu berlangsung.

Dalam pada itu itu, bagi kategori hafazan al-Quran pula menyaksikan peserta dari Senegal, Diallo Mouhamef Mououdjtaba dipilih sebagai johan qari manakala johan qariah milik Aishatu Musa Gale dari Nigeria.

Kedua-dua pemenang akan membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM50,000 dan wang tunai RM20,000 setelah masing-masing berjaya menewaskan 22 qari dan sembilan qariah yang bertanding pada edisi kali ini.

Secara keseluruhan, 33 peserta telah mengambil bahagian dalam kategori tersebut yang dihakimi berdasarkan penilaian daripada aspek hafazan dan kelancaran bacaan.- https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *