Home » Citra Yadim » Orang Asli cekal berpuasa

Orang Asli cekal berpuasa

GUA MUSANG – Pos Hendrop merupakan salah satu pos penempatan masyarakat Orang Asli yang mempunyai bilangan penganut agama Islam paling ramai di daerah ini.

Memiliki hampir 1,000 penduduk, lebih 80 peratus daripadanya beragama Islam dan menjalani ibadat puasa sama seperti masyarakat Melayu Islam.

Imam Masjid Al Hidayah Pos Hendrop, Aris Rami, 47, berkata, tahun demi tahun, masyarakat di pos itu semakin menunjukkan minat dengan Islam dan menyertai program anjuran masjid, terutamanya di bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, kesedaran mengenai agama Islam semakin meningkat dalam kalangan masyarakat di sini, malah kehadiran juga semakin bertambah. Solat tarawih juga mendapat sambutan dan mereka menunjukkan minat untuk mendalami agama.

“Setiap Jumaat, kami di sini menetapkan sebagai hari cuti di mana semua dilarang masuk hutan dan bekerja. Hari Jumaat hari ke masjid dan mengikuti program agama.

“Kita menyediakan kelas fardu ain untuk mereka yang berminat agar Islam itu bukan hanya di atas kertas sahaja. Ada juga yang dah lama memeluk Islam namun masih dalam proses pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Ramadan dan Solat Terawih anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Penggerak Masyarakat Orang Asli Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Al Hidayah, Pos Hendrop, di sini.

Program dihadiri lebih 300 penduduk itu turut disertai Adun Galas, Ab Aziz Yusoff; Pengarah Yadim Zon Timur, Mahadi Awang dan Penghulu Kampung, Bidi Ronggeng.

Anak-anak Orang Asli Pos Hendrop mengikuti takzirah yang disampaikan sebelum berbuka puasa.

Dalam program itu, Ab Aziz juga turut menyerahkan sumbangan beras kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) sebagai bantuan Ramadan bagi meringankan beban mereka.

Menurut Ab Aziz, program tahunan ini salah satu cara untuk meraikan masyarakat Orang Asli beragama Islam untuk menunaikan rukun Islam ketiga ini.

“Setiap tahun, kita akan memilih satu tempat untuk berbuka puasa bersama di mana pada tahun lalu, kita ke Pos Tuel memandangkan jumlah masyarakat Islam di situ juga antara yang teramai.

“Saya amat kagum dengan usaha Yadim dan Jakim dalam menyedarkan masyarakat Orang Asli untuk  mendekatkan diri dengan Islam. Program yang dijalankan itu mampu menarik minat generasi baharu memahami Islam dan ia menunjukkan perkembangan baik.

“Insya-ALLAH, saya bercadang untuk mengadakan majlis sambutan Aidilfitri di pos ini nanti kerana sambutan diterima amat memberangsangkan,” katanya.

 

Imarahkan masjid

Bagi Penghulu Kampung Pos Hendrop, Bidi Ronggeng, 39, biarpun masih ada segelintir yang belum diberikan hidayah untuk memeluk Islam, namun kehidupan di penempatan itu sama seperti masyarakat Melayu Islam.

Katanya, ada dalam kalangan keluarga yang mana anaknya beragama Islam namun ibu bapanya tidak, namun mereka masih boleh tinggal bersama dan menghormati antara satu sama lain.

“Di bulan puasa, mereka saling menghormati di mana kelompok bukan Islam tidak akan makan di khalayak ramai dan menjaga tingkah laku dengan baik.

“Di sini, kita memiliki lapan kampung dan kehidupan mereka sama seperti orang Melayu. Mereka beragama Islam datang ke masjid untuk solat dan kaum wanita pula sediakan juadah berbuka di rumah.

“Ini menunjukkan perkembangan yang baik kerana saban tahun, kita lihat makin banyak perubahan dilakukan termasuk usaha mengimarahkan masjid, solat berjemaah dan minat untuk mendalami keindahan Islam,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Yadim Zon Timur, Mahadi Awang berkata, pelbagai program disusun bagi memantapkan lagi iman masyarakat Orang Asli sempena bulan Ramadan.

Katanya, sehingga kini, program yang disusun berjaya menarik minat sekali gus meningkatkan semangat untuk terus mendalami Islam.

 

Juadah berbuka sederhana

Bagi Faridah Ayul, 40, dari Kampung Hendrop, seawal jam 4 pagi, dia sudah bangun dan bertungkus lumus menyediakan juadah bersahur untuk keluarga.

“Pukul 4 pagi, saya akan bangun masak. Kalau ada saki baki lauk berbuka, saya hanya panaskan. Untuk juadah berbuka, saya akan masak apa yang ada saja.

“Juadah kami sederhana seperti sayur ubi dan masak lemak. Kalau ada duit lebih, saya akan beli ayam dari penjaja yang masuk menjaja di sini. Namun, sekali sahaja kerana lauk mahal.

“Anak-anak saya sembilan orang dan saya didik mereka berpuasa. Alhamdulillah, sehingga kini, mereka masih berpuasa dan diharapkan berjaya hingga ke hari terakhir,” katanya lagi.

Bagi penduduk Kampung Panok, Idris Uda, 50, tahun ini merupakan tahun ke-12 dia memeluk Islam dan menjalani ibadat puasa.

Katanya, ibadat puasa tahun ini berjalan lancar dan sederhana termasuk dari segi juadah.

Namun, dia memberitahu, tidak berkesempatan merasai kuih kerana tiada peniaga yang menjual aneka kuih di situ.- www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *