Home » Langit Terbuka » Islamophobia makin menebal

Islamophobia makin menebal

KUALA LUMPUR 20 Jun – ‘Go back to your own country!’. Itu merupakan an­tara kata-kata kesat dan penghinaan yang dilontarkan oleh penduduk di London kepada pelajar-pelajar Malaysia beragama Islam yang tinggal di sana.

Penuntut Kejuruteraan Kimia di University College London, Jalaluddin Mohd Zaiki, 23, memberitahu, Islamophobia di London semakin membimbangkan berikutan daripada kejadian yang berlaku di London Bridge dan Westminster baru-baru ini dan yang terbaharu di sebuah masjid di Finsbury Park.

Katanya, sebagai lelaki Islam, mereka cuba untuk mengelak daripada memakai jubah dan berkopiah kerana jika berpakaian sedemikian maka akan menimbulkan pandangan yang kurang menyenangkan dalam kalangan masyarakat di sana terutama apabila di dalam bas atau laluan kereta api bawah tanah.

Jelas Jalaluddin lagi, diskriminasi serta Islamophobia jelas kelihatan kepada pelajar perempuan Islam yang berhijab sehingga beberapa kali diserang secara fizikal serta lisan dan pernah ditolak ketika hendak menaiki kereta api oleh seorang lelaki warga tempatan.

“Saya tinggal di kawasan perumahan Finsbury Park berdekatan dengan kejadian rempuhan di masjid tersebut, dan perkara itu sebenarnya tidak mengejutkan saya kerana kawasan tersebut memang dilihat kawasan berpotensi diserang oleh golongan Islamophobia kerana ramai umat Islam daripada Algeria dan Somalia tinggal di situ.

“Sekarang, kebanyakan daripada kami yang sudah selesai menduduki peperiksaan akhir semester akan membuat keputusan untuk menghabiskan waktu cuti di tanah air kecuali pelajar tahun akhir ke­rana bimbang dengan keselamatan diri untuk berada di sini,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata demikian me­ngenai kejadian beberapa orang cedera selepas sebuah van me­rempuh laluan pejalan kaki di masjid Finsbury Park di utara London malam semalam.

Menurut Polis Metropolitan London, mereka menerima panggilan sekitar pukul 12.20 tengah malam (waktu tempatan) dan segera ke tempat kejadian dan Majlis Muslim Britain (MCB) mendakwa kejadian tersebut adalah disengajakan dan bukannya kemalangan biasa.

Sementara itu, bagi pelajar Sarjana Kedoktoran Politik dan Ekonomi di King’s College London, University Of London, Asy­raf Afnan Ahmad Murtadza, 33, kawasan kejadian tersebut sangat terkenal kerana menjadi antara penempatan utama pelajar.

“Dengan kejadian terbaharu ini, maka kami para pelajar yang berada di sini lebih berhati-hati untuk berdepan sebarang kemungkinan.

“Saya sendiri sudah mengelak untuk mengunjungi tempat-tempat popular semenjak kejadian semalam kerana terlalu banyak ancaman yang dihadapi serta kami kini sentiasa bergerak dalam kumpulan untuk pergi ke mana-mana sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pe­ngerusi 1 Badan Perhubungan Negara United Kingdom, Afeera Amran mengakui, pelajar-pelajar Malaysia di sana terkesan secara emosi de­ngan kejadian yang berlaku.

“Persepsi dan tanggapan orang terhadap pelajar Islam khususnya yang bertudung berbeza sekiranya dibandingkan sebelum berlakunya insiden-insiden tersebut,” ujarnya. – www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *