Home » Citra Yadim » Tahniah peserta JMU 2017 – Dr Yusri

Tahniah peserta JMU 2017 – Dr Yusri

PUTRAJAYA 21 Jun – Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad mengucapkan tahniah kepada para peserta Jelajah Muamalah Ummah (JMU) 2017 yang berjaya melengkapkan misi jelajah ke politeknik-politeknik zon selatan yang bermula 10 Jun hingga 15 Jun.

Katanya, misi menyampaikan dakwah pada bulan Ramadan sememangnya mencabar dan dengan sebab itu ucapan tahniah dan syabas seharusnya dikalungkan kepada semua peserta konvoi serta pihak-pihak yang berkerjasama menjayakan program berkenaan.

“Pada kesempatan ini, saya mewakili Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat terutamnya Jabatan Pendidikan Politeknik, Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Yayasan Taqwa.

“Ucapan terima kasih juga diucapakan kepada pihak-pihak yang menaja program ini serta pihak-pihak lain yang turut sama membantu sama ada dari segi material atau sokongan moral,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutupan JMU 2017 di Politeknik Port Dickson pada 15 Jun.

Program berkenaan katanya, diadakan bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat khususnya golongan muda terhadap konsep  muamalah kewangan Islam dan masalah ummah yang betul

Di samping itu, katanya, JMU juga dapat mengeratkan lagi ukhuwwah fillah di kalangan ahli-ahli Sahabat YADIM di universiti awam dan politeknik-politeknik Malaysia di Zon Selatan.

Dr Yusri berkata, penganjuran program JMU dan Karnival Muamalah 2017 dilihat amat signifikan dalam meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran umat Islam khususnya golongan muda terhadap kepentingan muamalah Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan ekonomi mereka.

“Program ini dapat membudaya pemikiran dan pemahaman masyarakat Islam terhadap kewajipan bermuamalah dengan sistem kewangan Islam yang betul berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta menjawab persoalan permasalahan ummah di kalangan masyarakat awam.

“Program ini dapat menyemarakkan budaya celik muamalah dalam kalangan umat Islam serta memberi kefahaman secara menyeluruh kepada umat Islam berkenaan dengan sistem kewangan Islam antaranya meliputi perbankan Islam, takaful, pelaburan, pengurusan hutang, keusahawanan dan lain-lain berkaitan,’’ katanya.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran JMU adalah berkat kerjasama pelbagai pihak yang sentiasa berusaha memastikannya berjalan dengan lancar.

“Melihat kepada kejayaan JMU kali ini, saya dapat bayangkan yang program mungkin akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Justeru, pada kesempatan ini, saya mempelawa mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan YADIM melaksana program ini pada masa akan datang,’’ katanya.

Beliau berkata, penglibatan lebih banyak, akan mampu melonjakkan lagi program dakwah itu dan sekaligus memberikan impak lebih besar kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *