Home » Langit Terbuka » Hilang suami, ibu, anak

Hilang suami, ibu, anak

Wanita Rohingya dedah kekejaman tentera Myanmar

KYAR GAUNG TAUNG, MYANMAR 16 Julai – Etnik wanita Rohingya semalam mendedahkan buat pertama kalinya kepada para wartawan tentang kehilangan suami, ibu dan anak lelaki mereka semasa serbuan tentera kerajaan di utara Rakhine pada Oktober tahun lalu.

“Anak lelaki saya bukan pengganas. Dia ditangkap semasa se­dang bekerja di ladang,” kata Sar­beda yang sedang mendukung anaknya manakala beberapa wa­­­nita lain memberitahu para war­­­tawan bahawa suami masing-masing ditangkap atas tuduhan palsu.

Selepas sembilan bulan wartawan bebas dan pemantau hak asasi manusia dihalang mema­suki kawasan terjejas, minggu ini Kementerian Maklumat negara ini mengiringi lebih 12 wartawan asing termasuk Reuters ke Buthidaung, Maungdaw.

Sebaik sahaja penduduk Kyar Gaung Taung dapat berbual de­ngan wartawan tanpa kehadiran anggota keselamatan, mereka mendakwa pihak tentera telah menyeksa mereka.

Sarbeda, 30, berkata, dia telah bertemu anaknya Nawsee Mullah, 14, di sebuah kem polis, tempat tahanan berasingan dengan tahanan lelaki dewasa.

Sekurang-kurangnya 32 penduduk kampung itu telah ditangkap dan 10 lagi dibunuh, kata seorang guru yang tidak mahu dikenali.

Beliau menganggarkan separuh daripada 6,000 penduduk kampung itu telah melarikan diri semasa operasi pembersihan dilancarkan.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Lalmuti, 23, menunjukkan ke arah selonggok abu, tempat dia menemukan mayat bapanya.

Wanita itu menceritakan bagai­mana bapanya diikat dan dicampak ke dalam rumah serta dibakar.

Ibunya kemudian ditangkap setelah pihak berkuasa menyifatkan aduan tentang pembunuhan itu sebagai palsu dan kini dia menjalani hukuman penjara enam bulan.

Para wartawan tidak diberi peluang untuk melaporkan tuduhan itu kepada pihak berkuasa manakala Reuters gagal mendapatkan para pegawai bagi mengesahkan perkara tersebut.

Semasa sidang akhbar kelmarin, Brig. Jen. Thura San Lwin yang merupakan Komander Pasukan Polis Sempadan mendakwa, beberapa penduduk kampung telah membuat dakwaan palsu dan telah didakwa serta dipenjarakan atas tuduhan menipu pihak berkuasa.

“Media melaporkan kami membakar rumah dan merogol, tapi mereka memberi maklumat yang salah,” kata San Lwin. – Reuters

– www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *