Home » Wacana » Mencelup jari ke dalam laut

Mencelup jari ke dalam laut

Oleh ABDUL KHALEED RAYYANI

“Dunia itu hijau dan manis.” (HR. Muslim no. 7124). Memang, dunia memang selalu menggoda. Dunia selalu kelihatan indah dan menyenangkan. Ia cukup mempesonakan dan memikat hati banyak manusia.

Benar, dunia memang penuh kesenangan dan kenikmatan. Namun, dunia juga merupakan gelanggang dugaan dan cubaan bagi manusia. Firman-Nya dari Surah al-Mulk ayat dua yang bermaksud: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Allah menggambarkan kehidupan di dunia ini umpama air hujan yang menyuburkan tumbuhan sehinggalah sampai waktunya bertukar kekuningan dan akhirnya hancur (al-Hadid:20). Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini adalah suatu persinggahan. Semua yang hidup pasti akan menemui dan merasai sebuah kematian. Kita semua telah diajar tentang hakikat itu sedari kecil lagi. Malah, kita sedia maklum bahawa segala kesenangan di dunia ini adalah tidak kekal dan berpenghujung. Namun, malangnya kealpaan seolah menutup mata hati kita tentang segala yang telah dipelajari dan diketahui sedari kita kecil itu.

Mencintai dunia adalah suatu kesalahan yang besar. Jerat cinta dunia ini adalah sumber segala kesalahan kerana sang pencinta dunia akan terjebak dengan cinta materialistik yang penuh dengan ‘virus berbahaya’. Sang pencinta dunia akan sibuk mengumpul dan menguruskan hartanya dan terus berusaha untuk menambahnya sehingga lupa dengan hakikat kejadiannya sendiri. Sifat berbangga diri, angkuh dan bermegah diri menjadi pakaiannya.

Oleh sebab itu Allah SWT telah berfirman: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (al-Hadid:20).

Virus berbahaya bawaan cintakan dunia ini telah diingatkan oleh Rasulullah SAW. Dari Zaid bin Tsabit RA beliau berkata, “Kami mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang (menjadikan) dunia tujuan utamanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan atau tidak pernah merasa cukup di hadapannya, padahal dia tidak akan mendapatkan (harta benda) duniawi melebihi dari apa yang Allah tetapkan baginya. Dan barangsiapa yang (menjadikan) akhirat niat (tujuan utama)nya, maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan sentiasa merasa cukup (ada) dalam hatinya, dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).” (HR Ibnu Majah, Ahmad, ad-Daarimi, Ibnu Hibban dan lain-lain dengan sanad sahih).

Sudah jelas bukan, tatkala dunia menjadi matlamat, nescaya Allah SWT akan menyempitkan kehidupan, jiwa menjadi tidak tenang dan sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang diperoleh. Namun, jika kehidupan abadi di akhirat yang dikejar, segala yang dimiliki sentiasa cukup untuk dinikmati malah akan ditambah berkali ganda lagi, jiwa dan hatinya sentiasa tenang, tenteram dan sentiasa dipermudahkan urusannya oleh Allah SWT.

Surah al-Qasas ayat 77 Allah SWT mengingatkan manusia supaya menggunakan sesuatu yang di miliki di dunia untuk mendapat faedah (kebajikan) di akhirat. Justeru, jangan terlena dengan godaan, kesenangan dan keindahannya yang mempersonakan itu. Jadikanlah kehidupan di dunia sebagai ‘ladang untuk bercucuk tanam’ yang mana hasilnya akan dinikmati di akhirat kelak. Gunakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT iaitu nikmat kesihatan, nikmat masa dan nikmat harta untuk terus tunduk dan mentaati-Nya.

Perbanyakkan ibadah dengan mendekatkan diri kepada-Nya, mengerjakan amal maaruf nahi mungkar dan sentiasa mensyukuri nikmat yang diperoleh. Sesungguhnya dengan demikian, kita akan memperoleh kebahagiaan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Jika semua di atas telah disemat rapat di dalam sanubari, maka rasakanlah nikmat bahagia. Bahagia dengan merasakan ketenangan dan keamanan dalam diri, masa depan, keluarga dan kehidupan kerana semua itu terhimpun dalam keimanan, keredaan kepada Allah, reda terhadap sebarang ketentuan-Nya dan sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada kerana kehidupan dunia ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan kehidupan abadi di sana nanti. Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kalian mencelupkan jari kalian ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.” (HR Muslim).

Marilah kita sentiasa bermuhasabah dan sentiasa mengemas kini matlamat hidup kita agar sentiasa bersih daripada jebakan tarikan duniawi yang melalaikan dan membinasakan.- MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *