Home » Langit Terbuka » Mahu status quo Masjid Al-Aqsa dikembalikan

Mahu status quo Masjid Al-Aqsa dikembalikan

RAMALLAH – PALESTIN 26 Julai –  Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mahu situasi di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur, dikembalikan kepada status quo seperti sebelum tarikh 14 Julai, lapor agensi berita Xinhua.

“Pendirian Palestin dalam hal ini tidak akan berubah,” katanya selepas menghadiri mesyuarat tergempar yang turut disertai pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin, pemimpin pergerakan Fatah dan pasukan keselamatan Palestin.

“Apa sahaja langkah yang diambil (Israel) melibatkan Masjid Al-Aqsa selepas 14 Julai, perlu dibatal dan ditamatkan segera. Situasi di Baitulmaqdis perlu dikembalikan kepada keadaan asal, selepas itu barulah Palestin akan menyambung semula hubungan dengan Israel,” katanya kepada stesen televisyen tempatan WAFA.

Abbas berkata penduduk Baitulmaqdis sepakat menolak semua tindakan yang diambil pihak Israel melibatkan masjid suci umat Islam itu.

Tegasnya, seluruh rakyat Palestin juga menyokong pendirian penduduk Baitulmaqdis itu.

Menurut Abbas, tindakan Palestin membekukan koordinasi keselamatan dengan Israel susulan perkembangan terbaharu di Baitulmaqdis juga masih berkuatkuasa.

“Rakyat Palestin juga akan terus mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa,” kata Abbas, dan menambah pihaknya akan mengkaji setiap perkara yang berlaku sejak insiden tembakan 14 Julai lalu sebelum membuat keputusan yang sesuai mengenainya.

Insiden tembakan di perkarangan Masjid Al-Aqsa menyebabkan dua anggota polis Israel terbunuh. Tiga suspek – lelaki Palestin yang memiliki kerakyatan Israel turut terbunuh.

Susulan serangan itu, rejim Zionis menutup masjid itu selama dua hari dan bertindak memasang alat pengesan logam serta kamera pengawasan di pintu masuk Masjid Al-Aqsa.

Tindakan provokasi pihak rejim itu menimbulkan bantahan di kalangan umat Islam dan sebagai langkah protes, mereka enggan memasuki masjid berkenaan dan bertindak menunaikan solat di jalanan. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *