Home » Persuasif » Berlebihan menonton sukan di televisyen juga boleh melalaikan?

Berlebihan menonton sukan di televisyen juga boleh melalaikan?

Oleh BURHANUDDIN JALAL

Antara agenda pihak musuh Islam untuk melalaikan umat Islam ialah melalui 3S iaitu Sing (nyanyian), sport (sukan) dan sex (seks). Ketiga-tiga perkara tersebut memang sedia terhidang melalui saluran televisyen yang ada di kebanyakan rumah kita pada hari ini.

Hakikatnya, sebahagian besar rancangan televisyen boleh dikategorikan sebagai hiburan. Hal ini kerana peratusan rancangan yang bercorak maklumat, pendidikan dan agama amat sedikit sekali jumlahnya.

Profesor Dato’ Dr Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor Universiti Islam Malaysia (USIM),  yang menekuni bidang komunikasi Islam pernah menyatakan bahawa, “dalam kalangan masyarakat hari ini siaran televisyen telah dianggap sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian dan siaran atau rancangan televisyen telah mendominasi kehidupan mereka sehingga telah menyisihkan aktiviti-aktiviti lain”.

Perkara ini bertepatan dengan salah satu hasil persidangan yang telah dilaksanakan oleh pihak Zionis Yahudi pada awal abad ke-20 yang menyebut bahawa salah satu cara untuk mereka menguasai pemikiran umat Islam ialah dengan menyibukkan masyarakat Islam melalui rancangan televisyen dengan rancangan sukan, hiburan (nyanyian) dan juga filem-filem atau drama yang mempunyai unsur seksual. Semakin banyak ditayangkan, ia akan lebih melekakan umat Islam dan amat mujarab untuk melalaikan umat Islam terutama televisyen yang mempunyai kemampuan yang kuat untuk ‘menyihir’ penonton.

Pengaruh kuat media massa terutamanya televisyen, telah diramal oleh seorang pendukung Zionisme iaitu Rashoron yang telah menyebutnya pada tahun 1869 dengan menyatakan, “jika emas merupakan salah satu kekuatan kita untuk menguasai dunia, maka dunia jurnalisme dan media massa merupakan kekuatan kedua bagi kita.” (Ariifaa’I, 1992).

 

Sukan Juga Boleh Melalaikan?

Pada pengamatan penulis, slot sukan khususnya slot bola sepak yang ditayangkan di televisyen juga boleh dikategorikan sebagai satu bentuk rancangan hiburan yang mempunyai penonton atau peminat yang ramai. Lebih-lebih lagi pertandingan bola sepak yang disiarkan secara langsung seperti pertandingan Liga Bola Sepak Inggeris (English Premier League –EPL), Piala Dunia (World Cup) ataupun Piala Eropah (UCL) ataupun rancangan-rancangan sukan yang lain.

Berdasarkan pemerhatian seolah-olah terdapat persetujuan bersama di antara penganjur sukan dan media massa yang didukung oleh pihak Zionis untuk merosakkan nilai-nilai Islam yang ada pada penonton Islam khususnya melalui beberapa pendekatan.

 

Pertama: Merosakkan Nilai Ketaatan

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, diperhatikan banyak acaran sukan seperti Olimpik dan pertandingan bola sepak Piala Dunia dianjurkan pada bulan Ramadan. Selain dari itu juga pada umumnya pertandingan bola sepak bermula pada waktu Maghrib sehinggalah ke awal pagi. Siaran secara langsung atau tertunda di televisyen ini telah mendorong penonton atau peminat bola sepak cenderung untuk meninggalkan atau melewatkan tiga solat fardu iaitu Asar, Maghrib dan Isyak.

Seperti sedia maklum, meninggalkan solat fardu dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan syarak merupakan dosa besar. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang meninggalkan solat fardu dengan sengaja maka ia boleh jadi kafir yang nyata”. (HR  Ahmad, Tirmizi, An Nasai dan Ibnu Majah). Sekiranya terdapat dalam kalangan mereka yang tidak meninggalkan solat, tetapi kemungkinan lewat dari jadual yang ditetapkan. Sesungguhnya orang yang melewatkan dengan sengaja tanpa alasan syarak akan mendapat celaan Allah sepertimana firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-5 yang bermaksud, “…maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya”.

Selain dari itu, kemungkinan juga mereka akan melalaikan untuk solat Subuh berjemaah di masjid atau surau, sedangkan solat Subuh yang dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau surau merupakan simbol kekuatan umat Islam yang sangat ditakuti oleh Yahudi dan Zionis. Perkara ini pernah disebut oleh Perdana Menteri Israel, Golda Meir yang menyatakan, “Kami akan takut kepada umat Islam jika mereka melaksanakan solat Subuh seperti mana mereka melaksanakan solat Jumaat” (Sarjani, 2007). Ternyata kelekaan atau berlebihan dalam menonton rancangan sukan bola sepak ini menyebabkan kerosakan dan menjatuhkan nilai keimanan seseorang Islam.

 

Kedua: Boleh Merosakkan Nilai Keimanan

Secara sedar atau tidak, nilai keimanan umat Islam tanpa mengira umur sama ada remaja mahupun orang dewasa boleh menjadi rosak disebabkan bola sepak atau ‘hiburan sukan’ ini. Sebagai contohnya, pada tahun 2004 dalam Piala Eropah, pasukan Itali menjadi kuat setelah menggunakan khidmat ‘dukun’. Begitu juga dalam kejohanan Piala Eropah 2012, jutaan peminat termasuk umat Islam teruja dan kagum terhadap dua binatang yang mampu meramal pasukan mana yang akan menang. Dua binatang tersebut ialah seekor babi dari Ukraine yang bernama Khryak dan seekor gajah dari Poland yang bernama Citta. Begitu juga dalam Piala Dunia 2010, peminat turut mempercayai ramalan sotong kurita dari Jerman yang bernama Paul turut boleh meramal pasukan yang menang.

Amat menghairankan sekali, peminat bola sepak termasuk peminat dari kalangan umat Islam turut mempercayai dan terpengaruh dengan ramalan-ramalan tersebut, sedangkan bagi umat Islam mempercayai ramalan dan dukun merupakan dosa besar yang boleh menyebabkan seseorang itu syirik. Perkara ini telah ditegaskan oleh Nabi Muhammad melalui sabdanya yang bermaksud, “ Barang siapa yang menemui tukang ramal atau dukun dan kemudian mempercayainya, maka ia telah kufur dengan al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW”. (HR al-Hakam). Oleh yang demikian amat menyedihkan sekali jika ramai dalam kalangan peminat bola sepak dari kalangan umat Islam sendiri yang mempercayai ramalan tersebut dan kesan dari yakin terhadap ramalan tersebut boleh menyebabkan syirik atau kufur.

 

Ketiga: Merosakkan Nilai Teladan

Sikap fanatik yang keterlaluan terhadap bola sepak telah menyebabkan rosak nilai teladan dalam kalangan umat Islam. Ramai dalam umat Islam yang menamakan anak-anak mereka yang baru lahir dengan nama Zinedine Zidane, nama pemain Perancis yang beragama Islam, agar anak mereka boleh jadi pemain bola sepak yang hebat. Memang pemain tersebut Islam tetapi kehidupan pemain tersebut tidak Islam sepenuhnya, ia sama dengan rakan-rakan beliau yang bukan Islam dengan kehidupan cara bebas, mempunyai ramai teman wanita dan tidak berakhlak Islam.

Begitu juga dengan wanita-wanita Islam yang memuja dan menggilai pemain  seperti John Terry, Wayne Rooney, Roane Kane dan beberapa pemain kacak yang lain. Begitu juga para pelajar sekolah yang begitu mudah dan mengenali secara dekat pemain kesukaan mereka seperti Diego Costa, Mesut Ozil, Aexis Sanches,  Lionel Messi, Zlatan Ibrahimovic dan lain-lain lagi. Mereka menekuni dan mencari profil pemain yang mereka minati melalui akhbar, malah menyelidik melalui internet. Malangnya mereka tidak bersungguh untuk mencari dan menyelidik atau mengenal profil tokoh dan ulama Islam.

Maka tidak menghairankan jika mereka tidak mengenali tokoh dan ulama Islam atau para pahlawan Islam seperi Khalid al-Walid, Salahuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fateh atau Omar Muchtar. Amat menyedihkan sekali anak-anak Islam jauh dari nilai-nilai akhlak Islam kerana menjadikan pemain bola sepak sebagai idola mereka, walhal yang sewajarnya menjadi idola ialah para rasul seperti Nabi Ibrahim AS dan juga Nabi Muhammad SAW. Allah SWT telah berfirman tentang teladan Nabi Muhammad yang perlu diikuti melalui firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi diri Rasulullah SAW itu contoh teladan yang baik bagi kamu…”

 

Keempat: Merosakkan Nilai Kehormatan

Tanpa disedari, nilai-nilai kehormatan dalam keluarga juga boleh rosak disebabkan rancangan sukan di televisyen ini. Ramai para suami yang mengajak isteri mereka untuk menonton rancangan sukan di televisyen dan menyebabkan isteri mereka tertarik dan minat dengan para ahli sukan tersebut. Sedangkan para suami tidak cemburu dengan dan tidak terganggu dengan perbuatan isteri mereka. Ini sesuatu yang salah dan bertentangan dengan Islam.

Perasaan cemburu perlu ada dalam kalangan suami jika isteri mereka meminati atau menyukai lelaki lain. Jika para suami tidak memiliki perasaan ini, sewajarnya para suami menghayati hadis Nabi yang bermaksud, “Ada tiga golongan yang tidak akan dilihat oleh Allah pada hari kiamat nanti, iaitu orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, perempuan yang menyerupai laki-laki, dan ad-dayyuts (laki-laki yang tidak memiliki perasaan cemburu).” (HR. An Nasa’i).

 

Kelima: Merosakkan Nilai Keberkatan

Tidak dapat dinafikan bahawa wujudnya nilai-nilai perjudian dan pertaruhan dalam dunia sukan. Dalam kalangan peminat dan penonton, mereka juga terlibat dengan perkara ini. Dalam setiap pertandingan sukan, pasti ada yang bertaruh dari kecil bertaruhan sehinggalah kepada jumlah yang banyak. Aktiviti ini dilakukan secara kecilan dan juga secara profesional termasuk melalui internet, sistem pesanan ringkas (SMS), e-mail dan sebagainya. Kesemua aktiviti ini telah mendorong penonton dan peminat sukan untuk membazirkan wang untuk ikut serta dalam pertandingan, undian atau pertandingan cuba teka yang dianjurkan, sedangkan Allah secara jelas mengharamkannya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, menilik nasib dengan panah, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.” (al-Maidah: 90).

 

Keenam: Merosakkan Nilai Keprihatinan

Hiburan dalam bentuk sukan yang berlebihan ini boleh menyebabkan nilai kepedulian atau keprihatinan sesama Muslim menjadi rosak. Jika kita masih ingat pada tahun 2012, umat Islam di seluruh dunia tertumpu di kaca televisyen untuk menonton kejohanan bola sepak Piala Eropah, dan setiap hari fikiran mereka tertumpu kepada perundingan, perlawanan, permainan serta para pemain sedang pada waktu yang sama setiap hari ribuan umat Islam di Syria sedang di bunuh oleh Rejim Bashar Al-Asad yang berfahaman Syiah. Begitu juga yang berlaku di Myanmar, ramai orang Islam dibunuh oleh pihak tentera dan juga orang-orang Buddha. Begitu juga apa yang berlaku pada tahun 1994, kita sibuk membincangkan dan menonton Piala Dunia 1994, sedangkan dalam masa yang sama orang Islam di Bosnia disembelih dan dibunuh oleh Serbia. Banyak lagi bentuk-bentuk hiburan yang berasas sukan telah melekakan kita sekali gus tidak peka dan prihatin kepada saudara sesama Islam akibat leka dengan sukan dan hiburan yang dihidangkan melalui televisyen di rumah.

Oleh yang demikian, amat wajar bagi kita untuk tidak leka atau berlebihan dalam hiburan menerusi pelbagai bentuk media massa hari ini termasuk media baharu yang kemungkinan boleh melalaikan kita sebagai umat Islam dalam banyak perkara sekali gus lupa terhadap saudara kita yang lain akibat leka terhadap hiburan termasuk sukan yang dibincangkan melalui tulisan ini seperti mana yang telah dipesan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya yang bermaksud, “Orang Muslim itu saudara bagi orang Muslim lainnya, dia tidak menzalimi dan tidak memudaratkannya.” (HR Bukhari dan Muslim).- MAJALAH DAKWAH

Profesor Madya Leftenan Kolonel Dr Burhanuddin Jalal ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *