Home » Langit Terbuka » Netizen kritik syor Putera Mahkota Arab Saudi benarkan wanita pakai bikini

Netizen kritik syor Putera Mahkota Arab Saudi benarkan wanita pakai bikini

RIYADH, 9 Ogos – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dikritik hebat selepas mencadangkan undang-undang khas membenarkan wanita memakai bikini di resort mewah di pinggir Laut Merah, bertentangan dengan peraturan ketat dilaksanakan negara itu.

Netizen mengkritik cadangan itu sambil menyifatkan Arab Saudi sepatutnya lebih menumpukan kepada hak asasi kaum wanita negara itu, berbanding membenarkan pemakaian bikini.

Sesetengah pengguna pula menyifatkan keputusan itu sebagai menghina wanita, yang selama ini tidak mendapat kebebasan untuk bergerak dan memandu.

Resort mewah itu yang bakal dibina di tepi pantai barat laut Arab Saudi, adalah sebahagian daripada langkah memodenkan ekonomi negara itu. Rancangan itu termasuk dalam Wawasan 2030 Arab Saudi yang bertujuan mengurangkan kebergantungannya terhadap minyak.

Kerajaan berkata, resort itu akan ‘ditadbir oleh undang-undang setaraf dengan standard antarabangsa’.

Kenyataan kerajaan menyebut bahawa persekitaran resort itu sangat selamat, termasuk memastikan perlindungan dan kawalan terhadap pengunjung akan mengikut amalan terbaik antarabangsa.

Pengguna lain pula merujuk kepada kenyataan dibuat Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Amerika Syarikat, Yousef al-Otaiba, yang mencadangkan Arab Saudi menyokong fahaman sekularisme di Timur Tengah.

“Jika anda bertanya kepada UAE, Arab Saudi, Jordan, Mesir dan Bahrin apa mereka mahu lihat kepada Timur Tengah dalam tempoh 10 tahun akan datang, ianya secara asas akan menolak apa yang dikehendaki Qatar. Apa yang kami mahu lihat ialah lebih sekular, stabil, makmur, berkuasa dan kerajaan yang kuat,” kata Otaiba.

Kenyataan itu, selain mendapat kecaman netizen, anak perempuan bekas Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Fahd bin Abdulaziz, Puteri Fahda bint Saud bin Abdulaziz, menyifatkan Otaiba berkonspirasi terhadap Arab Saudi dan Islam, yang melaksanakan undang-undang syariah.

Walaupun, terdapat pantai yang cantik dan tapak arkeologi, Arab Saudi bukan destinasi utama percutian. Halangan terhadap pakaian, undang-undang berkaitan arak dan peraturan lain, tidak menarik pelancong Barat bercuti di negara itu.

Arab Saudi juga mengenakan undang-undang ketat terhadap wanita, menjadi satu-satunya negara yang tidak membenarkan wanita memandu kenderaan. Mereka juga tidak boleh melancong tanpa kebenaran keluarga.

Wanita Arab Saudi diwajibkan memakai abaya ketika di tempat umum.

Malah, sesiapa yang memakai skirt akan ditangkap sebagaimana yang berlaku terhadap seorang gadis yang mana klip videonya tersebar di laman sosial, menunjukkan dia memakai skirt dan baju berlengan pendek, pertengahan bulan lalu.

Polis telah menangkap gadis yang muncul dalam klip video berkenaan dengan berpakaian tidak senonoh, sambil bermain pasir di Ushaiqir di luar ibu kota Riyadh, kata stesen televisyen Ekhbariya. – Agensi

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *