Home » Citra Yadim » Jaga, beri pendidikan agama: Mufti

Jaga, beri pendidikan agama: Mufti

Pendekatan betul boleh lahir golongan ‘luar biasa’, patuh Islam

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-bakri, pada 11 Ogos,  menegaskan bahawa semua pihak perlu melihat kes anak tak sah taraf daripada aspek lain, bukan untuk tutup aib dan status anak supaya mereka tidak terpalit kesalahan dilakukan ibu dan bapa biologinya.

Beliau berkata, anak tak sah taraf sebaliknya perlu dijaga dan diberikan pendidikan agama (tarbiah) supaya tidak berlaku konflik kesan daripada status anak itu.

Katanya, pendekatan pendidikan sosial yang betul boleh melahirkan golongan baharu yang lebih ‘luar biasa’ dan patuh kepada ajaran Islam.

“Satu pendekatan jelas, adil dan bersemangat perlu diwujudkan untuk menjaga anak ini (untuk ditarbiah) …kena ajar supaya mereka boleh jadi anak luar biasa. Satu sebab kelonggaran dalam isu ini adalah pendidikan agama dan sosial untuk anak tak sah taraf diabaikan dan terbiar.

“Bila ibu bapa lemah mendidik anak-anak mereka, kerajaan akan lemah untuk mendidik dan mengajar remaja di jalanan,” katanya selepas menyertai Sidang Meja Bulat Bicara Ilmiah Anak Tak Sah Taraf, di sini, semalam.

Yang turut menjadi ahli panel adalah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Fakulti Perubatan dan Sains, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh dibin nama bapanya dan fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang. Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, yang tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata hasil perbincangan itu, bersetuju anak tak sah taraf bin/binti Abdullah mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Sementara itu, Zainul Rijal mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam menyelesaikan kekeliruan orang ramai terhadap permohonan anak tak sah taraf, yang sedang hangat dibicarakan.

Katanya, pertama adalah semua peruntukkan membabitkan pendaftaran dan sah taraf anak itu yang bertentangan dengan hukum syarak Akta Pendaftaran 1957 perlu dipinda dan tidak terpakai kepada umat Islam.

“Kedua, MAIN perlu mengemukakan permohonan mencelah dalam kes bin Abdullah, di Mahkamah Persekutuan (tarikh mendengar rayuan belum ditetapkan) dan berhujah mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi.

“Ketiga adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi Islam dan ahli akademik digesa mendesak kerajaan memelihara kedudukan istimewa umat Islam. Keempat, menyediakan pendidikan, sistem sosial dan kefahaman konsep kepada masyarakat untuk tidak terus ‘melabelkan’ dan mengetepikan anak tak sah taraf,” katanya pada sidang yang sama.

Beliau bersetuju konsep anak tidak sah taraf diperhalusi dan mendapat keadilan sewajarnya melalui rujukan kepada ulama dan ahli agama, yang fasih daripada segi hukum syarak. – www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *