Home » Citra Yadim » Modaliti psikospiritual Islam dalam rawatan pemulihan dadah

Modaliti psikospiritual Islam dalam rawatan pemulihan dadah

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC) telah menganjurkan Konvensyen Keberkesanan Modaliti Psikospiritual Islam Dalam Rawatan Dan Pemulihan Dadah pada 9 dan 10 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

Program berkenaan dianjurkan melalui Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), iaitu majlis yang ditubuhkan oleh YADIM bagi melaksanakan pelbagai program dakwah bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini.

Eksekutif Kanan MAIM, Ahmad Shukri Abdul Majid berkata, penganjuran konvensyen ini adalah inisiatif bersama di antara Biro Agama MASAC dan Kluster Sosial MAIM, di atas kesedaran bahawa masalah dadah ini sebahagian besarnya melibatkan golongan Bumiputera yang beragama Islam.

“Berdasarkan statistik penggunaan dadah di Malaysia, hampir 80 peratus pengguna dadah adalah terdiri daripada Bumiputera beragama Islam,’’ katanya.

Beliau berkata, di sebalik segala usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan, bilangan penagih dadah masih tinggi dan keadaan berkenaan amat membimbangkan.

Menurutnya, tidak dinafikan bahawa pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk penguatkuasaan, pencegahan, rawatan dan pemulihan termasuk program dadah gantian dan program pengurangan risiko telah dilaksanakan.

“Dalam aspek ratan pemulihan, pendekatan kaedah Islam dilihat masih berkurangan berbanding dengan peningkatan pengguna dadah di kalangan orang Islam,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, justeru, konvensyen yang diadakan itu adalah satu langkah bagi mencetuskan dan melihat semula pendekatan psikospiritual Islam dalam aspek mengajak manusia dari lembah kehinaan seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Hadir dalam majls perasmian program itu adalah, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Presiden Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC) Datuk Mohd Yunus Pathi Mohd dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Yusri Mohamad.

Pada akhir konvensyen berkenaan satu resolusi telah dikeluarkan seperti berikut.

  1. Setelah dua hari konvensyen ini berlangsung dapat dilihat secara keseluruhannya dengan jelas bahawa semua pihak telah melaksanakan peranan masing-masing dalam rawatan dan pemulihan dadah.
  2. Setiap pembentang juga bersetuju bahawa pendekatan modaliti psikospritualIslam perlu dipraktikkan sebagai asas dalam rawatan dan pemulihan dadah dan ia harus diteruskan.
  3. Secara dasarnya, satu modul modaliti psikospritual Islam perlu diwujudkan supaya boleh digunakan untuk semua rumah/institusi yang menjalankan rawatan pemulihan terhadap golongan penyalahgunaan dadah.
  4. Oleh itu semua pihak ternmasuk pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO)dan para ulama perlu bersama-sama dalam merealisasikan dan memperbanyakkan modaliti Islam dalam rawatan dan pemulihan dadah sebagai asas utama dalam transformasi ummah

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *