Home » Langit Terbuka » MMMSL 2017 rekod 1.5 juta jemaah haji

MMMSL 2017 rekod 1.5 juta jemaah haji

MINA 5 Sept. – Selepas tujuh hari beroperasi, tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) menamatkan operasi bagi musim haji 2017 semalam dengan kejayaan membawa 1.5 juta jemaah haji menyempurnakan ibadah haji di sini, Muzdalifah dan Arafah.

Tren terakhir berlepas dari stesen Jamarat atau Mina 3 di sini pukul 6 petang membawa penumpang terakhir ke stesen Arafah 3.

Hadir melepaskan secara simbolik tren terakhir tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham.

Masnizam berkata, pengendalian operasi tren itu pada tahun ini berjaya mencatatkan 112 peratus kadar pergerakan tren, meningkat berbanding 110 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

Katanya, walaupun Prasarana berhadapan cabaran keadaan cuaca panas dan pertambahan penumpang berbanding tahun lepas, MMMSL berjaya membawa 1.5 juta penumpang berbanding kira-kira 1.1 juta penumpang tahun lalu.

“Daripada maklumat yang kita terima daripada media-media Arab Saudi dan penumpang sendiri ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya kepada media Malaysia di sini semalam.

Katanya, operasi kali ini juga mendapat perhargaan daripada pihak berkuasa Arab Saudi termasuk Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam (PTA) Arab Saudi yang mengucapkan terima terima kepada Prasarana kerana berjaya melicinkan pergerakan jemaah haji.

“Presiden PTA Dr Rumaiah al-Rumaiah sangat berpuas hati dan malah dia datang melawat semasa operasi MMMSL bersama Menteri Pengangkutan Arab Saudi.

“Mereka amat yakin dengan kebolehan yang kita ada dan Alhamdulillah Prasarana telah membuktikan kita mampu melakukan lebih baik daripada tahun lepas,” katanya.

Mengenai perancangan selepas ini, Masnizam berkata, pihaknya akan meneruskan rundingan dengan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung penyambungan kontrak.

Beliau bagaimana pun optimis untuk Prasarana mencapai sesuatu yang positif termasuk dalam projek lain di negara ini memandangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam pengendalian MMMSL.

“Prasarana masih mempunyai baki kontrak sehingga 31 Mei 2018 dan untuk tempoh sehingga berakhir kontrak itu Prasarana akan meneruskan penyelenggaraan tren tersebut,” katanya.

Prasarana Malaysia Berhad dianugerahkan kontrak bernilai SR800 juta (RM911 juta) mengendalikan operasi tren haji MMMSL selama tiga tahun bermula 2015. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *