Home » Persuasif » Ulama segera, fatwa jadi-jadian

Ulama segera, fatwa jadi-jadian

Oleh AMIN FADLILLAH

Di dalam Islam, perbezaan pendapat merupakan perkara yang lumrah dan menjadi sifat tabii manusia. Tidak ada yang pelik dan ditakutkan dengan berlakunya percanggahan pandangan dalam memberi tindak balas terhadap sesuatu masalah. Malah di sebalik perbezaan pendapat itu, terungkai hikmah yang terkandung di dalamnya yang memberi manfaat dan jalan keluar terhadap persoalan yang dihadapi.

Walau bagaimanapun, terdapat jurang yang lebar antara perbezaan pendapat yang dilandasi oleh ilmu dan keahlian dalam bidang tertentu dengan perbezaan pendapat yang dicetuskan oleh individu yang tidak mempunyai latar belakang keilmuan yang dipercayai dalam memberi maklum balas dalam sesebuah isu. Apatah lagi apabila isu tersebut melibatkan institusi atau individu yang mempunyai autoriti dalam bidangnya vis-a-vis pihak yang berkepentingan yang tidak dilandasi oleh kepakaran berkaitan.

Sudah tentu, perbezaan pendapat dalam konteks ini bukan mendatangkan rahmat dan hikmah, akan tetapi menatijahkan kecelaruan pandangan yang hanya akan membingungkan masyarakat awam. Perbezaan pendapat yang mendatangkan rahmat itu yang terhasil daripada kajian yang mendalam terhadap proses penetapan satu hukum (istinbath) yang membabitkan kepakaran keilmuan dan individu yang dipercayai daripada kedua belah pihak yang seimbang. Contoh yang nyata perbezaan pendapat yang mendatangkan rahmat ialah yang terjadi di kalangan imam mazhab empat (Hanafi, Syafie, Maliki dan Hanbali).

Sebaliknya, perbezaan pendapat yang dicetuskan oleh ‘mujtahid segera’ hanya akan meruntuhkan ajaran Islam itu sendiri. Mengelakkan kenyataan yang salah amat penting terutama bagi yang tidak ada ilmu agama. Hal ini ditegaskan oleh Ibnu Mas’ud yang menyatakan bahawa seseorang yang sering memberikan kenyataan hukum, padahal ia tidak menguasai ilmu itu, maka ia termasuk kategori orang gila.“Barang siapa memberi fatwa tanpa berdasarkan ilmu, maka dosanya ditanggung oleh orang yang memberi fatwa kepadanya.”(HR Ibnu Majah).

 

Siapa yang berautoriti mengeluarkan fatwa?

Pada umumnya, para ulama menolak secara tegas terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh orang yang kurang luas pengetahuan agamanya atau dengan kata lain fatwa tersebut dikeluarkan oleh orang-orang yang bukan ahlinya. Ulama salaf berpandangan bahawa orang yang bukan ahlinya dan tidak memenuhi syarat sebagai mufti dan ia mengeluarkan fatwa, maka wajib ditolak dan diingkari agar tidak menyesatkan umat. (Erfan, 2010). Ini bermakna, sebagai pihak yang paling berautoriti di negara ini dalam mengeluarkan fatwa sepertimana yang diatur dalam undang-undang, hanya pihak mufti berhak mengeluarkan fatwa selepas mengamati dan menjalankan kajian berdasarkan hukum syarak.

Para ulama juga bersetuju bahawa fatwa atau kenyataan seseorang yang tidak dilandasi ilmu yang sahih dan benar, maka orang tersebut sebetulnya telah melakukan dosa dan bermaksiat kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan juga berdosa kepada umat manusia. Dengan demikian sudah barang tentu fatwa yang ia keluarkan terbatal dan orang tersebut termasuk orang yang derhaka kepada agamanya.

Salah seorang ulama terkemuka Ibnu Qayyim berpendapat bahawa orang yang memberi fatwa tanpa ada kelayakan untuk memberi fatwa bagaikan seseorang yang menunjukan arah perjalanan padahal dia sendiri tidak mengetahui jalan itu. Atau seperti orang yang tidak menguasai ilmu perubatan tetapi nekad melakukan layaknya seorang doktor. Seseorang yang demikian itu lebih buruk keadaannya daripada mereka.

 

Segera dan jadi-jadian

Gelombang globalisasi yang melanda dunia kini memberikan maklumat di hujung jari. Senario ini sudah tentu memberikan suatu kebaikan kepada penyebaran sesuatu maklumat tanpa sempadan. Namun, tidak dinafikan, dunia tanpa sempadan ini juga menatijahkan keburukan jika tidak ditangani dengan bijaksana. Ini termasuk kemunculan ‘ulama segera’ yang menyebarkan kata-kata mutiara dan petikan daripada peristiwa dan nasihat yang kononnya daripada Rasulullah SAW dan sahabat tanpa menyelidikinya terlebih dahulu. Bukan itu sahaja, muktahir ini juga telah muncul suatu trend di kalangan masyarakat berani mempertikaikan autoriti institusi agama terutamanya kreadibiliti institusi mufti dengan mengeluarkan fatwa sendiri.

Situasi ini sangat mendukacitakan serta secara tidak langsung merendah-rendahkan ilmuwan Islam itu sendiri memandangkan hukum-hakam dalam Islam bukan suatu perkara yang boleh diperbahaskan terutamanya oleh orang yang bukan ahli. Memang benar, dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, membenarkan warga negaranya untuk bersuara dan berpendapat secara bebas mengenai sesebuah isu. Akan tetapi kebebasan itu hendaklah dipertanggungjawabkan baik secara akademik dan keilmuan yang sahih.

Malangnya, ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh ‘ulama segera’ ini secara terang-terangan menceroboh bidang kuasa institusi mufti. Sedangkan, dalam peruntukan Undang-undang Pentadbiran Islam, hanya mufti yang berhak mengeluarkan fatwa atau kenyataan (legal opinion) sama ada melalui perintah Sultan atau permintaan diri sendiri berkenaan dengan hukum syarak.

Adalah suatu yang membimbangkan jika ‘fatwa’ yang dikeluarkan ini dipercayai dan diangkat sebagai suatu yang sahih oleh masyarakat. Tambahan pula yang menyatakannya adalah seorang tokoh yang dihormati, sudah pasti kenyataan-kenyataannya akan mempengaruhi orang ramai. Hal ini dikhuatiri melahirkan kefahaman yang bercanggah dengan lunas-lunas agama, apabila satu kenyataan itu diberikan dari sudut pandang yang salah.

Dalam hal ini sebenarnya masing-masing perlu mengakui, menghormati dan bertanggungjawab dalam segala hal yang ingin dilakukan terutamanya jika hal atau kenyataan yang ingin dikeluarkan itu menyentuh bidang kuasa pihak berautoriti yang sememangnya sangat berkelayakan dalam menjalankan amanahnya. Sikap sentiasa tabayyun di dalam sesuatu hal perlu sentiasa dipraktikkan dalam menangani segala macam maklumat yang diperoleh.

Sebenarnya, kemunculan ‘ulama segera dan fatwa jadi-jadian’ ini sebenarnya tidak perlu diambil pusing secara berlebihan oleh semua pihak terutamanya ia secara terang-terangan mempunyai niat tersembunyi. Sebagai pihak yang diberi amanah untuk mengeluarkan fatwa, pihak mufti juga tidak perlu menanggapi ‘fatwa jadi-jadian’ itu. Sekiranya, pihak mufti menanggapi ‘fatwa’ itu secara berlebihan, ia seolah-olah meletakkan ‘ulama segera’ itu setanding dan sama taraf kedudukannya sebagai mufti. Wallahua’lam.

 

SUMBER : MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *