Home » Persuasif » Berhala moden membawa syirik tanpa disedari

Berhala moden membawa syirik tanpa disedari

Oleh IBANAH SUHROWARDIYAH SM
Akibat salah guna telefon pintar dan kemudahan internet, boleh jadi tanpa disedari kita terperangkap dengan amalan syirik. Syirik yang tidak diampuni dosanya apabila kita mengamalkannya itu? Iya betul. Perbuatan yang menyekutukan Allah SWT, Tuhan semesta alam. Bagaimana kita dapat dicap sebagai menyekutukan Allah sedangkan kita hanya memainkan gajet kita?
Manusia pada zaman ini amat bergantung dengan gajet dan rangkaian internet. Lihatlah di sekeliling kita ketika menjalankan kehidupan dan rutin harian. Di dalam ruang belajar di sekolah, universiti, masa mesyuarat, pembentangan, berniaga, membayar bil, membayar hutang, bersenda gurau dan membuli sesama kawan, melepak di kedai mamak hingga dibuat bagi tujuan kejahatan, semua menggunakan gajet dan saluran internet.
Bahkan pada peristiwa-peristiwa yang amat menyedihkan seperti dalam acara pengebumian jenazah atau menziarahi orang sakit, kebanyakan tangan orang tidak lepas daripada memainkan gajet. Malah, ramai yang tidak peduli dengan keadaan orang yang diziarahi itu dek tenggelam dengan berbalas mengirim pesan, posting timeline dalam media sosial kemaskini profil dan tertawa-tawa sendiri seperti orang kurang waras. Mereka bukannya bertegur sapa dengan orang yang sama-sama hadir.
Hatta, dalam menjalankan perintah agama seperti solat, berzikir dan berpuasa. Kita dapat perhatikan di surau dan masjid yang melaksanakan solat berjamaah. Sebaik sahaja imam membaca salam, tidak sedikit jamaah yang segera menjamah dan memeriksa gajet mereka. Bukannya mengikuti imam untuk berzikir dan berdoa. Begitu juga di dalam majlis doa atau kenduri tahlil yang kerap kita dapati sesetengah orang sibuk menatap layar gajet berbanding membaca buku yasin yang disediakan oleh tuan rumah.
Malah yang amat mendukacitakan, sepertimana yang terdapat dalam video yang kemudian menjadi viral di media sosial, seorang imam membuka gajet dan melihat pesanan yang masuk sedangkan dia tengah membaca surah al-Fatihah ketika memimpin solat berjamaah di sebuah masjid. Membaca mesej yang baru masuk dalam gajetnya lebih penting daripada memimpin solat berjamaah dengan khusyuk dan tamakninah.
Solat yang sering didefinisikan sebagai medium untuk berkomunikasi, mengadu dan berdoa kepada Tuhan menjadi tidak penting dan terpinggirkan. Sebaliknya, lebih diutamakan berkomunikasi dengan manusia melalui gajet yang telahpun beralih fungsi menjadi ilah atau ‘tuhan’ (huruf t kecil) kerana kemampuannya membuat manusia bergantung kepada benda itu.

Syirik Tanpa Sedar?
Situasi dan fenomena seperti itulah menurut Dr Imaduddin Abdulrahim, tokoh pergerakan Islam yang pernah melatih pendakwah gerakan Islam di Malaysia pada tahun 1970-an, boleh menjurus kepada perilaku syirik tanpa disedari iaitu meng’ilah’kan atau ‘mempertuhankan’ gajet mengatasi Tuhan yang sebenar. Gajet telah menjelma menjadi sembahan manusia moden yang ‘dipertuhankan’, yang dimintai pertolongan, yang menjadi tempatnya bergantung, yang tanpanya seolah-olah hidupnya tiada bermakna atau tidak boleh menjalani kehidupan tanpanya.
Apabila kita kehilangan gajet, kita seolah-olah tidak boleh lagi berbuat rutin harian kita tanpanya. Ramai yang terperangkap dengan keadaan seperti ini iaitu amat bergantung dengan gajet. Mereka jadi gelisah dan risau tidak boleh berhubung atau berniaga. Walhal situasi itu tidak berlaku apabila kita kehilangan waktu solat atau puasa kita. Perilaku seperti inilah yang dapat dikategorikan sebagai perbuatan syirik tanpa disedari.
Istilah syirik berasal dari kata syaraka yang bermaksud mencampurkan dua atau lebih benda yang tidak sama menjadi seolah-olah sama. Misalnya mencampurkan beras gred A kepada gred B. Beras yang telah tercampur itu disebut beras isyrak dan orang yang mencampurkannya disebut musyrik. Lawan syaraka ialah khalasa bermaksud murni. Beras gred A yang murni dan tidak tercampur dengan sebutir beras gred bawahnya disebut Khalis. Jadi, orang yang ikhlas dan murni beribadah dan menghambakan dirinya hanya kepada Allah inilah yang betul-betul menjalankan prinsip tauhid.
Bagaimanapun, realitinya hari ini masih ramai dalam kalangan Islam yang mencampurkan ibadahnya dengan benda lain. Meskipun rajin beribadah solat dan puasa, mereka masih mencampurkan (mensyirikkan) pengabdian mereka kepada Allah dengan pengabdian kepada ilah (tuhan) yang lain. Biasanya pengabdian selain kepada Allah ini dalam bentuk ‘rasa bergantung’ dan bersikap mempertuhankan benda lain selain Allah. Seseorang yang tengah beribadah dan masih memikirkan perkara lain selain Allah, apatah lagi masih membuka gajet, perkara itu dapat dikategorikan sebagai perbuatan syirik.
Oleh itu, menurut Imaduddin lagi, mentauhidkan (menjadikan Allah sebagai satu-satunya sembahan) ini merupakan satu jihad yang amat besar dalam hidup ini. Mentauhidkan Allah tidaklah semudah percaya kepada kewujudan-Nya. Mentauhidkan Allah dengan ikhlas memerlukan satu perjuangan yang amat besar dan penuh dengan dugaan (Imaduddin Rahmat, Kuliah Tauhid, 1993)

Putus Hubungan Sosial dan Emosi
Selain menjejaskan prinsip bertauhid dalam agama, aspek penting lain yang perlu diberi perhatian dalam menangani kesan ‘berhala moden’ ialah kesan secara sosial. Penggunaan gajet tanpa kawalan dan pengendalian diri, hanya akan menjadikan manusia hilang perasaan sensitiviti, anti sosial dan terasing meskipun di tengah-tengah kerumunan orang ramai.
Dalam satu bukunya yang bertajuk Alone Together, Sherry Turkle, professor psikologi sosial terkemuka Amerika Syarikat menyatakan salah satu kesan yang cukup dahsyat penggunaan gajet dan kemudahan internet ialah pengguna mengalami keterputusan hubungan secara sosial dan emosional dengan orang di sekelilingnya. Selain itu, yang lebih memprihatinkan lagi, salah guna gajet atau telefon pintar telah merubah secara total gaya hidup, perilaku dan jatidiri kita. Menurut Turkle “that they don’t only change what we do, they change who we are.”
Meskipun secara fizikal pengguna berdekatan dengan orang lain, akan tetapi disebabkan asyik tenggelam dipermainkan gajet, tidak lagi menghiraukan keadaan di persekitarannya. Apatah lagi, terlibat aktif dalam komunikasi dan perbualan. Seseorang yang telah terjangkit sindrom penyakit gajet cenderung merosakkan hubungan sosial sedia ada kerana mereka memencilkan dirinya dengan dunianya.
Hal ini menurut Turkle menyebabkan seseorang kehilangan kapasitinya untuk merefleksikan dirinya sendiri. Mereka juga kehilangan cara berfikir dan berkomunikasi yang mendalam. Begitu asyiknya mereka tenggelam dalam dunia gajet, mereka hanya terikut-ikut dengan situasi dan persekitaran mereka. Walaupun mereka terhubung dengan seluruh kawan-kawannya di seluruh dunia sekalipun, hakikatnya mereka tetap bersendirian. Menurut Turkle: “I think we’re setting ourselves up for trouble — trouble certainly in how we relate to each other, but also trouble in how we relate to ourselves and our capacity for self-reflection. We’re getting used to a new way of being alone together.” (dipetik https://www.ted.com/talks/sherry_turkle_alone_together/transcript)
Seiring dengan semakin meningkatnya penggunaan internet di negara ini yang dikatakan mencecah 20 juta pengguna pada tahun 2016, meningkatkan lagi peluang salah guna gajet. Lantaran itu, tidak mengejutkan melihat perkembangan remaja kita khasnya dan masyarakat Islam pada amnya yang terjebak dengan lingkaran berhala moden ini mengalami kegagalan dalam menjalani kehidupan. Mereka yang bersekolah, didapati tercicir pelajaran dan yang masih membina kerjaya di alam pekerjaan, masih terkial-kial meningkatkan prestasinya.
Perkembangan teknologi yang begitu cepat tidak dapat dielakkan lagi kehadirannya. Kita perlu memanfaatkan teknologi dengan sebaik-baiknya yang mendatangkan perkara positif. Kita perlu sentiasa mengawal diri dan anak-anak kita agar tidak terjebak dengan telefon pintar dengan didikan agama dan pengetahuan yang memadai bagi mengelak perkara-perkara yang tak diingini. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *