Home » Langit Terbuka » Kabinet terima 6 syor tingkatkan sekolah tahfiz

Kabinet terima 6 syor tingkatkan sekolah tahfiz

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Kabinet hari ini bersetuju dengan enam syor yang dikemukakan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz termasuk meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) untuk menaik taraf sekolah berkenaan.

Syor oleh jawatankuasa dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu yang dikemukakan semalam, adalah untuk mengubah landskap pendidikan tahfiz merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan keselamatan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata buat permulaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan memulakan perbincangan dengan semua kerajaan negeri.

“Sebagai langkah susulan, kerajaan juga akan tubuhkan sebuah jawatankuasa khas membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memperhalusi serta menyelaras semua syor itu.

“Perbincangan juga untuk memastikan semua sekolah tahfiz menggunakan kurikulum pendidikan kebangsaan selari dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), mengenai syarat pembukaan sekolah dan pendaftaran pelajarnya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di premis berkenaan.

Mahdzir berkata, di Malaysia ketika ini ada tiga kategori sekolah, iaitu sekolah awam, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa, termasuk sekolah antarabangsa yang kurikulum pengajian agama dari luar negara.

“Bagaimanapun, pembukaan, pendaftaran dan pengurusan sekolah swasta dan sekolah antarabangsa ini tidak termasuk dalam akta. Jadi, kita mahu pinda Akta 550 untuk menyelaraskannya.

“Kementerian Pendidikan juga tiada akses kepada data sekolah tahfiz, sama ada yang berdaftar atau sebaliknya, kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kita juga hadapi masalah dengan sekolah yang tidak berdaftar.

“Sebab itulah kita (Kerajaan Persekutuan) perlu berunding dengan semua kerajaan negeri bagi mendapatkan maklum balas mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan RM55,000 daripada Yayasan Guru Malaysia kepada 23 keluarga mangsa yang terbabit dalam insiden awal pagi Khamis lalu itu.- www.bharian.com.my

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *