Home » Citra Yadim » Noor Aziah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan

Noor Aziah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan

SEREMBAN 21 Sept.: Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H/2017M Negeri Sembilan sempena sambutan Maal Hijrah di sini, hari ini.
Penyampaian hadiah dan cenderahati disampaikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Masjid Negeri di sini.
Penganugerahan itu sekali gus menjadikan beliau sebagai wanita pertama yang menerima anugerah itu di Negeri Sembilan.
Noor Aziah, yang juga Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilahirkan pada 23 Mei 1961 di Nilai dan merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan itu meskipun apa yang dilakukannya selama ini atas faktor kerjaya.
Noor Aziah berkata walaupun ibunya seorang yang buta huruf, ia bukanlah penghalang buat orang tuanya untuk memberikan beliau pendidikan.
“Ayah saya adalah seorang imam manakala ibu saya suri rumah tetapi dia adalah seorang yang buta huruf. Meskipun begitu, ia bukanlah halangan untuk kedua orang tua saya untuk memberikan saya pendidikan yang terbaik.
“Tanpa mereka juga tidaklah saya di sini hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 1439H/2017M).
Beliau berkata penghargaan ini menjadi satu tanggungjawab dan perangsang untuk beliau meneruskan usaha dalam bidang yang diceburinya.
“Saya juga ketika ini dalam proses untuk menganjurkan Anugerah Keluarga Mithali di bawah Yadim dan dijangka akan dibuat pada November ini,” katanya.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Mufti Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *