Oleh BURHANUDDIN JALAL

Sejarah  Islam telah mencatatkan bahawa ramai atau sedikitnya umat Islam bukanlah faktor utama yang menyebabkan kekalahan umat Islam dalam peperangan. Perang Tabuk, Perang Khandak, Perang Mu’tah dan juga perang-perang yang lain sehinggalah wafatnya Nabi Muhammad SAW, kebanyakannya dimenangi oleh orang Islam, walaupun jumlah mereka amat sedikit dan juga kelengkapan perang yang amat terhad jika hendak dibandingkan dengan pihak musuh.

Begitu juga yang telah berlaku dalam Perang Qadisiah, Perang Yarmuk, sehinggalah kepada penaklukan Konstantinopel yang dilakukan oleh Muhammad al-Fateh juga memberikan gambaran yang serupa bahawa kaum Muslimin dengan jumlah yang terhad, bekalan logistik dan kelengkapan perang yang terhad telah mampu mengalahkan musuh dengan jumlah tentera yang ramai serta mempunyai kelengkapan senjata yang lebih hebat pada zaman tersebut.

Kekuatan iman dan persaudaraan serta kecintaan terhadap kehidupan akhirat telah menjadi faktor pendorong serta motivasi kepada kejayaan dalam setiap peperangan yang disertai, di samping semangat sedia berkorban dan bersedia untuk mati syahid di jalan Allah atas kebenaran dan ketakwaan menjadi pendorong yang paling kuat untuk terus bertahan dan mengharungi cabaran terhadap musuh.

Ternyata janji Allah terhadap kemenangan kepada kaum Muslimin bukanlah atas faktor atau ditentukan oleh jumlah bilangan atau kelengkapan senjata yang hebat serta canggih, atau bukan juga atas faktor kelengkapan persenjataan dan aset logistik yang mencukupi. Faktor keimanan dan juga kebersihan jiwa dalam diri setiap anggota yang berperang, serta keyakinan yang kuat akan datangnya pertolongan dari Allah merupakan faktor kemenangan yang diperoleh.

Mengapakah pada hari ini, kita dapat lihat ramainya kaum Muslimin yang lemah dan kalah kepada musuh? atau apakah pada masa dulu kita juga pernah ‘menyaksikan’ kekalahan orang Islam dengan teruknya? Apakah ada faktor-faktor lain yang membuatkan orang Islam begitu mudah tewas kepada musuh dan tunduk kepada musuh-musuh Islam?

Bagi menjawab persoalan tersebut, ada baiknya kita menyorot kembali pesanan Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa pengkhianatan yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam terhadap sebahagian yang lain telah menjadi faktor kekalahan orang Islam kepada musuh-musuh mereka.

Ini berdasarkan sabda Nabi yang bermaksud: “Mereka yang menodai kekuatan mereka. Sesungguhnya Rabbku, berfirman: ‘Wahai sesungguhnya aku sudah memohon kepada Rabbku untuk umatku janganlah Dia membinasakan mereka dengan hukuman yang berat, jangan menundukkan mereka kepada musuh dari luar kelompok Muhammad, sesungguhnya jika aku menetapkan sesuatu ketetapan, maka tidak boleh ditolak, aku berikan kepada kamu untuk umat kamu agar mereka tidak dibinasakan dan agar mereka tidak dikuasai oleh musuh dari luar akan menodai kedaulatan mereka, sekalipun musuh itu berkumpul dari seluruh penjuru dunia kecuali jika sebahagian dari mereka membinasakan sebahagian yang lain dan mereka saling mengalahkan antara satu sama lain.” (HR Muslim dan Tirmidzi).

Berdasarkan pesanan Rasulullah SAW itu, kehancuran umat Islam bukanlah disebabkan kekuatan musuh, bukan juga kerana kehebatan mereka, tetapi kekalahan umat Islam disebabkan adanya pengkhianatan sebahagian umat Islam. Para pengkhianat terdiri dalam kalangan umat Islam telah bekerja dengan pihak musuh dan menyerang kembali umat Islam atas kepentingan diri dan hawa nafsu.

Sesungguhnya ia merupakan sesuatu yang amat malang bagi kita umat Islam. Apakah kesemua ini sebahagian dari tanda-tanda akhir zaman? Untuk itu ada baiknya kita merenung kembali sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang telah menyebut bahawa antara tanda-tanda akhir zaman ialah terdapatnya peristiwa sebahagian umat Islam bergabung dengan musuh Islam untuk mengalahkan kaum Muslim: “Kiamat tidak akan terjadi sehingga suku-suku umatku bergabung dengan orang-orang musyrik dan hinggalah mereka menyembah berhala. Di tengah umatku kelak ada tiga puluh pendusta, masing-masing mengaku sebagai nabi, pada hal aku adalah penutup para nabi, tidak ada nabi selepasku.”(HR Abu Daud dan Tirmidzi).

 

Dr Burhanuddin Jalal ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur

 

  • MAJALAH DAKWAH
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

clear formSubmit