Home » Citra Yadim » Pastikan sebarang bentuk ekstrem agama, Ateis disekat

Pastikan sebarang bentuk ekstrem agama, Ateis disekat

KUALA TERENGGANU 26 Nov. – Kerajaan menerusi peranan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) akan memastikan sebarang bentuk ekstrem atau pelampau agama termasuk fahaman ateis di negara ini disekat agar kewujudannya tidak mendatangkan kemudaratan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan tidak sekali-kali akan memberi ruang atau peluang kepada aktiviti seumpama itu demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Sebaliknya, beliau memberitahu, paling penting, Malaysia akan menjadikan asas Islam yang berorientasikan Malaysia itu sendiri dengan ciri keunikannya berdasarkan kepelbagaian kaum serta agama.

Justeru itu, jelas beliau, sifat unik di sebuah negara majmuk seperti Malaysia perlu dihargai memandangkan Islam di negara ini tidak jumud, regit, radikal serta ekstrem sebaliknya ia bersifat wasatiyyah berasaskan al-Quran.

“Ia tidak sekali-kali beri ruang kepada sebarang bentuk melampau dalam agama. Sama ada sifat radikal atau liberal, asas ini harus dibina oleh YADIM sebagai sebuah pertubuhan dakwah untuk melahirkan masyarakat khususnya generasi muda yang berpemikiran tasawur Islam dan ilmu Islam berpaksikan akidah,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Sahabat YADIM 2017 di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Mohamad dan Timbalan Naib Canselor UMT (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali.

Mengenai Sahabat YADIM, Asyraf mengakui teruja dengan komitmen YADIM menjayakan program seumpama itu melibatkan penyertaan mahasiswa dari 28 buah institusi dengan sehingga kini jumlah ahli Sahabat YADIM melebihi 8,000 orang.

“Kita ucap tahniah kepada Yadim kerana berjaya anjurkan konvensyen sebegini dan kita juga ucap terima kasih kepada UMT yang menjadi hos konvensyen tahun ini,” ujarnya.

Tambahnya, Sahabat YADIM penting untuk melahirkan generasi pemimpin pelapis pada masa akan datang yang berorientasikan Islam selain mampu membawa dimensi Islam yang lebih dinamik. – www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *