Home » Analitis » Tudung kepala perintah Tuhan

Tudung kepala perintah Tuhan

SEMENJAK kebelakangan ini, kedengaran pihak-pihak yang mengatakan bahawa tudung tidak wajib dipakai oleh wanita Islam, rambut bukan aurat dan pelbagai lagi isu-isu yang ditimbulkan oleh mereka. Dengan ini penulis rasa terpanggil untuk menjawab tohmahan-tohmahan mereka terhadap agama Islam yang suci ini.

Pertama sekali tentang isu berkaitan rambut wanita Islam, berdasarkan ayat Al-Quran Surah An Nur ayat 31 Allah berfirman yang bermaksud, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan jamganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang lelaki yang tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang beriman supaya kamu berjaya.”

Jelas di dalam ayat ini perintah Allah kepada wanita Islam untuk menutup kepala atau rambut mereka daripada dilihat oleh ajnabi (bukan mahram). Sekiranya kita kembali kepada sejarah sebelum ini, kita dapat melihat ulama-ulama mujtahid di dalam bidang fiqh sepanjang 15 qurun berpendapat bahawa wajib ke atas wanita Islam menutup seluruh tubuh badannya kecuali wajah dan dua tapak tangan. Dan pendapat ini iaitu tentang kewajipan berhijab dikuatkan oleh 3 sumber iaitu Al-Quran, As- Sunnah dan Ijmak.

Di antara dalil daripada As-Sunnah pula hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata kepada Asma’: “Wahai Asma’ sesungguhnya perempuan apabila telah keluar haid tidak boleh dilihat daripadanya sesuatu pun kecuali ini dan ini, dan mengisyaratkan kepada wajah dan kedua tapak tangannya.”

Ibnu Mas’ud berkata: “Perhiasan yang zahir (boleh dilihat) ialah pakaian “. Ditambah oleh Ibnu Jubair “Wajah”. Ditambah pula oleh Al-Auzai “Wajah kedua tangan dan pakaian”.

Maka telah jelas di sini bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan kedua tapak tangannya. Apatah lagi rambut wanita. Dan juga bukti yang sangat jelas adalah tiada khilaf di antara para ulama tentang kewajipan menutup kepala atau rambut wanita (rambut adalah aurat wanita).

Oleh itu, kepada mereka yang mengatakan bahawa rambut bukan aurat, aurat wanita hanya kemaluan sahaja dan pelbagai lagi hendaklah kembalilah kepada Islam yang sebenar. Cukuplah berkata-kata hanya menggunakan hawa nafsu dan logik akal semata-mata tanpa ada asas yang kukuh. Saya mendoakan agar kita semua diberikan hidayah oleh Allah agar tidak tersimpang dari jalan-Nya. ABABIL

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *