Home » Ensiklopedia » Peranan YADIM dalam penyelarasan dakwah di Malaysia

Peranan YADIM dalam penyelarasan dakwah di Malaysia

KERAJAAN Malaysia sejak pencapaian merdeka lagi telah mula menyusun hal-hal berhubung dengan pentadbiran agama Islam yang telah lama dilupai oleh pentadbiran penjajah dahulu. Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, telah menubuhkan dan mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang dianggotai oleh semua menteri besar dan ketua menteri,juga alim ulama terpilih.

Majlis ini telah dirasmikan penubuhannya pada 1 Julai 1969 setelah Majlis Raja-Raja dalam persidangannya kali ke-81, telah memberi persetujuan tentang penubuhan itu. Tujuannya untuk menyelaraskan kerja-kerja, aktiviti-aktiviti dan pentadbiran agama Islam di negara ini di samping mengukuhkan lagi aktiviti dan pentadbiran yang berkenaan

Di akhir tahun-tahun 1960-an dan awal 1970-an, badan-badan dan pertubuhan Islam yang dikendalikan secara sukarela oleh pihak-pihak tertentu tumbuh dengan banyak bak cendawan selepas hujan. Pada waktu inilah tertubuhnya Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam (PKPIM) di pusat-pusat pengajian tinggi, Angkatan Belia Islam (ABIM) di kalangan belia Islam, dan Belia 4B serta Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC). Di kalangan masyarakat awam, lahir Jamiyyah Dakwah Islamiyah, Al-Arqam, ArRahmaniyah, PERKIM, Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah (PBMTT), Persatuan Guru-guru agama, Persatuan Ulama Malaysia, Gabungan Penulis-penulis Islam Malaysia (GAPEM) dan lain-lain. Di peringkat negeri juga tumbuh berbagai badan dakwah dengan pelbagai nama. Bahkan di jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan sebagainya, lahir badan-badan Islam dan dakwah di kalangan mereka.

Senario ini menggambarkan kesedaran rakyat ke arah ingin mempelajari dan mendalami ajaran Islam telah menjiwai perasaan dan fikiran ramai. Mereka ingin kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang dapat merealisasikan kehidupan mereka sebagai ummah yang kuat rohani dan jasmani. Tetapi mereka tidak mempunyai kekuatan yang cukup dari segi tenaga dan dana.

Penubuhan YADIM antara lainnya adalah bertujuan untuk menyelaraskan kegiatan dakwah yang disempurnakan oleh badan dakwah atau NGO Islam yang berkenaan di samping membantu mereka dari segi tenaga dan kewangan.

Pada awal penubuhan, YADIM telah mengambil daya usaha menubuhkan Majlis Syura yang dianggotai oleh badan-badan dakwah utama seperti Angkatan Belia Islam (ABIM), Jamiyyah Dakwah Islamiyah, AlArqam dan Ar-Rahmaniyah, Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah (PBMTT) dan lain-lain. Di bawah Majlis Syura itu, sebuah jawatankuasa penyelaras telah diwujudkan bagi tujuan penyelarasan.

Program berbentuk kerjasama ini direalisasikan bagi memenuhi keinginan rakyat untuk mempelajari dan

mendalami ajaran Islam pada masa itu. Rentetan daripada itu, YADIM terus mengorak langkah menggembleng tenaga dalam memastikan gerakan dakwah berjaya disampaikan dan difahami oleh masyarakat. Oleh sebab itu, sepanjang 40 tahun, YADIM telah menggerakkan program bervariasi seperti seminar, kursus, bengkel, kongres, multaqa, simposium, kunjung hormat, latihan sukarelawan, aktiviti kemasyarakatan, penyelidikan, pembangunan modul dan lain-lain program.

Antara program-program tersebut, terdapat beberapa program besar yang telah menjadi trademark kepada YADIM sebagai sebuah institusi penyelaras gerakan dakwah di Malaysia.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *