Home » Wacana » Perut kenyang disuap tanah…

Perut kenyang disuap tanah…

Oleh ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR

 Dr Abdul Hayei Abdul Sukor adalah bekas Dekan dan Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademik Pengajian Islam,Universiti Malaya (UM)

 

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، أَنَّهُ قَالَ :

” لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادٍ مِنْ ذَهَبٍ ، أَحَبَّ أَنَّ لَهُ وَادِيًا آخَرَ ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ ، وَاللَّهُ يَتُوبُ عَلَى مَنْ تَابَ

(HR Bukhari, al-Riqaq, No 6072 Muslim,  al-Zakah, No 2099,  Al-Albani, al-Silsilat al-Sahihah 6/967)

Terjemahan:

Daripada Abdullah bin Abbas dan Anas bin Malik RA. Rasulullah SAW bersabda: Andainya seorang manusia memiliki sebuah lombong emas, nescaya dicarinya sebuah lombong lagi. Perut manusia tidak pernah kenyang kecuali disuap tanah. Allah menerima taubat para hamba-Nya yang bertaubat.”

Keperluan manusia kepada harta semakin mendesak, mahu tak mahu harta mesti diusaha, dikejar dan diburu. Sesetengah orang tidak pernah rehat dari berusaha mendapatkan harta, tidak pernah lemah semangat, sekalipun usianya sudah tua dan semakin sukar mengurus diri, malah semakin bersemangat pula. Memang benar sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diterjemahkan: “Manusia walau dalam usianya yang sudah tua, tetapi dua perkara padanya masih muda, iaitu cintakan harta dan panjang usia.” (HR Bukhari, no: 9628).

 Hakikatnya, Islam tidak menolak konsep mengumpul harta walau seberapa banyak mana ingin dikumpul, tetapi Islam berperanan mengawal manusia dari menjadi mangsa kepada harta yang dikumpulnya itu. Menurut syariat Islam, harta hendaklah diusahakan melalui jalan yang halal, tidak menipu dan tidak mengambil hak orang lain dengan jalan yang batil seperti riba dan dengan jalan jual beli yang tidak jelas urus bicaranya.

Hakikat ini dibincangkan dengan terperici di dalam sumber-sumber syariat Islam dan menyuruh manusia agar tidak mengikuti hawa nafsu yang selalu mendorong manusia mengikuti jalan syaitan yang sesat lagi menyesatkan. Nabi SAW mengingatkan umat ini supaya berwaspada dengan harta kekayaan yang dianugerahi Allah dari kekayaan bumi.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW yang membawa terjemahan berikut: “Sesungguhnya paling membimbangkan aku terhadap kamu ialah harta yang dikeluar Allah dari keberkatan bumi. Sahabat bertanya: ‘Apakah maksud keberkatan Bumi? Baginda bersabda: “Keindahan dunia.” (HR Bukhari, al-Riqaq, hadis (5967).

Harta dan perhiasan dunia paling berbahaya di dalam dunia ini kerana biasanya pemilik dunia tidak sedar kecuali setelah berlalu waktunya. Keindahan dunia biasanya membutakan mata pemujanya. Sebab itu manusia yang asyik mengumpulkan harta tidak sedar bahaya dan akibat yang bakal dihadapi kerana seakan tidak mampu lagi berfikir dengan wajar.

Pengajaran dan Saranan

  1. Harta kekayaan yang kita miliki ada racun dan ada penawarnya. Berwaspadalah dengan racun dan ambillah harta tersebut setelah dibuang racunnya terlebih dahulu.
  1. Andainya kita termasuk dalam kumpulan manusia yang terpilih untuk memiliki harta, jangan lupa bahawa kita hanya sebagai pemegang amanah bagi pihak Allah yang merupakan pemilik sebenar harta tersebut.
  1. Tabiat semula jadi manusia ialah cintakan harta. Allah tidak menghalang hamba-Nya memiliki harta. Ini kerana harta yang ada pada tangan orang mukmin lebih baik dari harta yang terjatuh ke tangan orang kafir kerana harta yang ada pada mereka tiada jaminan digunakan ke arah kebajikan.
  1. Berbuat kebajikan dengan berbelanja di jalan Allah merupakan amalan yang membawa pengamalnya ke syurga.

-sumber: Majalah Dakwah

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *