Home » Semasa » Allah tidak zalim terhadap makhluknya

Allah tidak zalim terhadap makhluknya

Allah s.w.t. telah menegaskan bahawa semua yang ada di alam ini adalah milik-Nya, termasuk orang yang kita cintai, harta benda yang ditakuti akan berkurang dan hilang kerana bencana banjir, atau pangkat, jawatan, kedudukan, kerjaya dan lain-lain.

Oleh kerana semuanya milik Allah, cepat atau lambat pasti akan kembali kepada pemiliknya yang asli iaitu Allah Rabbul Izzati.

Ada pun diri kita hanyalah sekadar pemegang amanah untuk menjaganya atau memeliharanya. Sebagai pemegang amanah, sudah semestinya harus menjalankan amanah itu dengan sebaik-baiknya agar pemberi amanah senang bahawa kita boleh mempertanggungjawabkannya dengan baik dan benar.

Oleh kerana bencana itu kekuasaan Allah secara mutlak, sedangkan Allah tidak pernah zalim kepada makhluk ciptaan-Nya, maka di sebalik bencana, musibah seperti banjir, gempa bumi atau malapetaka alam lain, terdapat banyak hikmah bagi para hamba-Nya yang beriman.

Secara lahiriah kematian yang berlaku akibat banjir besar di mana-mana muka bumi ini, kelihatannya sangat menyayat hati. Akan tetapi, tidak semua yang kelihatan itu benar-benar menyakitkan kerana kemungkinan hal itu merupakan ketentuan terbaik pada pandangan Allah, Penguasa alam semesta.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada hamba-Nya, dipercepatkan (datangnya) hukuman bagi hamba-Nya di dunia. Dan bila Allah menghendaki keburukan pada hamba-Nya, ditahan-Nya dia dari (azab) dosanya sampai dipenuhi-Nya dia pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Hakim)

Tidak ada yang bakal terjadi di alam raya ini kecuali atas izin dan kehendak Allah. Meskipun begitu, perlu diingat bahawa kehendak-Nya pada dasarnya, tercermin pada hukum-hukum alam yang diciptakan-Nya. Apabila seseorang tidak menyesuaikan diri dengan kehendak-Nya yang tercermin dalam hukum-hukum alam itu, dia pasti mengalami kesusahan serta kesukaran.

Dia akan mengalami bencana, baik pada dirinya mahupun persekitarannya. Di sini kita sepatutnya berkata bahawa bencana itu adalah kehendak-Nya jua. Bukankah Dia yang menciptakan hukum-hukum-Nya?

Bencana atau musibah yang melanda pada hakikatnya memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun menerusi penerima bencana. Hal demikian itu semata-mata untuk menguatkan hati, keteguhan sikap, terlatih, dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.

Pada saat itu seseorang manusia harus segera menyedari bahawa apa yang paling penting ialah iltija, iaitu mencari perlindungan diri kepada Allah s.w.t semata-mata, ketika seluruh tempat bergantung tidak berupaya membantu untuk menghadapi bencana tersebut.

Tidak ada tempat berlindung kecuali berada di bawah naungan-Nya. Tidak ada pertolongan kecuali daripada-Nya. Sehubungan itu, Allah s.w.t berfirman: “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.” (Surah At-Taghabun: 11)

Mengabaikan tanda-tanda kehadiran Allah menjadikan hati gersang dan kacau, dan ‘mengundang’ jauhnya rahmat Allah dan datangnya bencana. Semoga kita semua terpelihara daripada bencana serta dapat menghayati ayat-ayat Allah, baik yang terhampar mahupun yang tertulis.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka ayat-ayat Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa ia adalah hak/benar.” (Surah Fussilat: 53)

Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t ialah menjadikan kita atau keluarga sebagai tempat sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu mengekori umat manusia di dunia ini kerana dunia adalah tempat ujian dan cubaan. Hal demikian ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan.” (Al-Baqarah: 155)

Ujian ini bertujuan memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Mereka yang banyak menerima ujian itu ialah para Nabi, siddiqin, dan solihin, kemudian mereka yang mengiringi.”

Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan lagi diri kepada Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap sedih dan dukacita. Namun, mereka tidak akan bertindak di luar batasan agama.

Di dalam al-Quran dinyatakan mereka yang berjaya menghadapi ujian itu akan mendapat penghargaan daripada Allah, juga rahmat-Nya dan mereka itu memperoleh petunjuk. Hati mereka sekali-kali tidak akan terlintas atau terbawa-bawa dengan perasaan yang terselit persoalan kenapa Allah memilih diri atau keluarga mereka sebagai tempat ujian-Nya.

Kesabaran yang tinggi amat dituntut dalam Islam kerana dengan memiliki jiwa yang sedemikian umat Islam akan menjadi suatu umat yang teguh peribadi dan kukuh jati diri, tidak gentar akan segala dugaan atau bencana yang menimpa. Yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Rahmat Allah sentiasa terbentang selagi kita yakin dengan jalan menuju ke arah keredaan-Nya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *