YADIM sokong peraturan solat berjemaah

0
9

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong langkah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan yang mewajibkan para pelajar Islam di daerah itu bersolat jemaah sebelum pulang ke rumah.

Sebagai sebuah badan dakwah, YADIM berpendapat, pendekatan yang digunakan PPD Kuantan itu adalah selari dengan tuntutan Islam yang sememangnya meletakkan solat sebagai satu ibadah yang terpenting dalam pembinaan jati diri seorang Muslim.

Pelaksanaan peraturan mewajibkan solat berjemaah itu juga boleh memberi kesan besar kepada pembinaan karektar seseorang pelajar itu kerana di dalam solat itu sendiri terkandung falsafah tersendiri seperti menjaga kebersihan, disiplin dan ketakwaan kepada Allah.

YADIM berpendapat sememangnya menjadi agenda sistem pendidikan di negara ini membentuk jati diri golongan muda Islam di negara ini menjadi seorang yang bertakwa sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Selain itu, langkah berkenaan juga selari dengan usaha kerajaan untuk membendung gejala negatif yang melibatkan para pelajar sekolah yang antara lain berpunca daripada kurangnya penghayatan agama dan pengaruh-pengaruh luar.

Justeru, YADIM meminta semua pihak melihat arahan solat berjemaah ini sebagai sesuatu langkah positif yang bukan sekadar dapat meningkatkan amalan agama tetapi pembentukan karektar seseorang pelajar agar lebih seimbang dari segi intelek, emosi, jasmani dan rohani.

Dr. Yusri Mohamad

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

7 Disember 2017

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here