Home » Wacana » Insan makhluk istimewa

Insan makhluk istimewa

Oleh ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR

Dr Abdul Hayei Abdul Sukor ialah bekas Dekan dan Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Terjemahan:

“Bertakwalah kepada Allah di mana jua anda berada, susulilah amal kejahatan dengan amal kebajikan. Amal kebajikan memadamkan kejahatan. Kekalkan pergaulan anda dengan akhlak yng mulia ketika bersama orang ramai.” (HR Al-Tirmidzi, bil (1907), Musnad Ahmad, bil. (20838) daripada Abu Zarr al-Ghifari).

Insan adalah makhluk Allah yang  mulia. Allah menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi bagi melaksanakan  perintah-perintah-Nya. Dia mencipta dan menganugerahkan mereka dengan pelbagai nikmat yang tidak terkira dan melantik para Nabi dan Rasul daripada makhluk ini silih berganti bermula dari Adam sebagai khalifah-Nya yang pertama dan yang terakhir Nabi Muhammad SAW sebagai penutup semua Nabi.

Hadis ini menjelaskan dua perkara penting bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan yang selalu mengancam kesejahteraan penduduk bumi.

Pertama: Kejahatan yang Tidak Pernah Padam

Amal kejahatan bagaikan api dalam sekam, walaupun apinya kelihatan tidak menyala, tetapi bahayanya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Api boleh dipadamkan dengan air, sebagaimana amal kejahatan boleh dihapuskan dengan amal kebajikan.

Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dalam Musnad, bilangan (29/505) dan Abu Dawud, bil. (4784) Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud: “Apabila seorang dari kamu naik marah, ambillah wuduk. Syaitan dijadikan daripada api, sedangkan api boleh dipadamkan dengan air.”

Indahnya sabda Rasulullah tersebut yang menyarankan supaya api kemarahan dipadamkan dengan air wuduk, malah lebih indah lagi jika selepas berwuduk terus bergerak ke tempat solat bagi menunaikan solat sunat dua rakat.

Satu lagi peristiwa yang tidak kurang menariknya iaitu sebuah peristiwa yang berlaku kepada salah seorang sahabat Baginda SAW yang sengaja tidak disebut namanya. Sahabat tersebut datang meminta agar dirinya dibersihkan dari dosa yang baru sahaja berlaku kepadanya. Dalam ceritanya kepada Rasulullah, beliau menyatakan: “Wahai Rasulullah, dalam perjalananku ke sini sebentar tadi, ketika aku melintasi sebuah kebun tamar, aku terserempak dengan seorang wanita, lalu aku memeluk dan menciumnya. Oleh itu bersihkanlah dosaku itu dengan hukum Allah.”

Rasulullah SAW bertanya: “Apakah kesalahan yang kamu lalukan terhadapanya?  Dia menjawab: ‘Aku melakukan mukadimah zina.” Nabi SAW diam seketika sambil menunggu solat fardu berjamaah didirikan.  Usai solat, Rasulullah SAW memberitahu lelaki itu bahawa sebentar tadi ada wahyu diturunkan memberitahunya bahawa dosa sahabat itu telah diampuni Allah, malah dosa seluruh umat Baginda yang telah mengerjakan dosa-dosa kecil, namun kemudian dia melakukan amal kebajikan juga telah diampunkan. Ayat tersebut bermaksud: “Dan dirikanlah solat di dua hujung siang hari (di waktu pagi dan petang) dan di waktu-waktu awal malam. Sesungguhnya amala-amalan yang baik menghapuskan dosa amalan-amalan yang buruk. Itulah amalan yang memberi peringatan kepada orang-orang yang mengngati Allah.” (Hud: 114).

Sebahagian sahabat yang lain bertanya: “Pengampunan dosa seperti yang disebutkan di dalam sebab nuzul itu adakah khusus bagi lelaki itu sahaja atau umum kepada semua orang?” Rasulullah menjawab: ‘Pengampunan itu meliputi seluruh umatku yang melakukan dosa yang serupa.”

Kedua: Mewujudkan pergaulan sihat

Menerusi Hadis ini, Rasulullah SAW menyampaikan amanah Allah untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia supaya menyampaikan satu amanah penting, iaitu bertakwa kepada Allah. Takwa itu sebenarnya satu perkataan yang meliputi ciri-ciri kebajikan yang sekali gus melambangkan kebijaksanaan dalam pergaulan, kematangan dalam tutur kata dan keindahan budi pekerti.

Ummu al-Mukminin Aishah RA pernah ditanya tentang budi pekerti Baginda Rasulullah SAW untuk dicontohi mereka setelah mendapat nasihat bahawa Baginda merupakan uswah hasanah (contoh terbaik) bagi umatnya. Aishah RA dengan segera menjawab:

الْقُرْآنَ خُلُقُهُ كَانَ

(HR Muslim: no 17734)

Terjemahan: “Budi pekerti Nabi adalah al-Quran.” (HR Muslim, no 17734).

Sesungguhnya pergaulan yang sihat merupakan himpunan segala kebaikan dan pengawal dari segala kejahatan. Manusia dijanjikan dengan pertolongan dan kebahagiaan serta keselamatan daripada malapetaka dan ancaman apabila kewujudannya di tengah-tengah masyarakat memberi kebahagiaan kepada semua, cerminan daripada budi pekertinya yang mulia sepertimana budi pekerti Rasulullah SAW yang diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Pelajaran dan Saranan dari Hadis

  1. Insan terdiri daripada jasad dan roh, zahir dan batin. Budi pekerti atau akhlak Islam merupakan gambaran sebenar kejujuran seseorang dengan Allah SWT dan masyarakat.
  2. Ukuran seseorang insan tidak dikira pada tinggi rendahnya, rupa paras dan warna kulitnya, tetapi pada akhlak dan tingkah lakunya tatkala berada ditengah-tengah masyarakat.
  3. Harta kekayaan, rupa paras yang cantik tetapi akhlaknya buruk, bagaikan pokok yang indah dengan bunga-bungaan tetapi tiada buah padanya.
  4. Gerak-geri dan tindak tanduk Rasulullah SAW adalah bagaikan al-Quran yang bergerak. Pergerakan Baginda dan perjalanannya merupakan tafsiran al-Quran yang tepat dan dijamin benar, malah inilah hakikat al-Quran yang bergerak.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *