DR YUSRI MOHAMAD

YANG DIPERTUA YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA

Dr Yusri Mohamad sebelum ini merupakan Timbalan Yang Dipertua YADIM sebelum dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua YADIM berkuatkuasa 1 Oktober 2015.

Dr. Yusri Mohamad mempunyai kelulusan doktor falsafah dalam bidang teori perundangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2010. Beliau juga merupakan lulusan undang-undang (LLB) pada tahun 1995 dan syariah (LLB-S) pada tahun 1996 dari UIAM. Pada tahun 1997, Dr Yusri berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang undang-undang Islam dari School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London, United Kingdom.

Pernah bertugas sebagai pensyarah undang-undang di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim selama 15 tahun (1996-2011) sebelum bergiat cergas dalam Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Allied Coordinating Committee for Islamic NGO’s (ACCIN).

Anak jati Kota Bahru, Kelantan ini dilahirkan pada 15 Januari 1972 dan turut mendapat pendidikan awal di sana. Kemudian, melanjutkan pendidikan menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak dari tahun 1985 hingga 1989.

Dr. Yusri bersama-sama rakannya telah menubuhkan  Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI) sebagai sebuah pusat kajian dan pemikiran yang pernah menerbitkan semula edisi terjemahan buku Dr Majid Irsan Kaylani ke dalam bahasa Melayu dengan judul, Rahsia Kejayaan Generasi Salehuddin dan Kembalinya al-Aqsa ke Tangan Umat Islam (2012).

Dr Yusri turut dilantik sebagai perunding penasihat Syariah dan motivasi kepimpinan dan pernah dipilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar UIAM, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) selama dua tahun (1995 hingga 1997) serta  Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) keenam (2005 hingga 2009).

Lain-lain jawatan yang pernah disandang belia termasuk anggota Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), Ahli Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Pengerusi Allied Coordinating Committee for Islamic NGOs (ACCIN) di samping giat dijemput untuk membentangkan kertas kerja, ceramah dan panelis dalam pelbagai seminar, forum dan program media elektronik (radio dan televisyen).

 

dr_yusri_2015