Isnin, 11 Disember, 2017
Laman Utama Sektor Operasi Bahagian Muamalat

Bahagian Muamalat

PENGENALAN

Bahagian Muamalah ditubuhkan bagi menyediakan program berbentuk kesedaran kewangan Islam kepada masyarakat awam. Secara ringkasnya, bahagian ini ditubuhkan dengan hasrat untuk memberi kesedaran dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat khususnya golongan muda yang banyak menimbulkan persoalan dan kemusykilan berkaitan status hukum bagi transaksi instrumen kewangan di pasaran. Melalui penganjuran lebih banyak program kesedaran, diharapkan dapat membudayakan pemikiran dan pemahaman masyarakat Islam terhadap kewajipan bermuamalah dengan sistem kewangan Islam yang betul.

Antara program yang dilaksanakan termasuk Sembang Muamalah yang menyasarkan pegawai agama, pegawai syarak, guru agama, imam, guru takmir, ketua jabatan, pihak berkuasa setempat, masyarakat setempat. Bahagian ini turut menganjurkan program Muamalah Milenia dengan golongan sasarannya terdiri daripada mahasiswa institut pengajian tinggi, kembara muamalah masjid yang melibatkan ahli kariah masjid.

Turut dianjurkan adalah Pertandingan Video Pendek Cinta Muamalah yang melibatkan pelajar sekolah, mahasiswa IPT dan program Jelajah Muamalah Ummah dan Karnival Muamalah yang menyasarkan mahasiswa, belia, masyarakat setempat dan  asnaf.

OBJEKTIF BAHAGIAN

  • Memberi kesedaran terhadap masyarakat amnya tentang sistem kewangan Islam melalui program-program yang telah diatur.
  • Memberi kefahaman secara menyeluruh kepada masyarakat Islam berkenaan dengan kewangan Islam yang meliputi perbankan Islam, takaful, pelaburan patuh syariah dan pengurusan kewangan.
  • Menyemarak dan membantu mempromosi produk-produk kewangan Islam melalui kerjasama rakan strategik.

PROGRAM

SEMBANG MUAMALAH

Program berbentuk seminar setengah hari dengan dua modul utama iaitu Perbankan Islam dan Pelaburan Patuh Syariah. Program ini bertujuan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada umat Islam berkenaan sistem kewangan Islam di Malaysia.

MUAMALAH MILENIA

Program ini dilaksanakan selama satu hari dengan memfokuskan tentang dua modul iaitu Pengurusan Kewangan Islam dan Takaful. Program ini bertujuan untuk melatih dan memberi kefahaman berkenaan sistem kewangan Islam kepada mahasiswa IPT. Di samping itu juga, dapat memberi pilihan kepada para mahasiswa dalam memilih pekerjaan alternatif dalam kerjaya muamalah.

KEMBARA MUAMALAH MASJID

Program ini berbentuk kuliah sama ada selepas waktu solat zohor atau pun waktu solat Maghrib yang diadakan di masjid-masjid yang dikenal pasti oleh Jabatan Agama Islam negeri-negeri. Program ini memfokuskan mengenai muamalah Islam (kewangan Islam). Tujuan utama program ini adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat berkenaan instrumen kewangan Islam dan mengislamkan akaun masjid di seluruh negeri.

PERTANDINGAN VIDEO PENDEK CINTA MUAMALAH

Objektif utama pertandingan ini adalah untuk menyemarakkan cinta muamalah di kalangan pelajar sekolah, mahasiswa IPT dan memupuk kefahaman tentang kepentingan pelaburan patuh syariah dan takaful. Tempoh penyertaan pertandingan ini adalah selama tujuh bulan. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Pelaburan Patuh Syariah dan Kategori Takaful.

JELAJAH MUAMALAH UMMAH (JMU)

Program JMU ini bertujuan untuk menyemarakkan budaya cinta muamalah dalam kalangan umat Islam, mempromosikan instrumen kewangan Islam kepada masyarakat dan menjalankan khidmat bakti dan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Program ini dilaksanakan selama lima hari empat malam di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan. Terdapat juga beberapa pengisian program yang diatur dalam JMU ini seperti program Sembang Muamalah, Kembara Muamalah Masjid, Karnival Muamalah, Bicara Ummah Akhir Zaman, Bicara Sakinah, Quran Hour, Street Dakwah, Magnet Kejayaan dan sebagainya.